OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Logika itu adalah satu perkataan yang sangat abstrak. Jangan difikir bahawa orang yang berfikiran logis itu adalah orang yang benar-benar cerdik menurut Tuhan.
Kerana logika itu adalah 'berfikir berdasarkan aqal', dimana setiap aqal itu berbeza-beza mengikut bangsa, zaman dan tempat.
Contohnya di zaman dahulu di China, wanita yang cantik itu adalah yang kecil tapak kakinya sehingga mereka berjalan perlahan dan melangkah pendek.
Akibatnya anak kecil sudah mengikat kaki untuk dibentuk agar runcing. Walaupun amalan ini tidak diamalkan oleh semua suku di China namun ia dilakukan secara meluas.
Hanya pada 1911, baharulah amalan ini dihapuskan dan sisa-sisa wanita 'berkaki Bunga Teratai' itu masih ada sedikit dan tua.
Di Mauritania pula keadaan sebaliknya berlaku. Wanita gendut dianggap cantik dan 'maruah' suami. Maka sejak anak kecil, kaum wanita di sana dipaksa makan dengan banyaknya agar badannya berkembang lantaran tumpukan lemak.
Kedua-dua amalan yang tidak menyihatkan ini adalah logis bagi kedua-dua bangsa yang mengamalkannya. Namun pada kita yang tidak lahir di dalam masyarakat tersebut, menganggap ia adalah satu bentuk penindasan dan tidak waras (logik) diamalkan.
Nah, hanya sebatas soal 'cantik' sahaja kita sudah punya pelbagai pandangan yang disandarkan pada nama logika.
Oleh itu, logika kamu tidak sama dengan logika kami, walaupun kita sama-sama menggunakan aqal untuk menimbangkannya.
Jadinya logika yang benar apabila kita menyandarkan jalan pikir kita kepada cara Nabi dan para sahabat berfikir. Itulah yang diperjuangkan oleh Mazhab Salaf.
Oleh itu, bila sesebuah aliran tidak mengikut cara paham Salaf as Soleh, mereka akan menjadi 'berterabur'.
Berterabur lantaran umat Islam menempuh pelbagai aliran alias mazhab. Berterabur dalam mengatur pemikiran sendiri.
Contohnya dalam membangun aqidah, ahli kalam menggunakan Logika Yunani (Dilektika) terhadap sifat Allah.
Kata mereka, jika Allah itu tinggi di atas Arsy, maka Allah sudah mengambil tempat dan arah. Sesuatu yang mengambil tempat dan arah maka ia adalah makhluk. Oleh itu, Mutakallimin menolak ijma dari para Salaf tentang istiwa'-nya Allah di atas langit.
Namun dengan menggunakan logika yang sama, kita dapat menterbalikkan sifir yang dipakai oleh Ahli Kalam tersebut.
Sesuatu yang tidak memiliki arah dan tidak mengisi ruang (mengambil tempat), maka ia sebenarnya tidak wujud. Oleh itu, dengan menggunakan logika mereka, tanpa sedar 'akal' yang dipakai itu telah menafikan wujud Tuhan.
Sebenarnya Ilmu Kalam itu hanya layak dipakai untuk bidang sains dan bukannya bidang aqidah.
Kerana itu para Salaf sangat membenci dan memusuhi Mutakallimin. Sangat banyak perkataan As Syafie tentang kesesatan Ilmu Kalam dan marahnya dia kepada Mutakallimin.
___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment