Wakaf Untuk Hiasan Masjid Dan Binaan Kubur

OLEH: Saufy Jauhary

Para Fukahak berpendapat tidak sah mewakafkan harta untuk mencantikkan atau menghias masjid termasuk membuat binaan kubur. Ini kerana orang yang mati akan hancur dan kubur mereka tidak perlu diperindahkan. Tidak harus membazirkan harta pada perkara yang tidak bermanfaat.

Malangnya, hukum ini tidak dihiraukan oleh orang-orang Islam masakini. Mungkin perbuatan umat Islam kini diperakui oleh ulamak sendiri atau pun mereka hanya berdiam diri sahaja.

Kita lihat pada hari ini umat Islam menghimpunkan wang dari orang kaya dan miskin, dari harta-harta wakaf dan dari sumbangan orang ramai semata-mata untuk mencantikkan masjid, menghiasi dinding atau kubah dan membina mimbar yang hebat. Sama ada perbuatan ini dilakukan kerana jahil atau sengaja, ia adalah pembaziran yang tidak diizinkan syarak. Pembaziran ini hanya melekakan hati orang ramai dan mengganggu sembahyang mereka. Seolah-olah mereka yang melakukan ini tidak pernah membaca firman Allah:

قد أفلح المؤمنون. الذين هم في صلاتهم خشعون
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka khusyu' dalam sembahyangnya." (Al-Mukminum: 1-2)

Bagaimana mereka dapat khusyu' di dalam sembahyang sedangkan di hadapan, di belakang dan di kiri kanan mereka penuh dengan ukiran yang melalaikan mereka.

Begitulah juga yang dilakukan kepada binaan kubur. Kubur dihias, dimarmar dan dibina kubah di atasnya. Sehinggakan apa yang kita sangkakan istana rupanya kubur. Seolah-olah penghuni kubur tersebut masih hidup dan dapat menikmati keindahan bangunan itu.

Terdapat segelintir masyarakat yang membelanjakan sebahagian harta mereka untuk membina kubur mereka sendiri. Mereka mewasiatkan agar kubur mereka didirikan dengan binaan yang besar dan mewah di mana mereka bakal ditempatkan.

Wasiat sebegini adalah tidak sah pada segi syarak dan sia-sia. Imam an-Nawawi menyebut di dalam Matan al-Minhaj: "Adalah makruh meletakkan marmar pada kubur, atau pun membina dan menulis sesuatu padanya. Sekiranya binaan tersebut dibina di atas kawasan kubur awam maka hendaklah diruntuhkan."

Al-Khattib asy-Syarbani menyebut di dalam Mughni al-Muhtaj: "Hendaklah binaan tersebut diruntuhkan kerana ia mengganggu orang ramai. Tidak kira sama ada ia membinanya dalam bentuk kubah atau rumah atau masjid atau sebagainya."

Petikan dari Fiqhul Manhaji - Kitab Fikah Mazhab Syafie (Jilid 5).

___________________________
Saufy Jauhary~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments