Benarkah Membasuh Daging Sembelihan Adalah Bida'ah?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Kata Imam Ibnu Taymiyyah tentang kebidaahan membasuh daging sembelihan atas menganggap daging sembelihan bernajis sehingga perlu dibasuh untuk menyucikannya:

"Makan daging panggang dan salai adalah harus – sama ada daging dibasuh atau tidak. Bahkan, membasuh daging sembelihan adalah bidaah. Para sahabat RA pada zaman Nabi SAW terus-menerus mengambil, memasak, dan memakan daging tanpa membasuhnya.

Mereka melihat darah membentuk garisan di periuk. Demikian itu kerana Allah mengharamkan ke atas mereka darah yang mengalir – iaitu mencurah dan terpercik – maka yang masih ada dalam urat, tidak diharamkan.

Akan tetapi, Allah tetap mengharamkan ke atas mereka sengaja mencari-cari urat seperti yang dilakukan oleh Yahudi, yang disebabkan kezaliman dan kerapnya mereka menghalang orang daripada jalan Allah, Allah mengharamkan beberapa benda baik yang pernah dihalalkan kepada mereka.

Pisau sembelihan digunakan untuk menyembelih dan melapah, tidak perlu dibasuh, kerana membasuh pisau yang digunakan untuk menyembelih adalah bidaah."


Syeikh 'Alawi al-Saqqaf mengulas kata-kata ini dengan mengatakan:

"Oleh yang demikian, orang yang mencermati perkataan ini jelas baginya bahawa Shaykh al-Islām tidak bercakap tentang kebidaahan membasuh daging atau pisau untuk membersihkan semata-mata kerana ini urusan keduniaan dan tabii yang tidak dimasuki unsur-unsur bidaah. Beliau juga tidak bercakap tentang adat kebiasaan bersifat keduniaan yang tidak ada kena-mengena dengan agama. Akan tetapi, beliau sedang berbicara tentang urusan agama yang bersifat ibadah yang tersebar luas pada zamannya, yang dijaja oleh golongan yang tanaṭṭu‘ dan waswas, dan dianggap oleh mereka sebagai urusan agama.

Jadi, orang yang beriktikad bahawa lemak yang ada pada baju atau tangan tukang sembelih adalah najis yang wajib dibasuh, atau beriktikad bahawa wajib atau sunat membasuh pisau kerana kenajisan darah sembelihan yang ada padanya, atau mengharamkan ke atas diri sendiri untuk makan daging panggang kerana masih ada saluran darah di situ; mereka yang beriktikad dengan mana-mana keyakinan ini dan menyangkanya sebahagian daripada agama, maka ia telah menyelisihi sunnah dan menyamai Yahudi pada sikap tanaṭṭu‘ mereka. Dari situ, ia telah terjebak dalam bidaah."

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments