Tarawih Kurang 20 Rakaat Tidak Dianggap Sebagai Tarawih Di Sisi Shāfi‘iyyah?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Maklum bahawa dalam masalah bilangan rakaat tarawih, ulama mazhab Shāfi‘ī menetapkannya 20 rakaat. Daripada situ, sebahagian orang mendakwa bahawa orang yang mengerjakan tarawih tidak cukup 20 rakaat – seperti lapan atau dua belas rakaat misalnya – tidak dianggap menunaikan solat tarawih.

Sebenarnya, berlaku khilaf dalam kalangan ulama muta’akhkhirīn dalam masalah ini, tetapi pendapat muktamad mengatakan hukum mengerjakan sebahagian tarawih adalah harus dan pelakunya mendapat sebahagian pahala tarawih.

Kata Syeikh Jamāl al-Dīn al-Ahdal (1352 H) dalam ‘Umdah al-Muftī wa-al-Mustaftī:

“Diperselisihkan tentang perbuatan iqtiṣār (berpada) dengan sebahagian tarawih. Kata sebahagian mereka, tidak mendapat pahala kecuali dengan mengerjakan solat 20 (rakaat) kesemuanya, kerana ia seperti sebuah perkara sunat. Dan yang muktamad di sisi Syeikh Ibnu Ḥajar ialah ia mendapat pahala untuk sebahagian kerana ia berlaku secara sah.”

Selang beberapa muka surat, Syeikh Jamāl al-Dīn al-Ahdal mengulangi masalah ini dengan mengatakan:

“Harus iqtiṣār dengan sebahagian tarawih seperti lapan (rakaat) dan sah solatnya walaupun dengan niat iqtiṣār dengan (kadar) tersebut sebagaimana yang difatwakan oleh guru kami, penulis (Syeikh Muḥammad b. Aḥmad b. ‘Abd al-Bārī al-Ahdal) dan Syeikh ‘Ālim Yaḥyā b. Muḥammad Mukarram mufti al-Hudaydah pada zaman guru kami, dan dipersetujui ramai.”

Kemudian, beliau menceritakan pendapat sebahagian ulama Hadramaut pada zaman Syeikh Muḥammad al-Ahdal yang mengatakan bahawa sebahagian tarawih tersebut hanya sah jika seseorang tidak bercadang untuk tidak menyempurnakannya ketika niat. Pendapat ini kemudiannya dijawab secara panjang lebar oleh Syeikh Muḥammad b. Aḥmad b. ‘Abd al-Bārī al-Ahdal.

Dikatakan pendapat yang membenarkan iqtiṣār dengan sebahagian tarawih muktamad walaupun pendapat bertentangan dipilih di dalam al-Ghurar al-Bahiyyah oleh Shaykh al-Islām, Fatḥ al-Jawwād oleh Ibnu Ḥajar sendiri, dan Fatḥ al-Mu‘īn oleh Syeikh Zayn al-Dīn al-Ma‘barī – sebagaimana yang tercatat dalam Ithmid al-‘Aynayn – kerana pendapat ini dinaskan di dalam Tuḥfah al-Muḥtāj dan Nihāyah al-Muhtāj yang merupakan kitab utama yang dimuktamadkan oleh muta’akhkhirīn.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments