Ustaz Zainul Asri: Taubat Tanpa Taubat | Inkarnasi Perpindahan Roh Dari Jasad Ke Jasad Lain

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


- Roh Abu Bakar al-Siddiq dalam jasad Imam Ahmad

- Kepercayaan kufur

Dalam satu rakaman video yang tular Ustaz Zainul Asri (UZA) mendakwa bahawa terdapat jenis-jenis roh yang boleh berpindah-pindah dari jasad ke jasad lain, dan beliau memberi contoh roh Sayidina Abu Bakar al-Siddiq yang Allah boleh tiupkan ke dalam jasad lain seperti Imam Ahmad bin Hanbal supaya beliau dapat menjadi ‘figure’ masyarakat pada zamannya. 

https://www.facebook.com/syeikhmu.../videos/200163222019644/ (minit 35:30)

Dengan kata lain, fizikalnya ialah Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) manakala rohnya ialah Abu Bakar al-Siddiq (wafat 13H). 

Kenyataan di atas sangat berbahaya dan bertentangan dengan akidah Islam. 

Ia dinamakan inkarnasi atau dalam bahasa Arab ‘Tanasukh al-Arwah’. 

Inkarnasi bermaksud penjelmaan semula seseorang dalam bentuk tertentu selepas mati yang terdapat dalam kepercayaan Buddha dan Hindu sebelum ia diadaptasikan ke dalam beberapa ajaran sesat Batiniah seperti Nusairiyyah, Duruz dan Qadyani. 

Secara amnya ia kepercayaan bahawa apabila jasad manusia mati maka rohnya akan berpindah ke dalam jasad yang lain bergantung pada amalannya, jika baik maka ia akan masuk ke dalam jasad orang yang baik dan jika buruk maka ia akan masuk ke dalam jasad orang yang buruk. 

Kepercayaan ini sangat batil lagi kufur dengan Allah ﷻ, kitabNya dan RasulNya. 

Beriman dengan Hari Akhirat serta Hari Pembalasan di samping adanya syurga dan neraka menjadi asas kepercayaan setiap Muslim sedangkan kepercayaan inkarnasi mendustakan semua kepercayaan itu. 

[al-Mausu’ah al-Muyassarah Fi al-Adyaan oleh Dr. Mani’ al-Juhani, 2/728]

Keyakinan bahawa setiap manusia akan mati sebelum mereka dibangkitkan untuk menjalani urusan hisab dan pembalasan di Hari Akhirat dinyatakan secara jelas dalam Al-Quran dan al-Sunah.

Firman Allah ﷻ: 

كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ.  

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

[Al-Quran, al-Ankabuut, 29: 57]

FirmanNya ﷻ: 

إِلَيۡهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗاۖ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقًّاۚ إِنَّهُۥ يَبۡدَؤُاْ ٱلۡخَلۡقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ لِيَجۡزِيَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ بِٱلۡقِسۡطِۚ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَهُمۡ شَرَابٞ مِّنۡ حَمِيمٖ وَعَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡفُرُونَ.  

“KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya) untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula disediakan bagi mereka minuman daripada air panas yang menggelegak serta azab yang tidak terperi sakitnya disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.”

[Al-Quran, Yunus, 10:4]

FirmanNya ﷻ lagi: 

يَوۡمَ نَحۡشُرُ ٱلۡمُتَّقِينَ إِلَى ٱلرَّحۡمَٰنِ وَفۡدٗا وَنَسُوقُ ٱلۡمُجۡرِمِينَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرۡدٗا.

“(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertakwa untuk mengadap (Allah) Al-Rahman secara berkumpulan. Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke Neraka Jahanam dalam keadaan dahaga.”

[Al-Quran, Maryam, 19: 85]

Sabda Nabi ﷺ: 

إِنَّكُمْ ‌مَحْشُورُونَ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا.

“Kamu akan dibangkitkan dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang dan tidak berkhatan.” 

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kepercayaan inkarnasi mendustakan semua nas-nas di atas tentang kebangkitan manusia dari kubur. 

Demikian hadis-hadis yang menetapkan adanya nikmat serta azab seksa kubur yang menjadi dalil jelas yang menunjukkan bahawa roh manusia tidak akan berpindah ke jasad lain. Sebaliknya nikmat dan azab seksa kubur itu akan menimpa atas roh manusia itu sehingga tiba Hari Kiamat.

Kata Ibnu Hazm: 

فَيَكْفِي مِن الرّد عَلَيهِم إجْماع جمَيع أهْل الإسَلام ِعَلى تَكْفِيرِهمْ وَعَلى أنَّ مَن قَالَ بقَوْلهِم فَإنّهُ عَلى غَيْرِ الإسْلامِ وَأنّ النَّبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسلم أتَى بِغَيْرِ هَذَا.

“Memadai untuk menyanggah mereka (yang menganuti kepercayaan ini) bahawa seluruh umat Islam secara ijmak mengkafirkan mereka, dan bahawasanya mereka yang mengungkapkan kepercayaan ini bukanlah seorang Muslim manakala ajaran yang dibawa oleh Nabi ﷺ menyalahinya.” 

[al-Fasl Fi al-Milal oleh Ibnu Hazm, 1/166]

Kata al-Qadi Iyadh: 

“Kami secara tegas mengkafirkan sesiapa yang mengatakan bahawa roh-roh akan lahir semula dan berpindah-pindah dari satu jasad ke jasad lain untuk diseksa atau diberi nikmat dalam jasad tersebut mengikut keadaan baik atau buruknya.”

[al-Syafa Bita’rif Huquq al-Mustafa oleh al-Qadi Iyadh, 2/283]

Kata al-Dardir al-Maliki: 

“Jatuh kafir jika dia percaya kepada perpindahan roh. Yakni barang siapa mengatakan bahawa orang mati rohnya akan berpindah ke (jasad) yang sepertinya atau yang lebih tinggi jika dia baik, atau ke (jasad) yang lebih rendah darinya atau yang sepertinya jika dia buruk maka dia kafir kerana kepercayaan tersebut menafikan (Hari) Kebangkitan.” 

[Hasyiah al-Sawi ‘Ala al-Syarah al-Saghir oleh al-Sawi al-Maliki, [4/434]

Laman web JAKIM menggariskan bahawa antara ciri-ciri ajaran sesat yang menyalahi pegangan Ahli Sunah Wal Jemaah ialah ‘Mendakwa roh orang mati mampu menjelma ke dalam jasad orang hidup’ (No. 21). 

http://e-smaf.islam.gov.my/.../main/mainv1/fatwa/pr/11439





USTAZ ZAINUL ASRI: TAUBAT TANPA TAUBAT 

- Isu Inkarnasi Perpindahan Roh 

Alhamdulillah. Ustaz Zainul Asri telah menarik balik kenyataan beliau tentang inkarnasi perpindahan roh dari jasad ke jasad lain. 


Beliau berkata: 
 “Saya tidak mahu memanjangkan isu (ini). Saya tarik balik kenyataan itu.  Dan saya mengatakan bahawa saya pun tak tahu. (Ia) bukan kenyataan saya (dan) saya (sekadar) menukilkannya daripada guru.”

Kata beliau lagi: 
“Saya tarik balik. Saya pun tak tahu kalam guru saya tu. Kita pun tak ada hujah. (Sekadar) mengkhabarkan apa yang tok guru kata.” 

Tambah beliau: 
“Ilmu ini kita tak tahu... saya pun tak tahu benda yang sebenar macam mana. Tak tahu. (Saya) menukilkannya sahaja. ”  

Dan katanya: 
“Saya sebagai seorang (yang) bukan ilmuwan tetapi seorang yang suka mengajar...” 

ULASAN
Beliau menjelaskan bahawa pendapat yang diutarakannya tentang perpindahan roh dari jasad ke jasad lain bukanlah pendapat beliau sendiri tetapi beliau sekadar menukilkannya daripada guru beliau tanpa mengetahui hujah atau dalilnya.
-------------------

Daripada kenyataannya di atas jelaslah bahawa beliau bukan sahaja tidak menekuni disiplin ilmu malah tidak menguasai prinsip-prinsip asas agama kerana tidak menyelidik apa yang beliau dengar daripada guru beliau sebelum menyampaikannya kepada orang lain. 

Dengan kata lain, beliau telah menyampaikan sesuatu yang beliau dengar tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu sedangkan Nabi ﷺ bersabda: 

‌كفى ‌بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ.
“Cukuplah seseorang itu dikatakan pembohong apabila dia menyampaikan segala apa yang didengar.” 
[Sahih. Riwayat Muslim]




Dalam riwayat lain, Nabi ﷺ mengancam mereka yang menyampaikan segala apa yang didengar tanpa usul periksa dengan bersabda: 

‌كَفَى ‌بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ.
“Cukuplah dosa seseorang itu apabila dia menyampaikan segala apa yang didengar.”
[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Sekalipun menarik balik asal kenyataan beliau tentang inkarnasi perpindahan roh dari jasad ke jasad lain tetapi agak musykil kenyataan beliau yang berikutnya iaitu: 

“Ilmu ini kita tak tahu... saya pun tak tahu benda yang sebenar macam mana. Tak tahu. (Saya) menukilkannya sahaja. ” 

Apa maksud beliau ‘ilmu ini kita tak tahu?’

Saya khuatir jika ada maksud tersirat di sebaliknya seperti ilmu laduni, kasyaf, ilham dan sebagainya. 
Apa yang pasti, tidak terungkap sepatah pun kata beliau bertaubat. 
Justeru, tidak salah untuk mengatakan bahawa beliau hanya menarik balik kenyataan beliau tersebut tanpa menjelaskan sama ada beliau bertaubat atau tidak daripadanya. 
Akhir kalam, setiap Muslim wajib berilmu sebelum berkata dan beramal sebagaimana Imam Bukhari menamakan salah satu bab dalam kitab Sahihnya ‘Bab: Ilmu sebelum Berkata dan Beramal’. 
Daripada Allah jua kita memohon petunjuk hidayah. 

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments