Salafi Itu Dan Ini

OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman

Salaf adalah lawan khalaf bererti yang terdahulu.

Daripada sudut istilah pula ia adalah penisbahan kepada generasi Sahabat secara khasnya dan ketiga- tiga generasi pertama Umat Islam secara amnya.

Adapun penisbahan SALAFI ia adalah penisbahan kepada memahami dan mempraktikkan Agama sejajar dengan amalan Sahabat secara khasnya dan ketiga-tiga generasi pertama Umat Islam secara amnya yang telah dipuji Nabi dalam sabdanya:

خير الناس قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم
"Sebaik-baik manusia adalah kurunku, setelah itu mereka yang datang kemudian dan setelah itu mereka yang datang kemudian."
(Sahih. Riwayat Tirmizi)

Maka Salafi bukan penisbahan kepada mana-mana individu atau tokoh imam tertentu sebaliknya ia adalah penisbahan kepada suatu yang maksum iaitu ketiga-tiga generasi awal Umat Islam yang mana Nabi bersabda:

لا يجتمع أمتي على ضلالة
"Umatku tidak akan sepakat dalam kesesatan."
(Sahih. Riwayat Tirmizi)

Daripada hadis ini datangnya hujah ijmak persepakatan seluruh ulama Islam dalam permasalahan Agama.

Berdasarkan pujian yang diberikan oleh ALLAH dan RasulNYA kepada para Sahabat, kelebihan dan keagungan mereka, serta pujian Nabi kepada ketiga-tiga generasi pertama Umat Islam; generasi Sahabat, Tabi'in dan Tabi' At-Tabi'in, kita DIWAJIBKAN kembali kepada kefahaman mereka dalam Al-Quran dan Hadis serta praktik mereka dalam Agama.

Bukan memahami Agama mengikut akal, hawa nafsu dan citarasa ataupun dengan mengikat diri kepada mana-mana tokoh dan menisbahkan diri kepada mereka.

Adapun dakwaan sebahagian pihak adanya pelbagai jenis Salafi seperti Salafi Jihadi, Salafi Albani, Salafi Saudi, Salafi Madkhali dan sebagainya, hal ini umpama mengatakan adanya Islam Arab, Islam Barat, Islam kontemporari, Islam Nusantara dan seumpamanya. Ia jelas BATIL dan TERTOLAK.

Ini kerana Salafi adalah penisbahan kepada Agama Islam yang BENAR. Sebagaimana Islam yang benar HANYA SATU, demikian juga Salafi.

Islam / Muslim adalah seerti dengan Salaf / Salafi.

Terdapat hanya satu jenis Salafi iaitu orang yang memahami Agama mengikut kefahaman Salaf As-Soleh.

Bagi mereka yang mendakwa Salafi tetapi menyelisihi Salaf sama ada daripada sudut Akidah, Ibadah, Akhlak ataupun MANHAJ maka mereka BUKAN SALAFI tetapi Ikhwani, Tablighi, Sufi, Haraki, Mazhabi mengikut hakikat kecenderungan mereka yang sebenar. Ini kerana Syarak melihat daripada sudut hakikat sesuatu itu bukan sekadar dakwaan.

Semua orang mendakwa Islam, mencintai ALLAH dan RasulNYA tetapi sejauh manakah mereka melazimi Sunnah Nabi dan para Sahabat?



Akhirnya, mereka yang membahagi-bahagikan Salafi hakikatnya sama ada dia JAHIL tidak faham apa itu SALAFI atau sebenarnya dia benci dan memusuhi MANHAJ SALAF itu.

Wallahul musta'an.

___________________________
~Ustaz Idris Bin Sulaiman~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments