Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman

Mazhab Syafie menetapkan bahawa diberi kelonggaran buat penduduk pedalaman yang telah solat Hari Raya untuk tidak solat Jumaat pada hari tersebut.

Imam Ibnu Qudamah menjelaskan bahawa Mazhab Imam Ahmad menegaskan bahawa barang siapa yang telah solat Hari Raya maka gugurlah baginya kewajipan solat Jumaat kecuali bagi imam; melainkan sekiranya jemaah tidak hadir untuk solat Jumaat.

Inilah pendapat yang benar dalam permasalahan ini bahawa barang siapa telah solat Hari Raya maka gugurlah baginya kewajipan solat Jumaat.

Hanya sahaja imam tetap perlu mendirikan solat Jumaat bagi membolehkan mereka yang hadir untuk melaksanakannya dan juga bagi mereka yang tidak solat Hari Raya.

Inilah ketetapan yang diambil daripada Rasulullah sallalahu alaihi wasallam dan para Sahabat.

Tidak diketahui bahawa mereka berselisih dalam hal ini.


Sabda Nabi:
قَدِ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ
(Telah terhimpun bagi kamu pada hari ini dua perayaan; barang siapa yang ingin maka ia (solat Hari Raya) adalah cukup baginya daripada (solat) Jumaat. Adapun kami menghimpunkan (melakukan kedua-duanya)
Riwayat Abu Daud


Kata Syeikh Bin Baz rahimahullah:
"Wajib atas imam solat Jumaat dan khatibnya untuk mendirikan solat Jumaat dan hadir ke masjid bagi melaksanakannya untuk mereka yang hadir.

Nabi sallalahu alaihi wasallam mendirikannya pada Hari Raya; Baginda mengerjakan solat Hari Raya dan solat Jumaat.

Tetapi bagi mereka yang telah hadir solat Hari Raya, dibolehkan bagi mereka meninggalkan solat Jumaat. Dan dia hendaklah mengerjakan solat Zuhur di rumahnya bersendirian atau bersama beberapa saudaranya sekiranya mereka pun telah hadir solat Hari Raya.

Dan sekiranya dia solat Jumaat bersama orang-orang lain (di masjid) maka itu lebih afdal dan lebih sempurna.

Tetapi sekiranya dia meninggalkan solat Jumaat kerana dia telah mendirikan solat Hari Raya maka tiada halangan baginya. Cuma hendaklah dia menggantikannya dengan solat Zuhur lalu

didirikan secara bersendirian ataupun secara berjemaah."


Barakallahu fikum.


___________________________
Ustaz Idris Sulaiman
_____________________________

Comments