OLEH : Ustaz Ahmad Fazrin Bin Yahya
Sebagaimana Allah beri nikmat ada pengaruh dan follower kepada influencer media sosial, Allah juga akan menguji mereka dengan nikmat yang sama. Zaman ini ramai yang bersemangat mahu menegur kemungkaran, berjuang untuk menghapus kebatilan dan membela insan-insan teraniaya, tapi malangnya cara yang dipilih juga satu bentuk kemungkaran.
Pempengaruh hari ini kadang merasa mereka berjuang demi kebenaran, tetapi dalam semangat itu, mereka menyebar fitnah, membina naratif palsu sesedap hati, mendedahkan aib, dan menghukum tanpa bukti yang sahih, bahkan ada yang sanggup menunggang kes-kes berimpak besar hingga sanggup mengganggu tugasan pihak berkuasa dalam menyelesaikan siasatan dan dakwaan. Asalkan dapat sokongan pengikut, apa pun sanggup dibuat. Hingga ada yang sanggup menipu tentang hakikat diri demi terus disanjung tinggi.
Ramai yang tenggelam dalam nikmat kuasa viral hingga sanggup mempertahankan kesalahan sendiri atau clan mereka, tidak endah dan tiada rasa bersalah menyerang dan melakukan cyberbully tanpa fakta yang jelas. Tabayyun (verification of authenticity) ibarat tiada dalam kamus hidup mereka. Fenomena seperti ini menunjukkan sisi gelap budaya media sosial masa kini, di mana populariti dan “engagement” sering mengatasi kebenaran dan akhlak.
Kita hargai peranan sesetengah influencer yang cuba mainkan peranan sebagai whistle blower. Mereka ini ibarat ejen nahyu munkar (combatting evil) yang bekerja sukarela demi melindungi masyarakat dari pemangsa-pemangsa yang sering mengambil peluang ke atas insan-insan yang naif. Namun, mereka tetap hamba Allah yang sesekali tidak ada "lesen besar" untuk mencegah kemungkaran dengan kemungkaran yang lain.
Beberapa perkara penting boleh kita renungkan:
1. Etika & Amanah Maklumat
Dalam Islam dan juga dari segi moral sejagat, menyebarkan sesuatu tanpa bukti kukuh adalah satu bentuk fitnah. Sekali ia tersebar, kesannya sukar ditarik balik maruah orang boleh musnah walau akhirnya terbukti tidak bersalah.
2. Budaya Sensasi
Ramai pempengaruh hari ini lebih menumpukan pada views, likes, dan shares berbanding nilai benar-salah. Cerita panas cepat naik trafik walaupun tak sahih. Ini menjadikan media sosial tempat “pengadilan awam” tanpa prosedur.
3. Tanggungjawab Sosial
Seseorang yang punya ramai pengikut sepatutnya lebih berhati-hati, bukan sebaliknya. Pengaruh besar datang bersama tanggungjawab besar. Kalau tersilap, ribuan orang boleh termakan persepsi salah.
4. Kesan Terhadap Masyarakat
Apabila budaya menghukum tanpa bukti ini normal, masyarakat jadi cepat menilai, kurang sabar, dan hilang empati. Akhirnya, kebenaran tenggelam dalam lautan pandangan peribadi.
Sedangkan Allah SWT telah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya.”
(Surah al-Hujuraat, 49:6)
Ayat ini jelas menegaskan tabayyun (meneliti dahulu) adalah kewajiban sebelum sebar sesuatu berita.
Tanpa tabayyun, kita bukan sedang menegur kejahatan, tetapi sedang menyuburkan fitnah.
Nabi ﷺ juga bersabda:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
(Riwayat al-Bukhārī & Muslim)
Maknanya menegur kemungkaran mesti dengan cara yang baik, bukan dengan fitnah dan info separa masak apatah lagi info yang langsung jauh dari fakta sebenar, bukan juga dengan membuka aib, tidak dengan menghina, atau mengundang kebencian baru.
Allah SWT telah memberi amaran keras kepada mereka yang menyakiti orang-orang yang beriman dengan sesuatu tuduhan yang tidak mereka lakukan:
وَٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ بِغَيۡرِ مَا ٱكۡتَسَبُواْ فَقَدِ ٱحۡتَمَلُواْ بُهۡتَٰنٗا وَإِثۡمٗا مُّبِينٗا
"Orang yang menyakiti lelaki dan perempuan yang beriman dengan tuduhan sesuatu yang tidak mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, serta melakukan dosa yang amat nyata."
(Surah Al-Ahzaab, 33:58)
Kata Al-Hafizh Ibn Katheer:
"Ia bermaksud menisbahkan ke atas mereka suatu perbuatan buruk yang mereka suci darinya dan mereka tidak pernah pun melakukannya."
Kerana mencegah kemungkaran dengan kemungkaran lain bukanlah perjuangan, tetapi pelanggaran. Ia ibarat mahu padam api dengan minyak, makin marak, bukan makin reda.
Nabi ﷺ juga telah menyampaikan satu amaran keras buat mereka yang sewenang-wenangnya memfitnah orang lain:
وَمَنْ قَالَ فِي مُؤْمِنٍ مَا لَيْسَ فِيهِ، سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ رَدْغَةِ الْخَبَالِ حَتَّى يَخْرُجَ مِمَّا قَالَ، وَلَيْسَ بِخَارِجٍ، وَرَدْغَةُ الْخَبَالِ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ
"Sesiapa yang mengatakan sesuatu terhadap seorang mukmin apa yang tidak ada padanya (yakni menuduhnya dengan perkara yang palsu), maka Allah akan memberinya minum dari Radghatul Khabāl sehingga dia keluar dari apa yang dia katakan — dan dia tidak akan keluar daripadanya. Dan Radghatul Khabāl ialah nanah dan darah yang keluar dari penghuni neraka.”
(Riwayat Abu Dawud, Ahmad dan lain-lain)
“Radghatul Khabāl” ialah campuran nanah, darah, dan peluh busuk penghuni neraka. Ia menggambarkan seksaan yang amat jijik dan menyakitkan, menunjukkan betapa beratnya dosa menfitnah orang beriman. Dia akan diseksa dengan minuman itu selama-lamanya, kerana dosanya tidak dapat ditebus melainkan jika orang yang difitnah itu memaafkannya, dan kebiasaannya orang yang dizalimi tidak akan redha. Nabi ﷺ menjelaskan secara terang bahawa minuman ini ialah perahan najis dan nanah penghuni neraka, suatu azab yang menggambarkan kehinaan mereka yang suka menuduh dan memfitnah tanpa bukti.
Jadilah pempengaruh yang membawa kesejukan, bukan bara. Kalau benar niat kita kerana Allah, maka cara kita pun mesti menepati syarak, bukan nafsu. Takutlah akan amaran Allah dan Rasul serta azab pedih yang dijanjikan di akhirat kelak, bukan pula lebih takutkan LOD dan writ saman dari mahkamah dunia.
Kesimpulannya, pempengaruh seharusnya menjadi contoh kepada kematangan digital, bukan sekadar pencetus drama. Yang berakal dan beriman akan periksa dulu sebelum sebar, sebab setiap tulisan dan video kita ada kesan dunia dan akhirat.
Biar kita silap untuk tidak percaya atau jadi tukang sebar dan komen di dunia, daripada kita menyesal menjadi muflis di hadapan Allah pada Hari Mahsyar kelak.

Comments
Post a Comment