OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Kata al-Būshanjī (536 H):
Sekiranya engkau tidak menyembelih (akikah) pada hari ketujuh, sembelihlah pada hari ke-14. Jika tidak, pada hari ke-21. Demikianlah pada setiap tujuh-tujuh hari.
Berdasarkan pendapat di atas, waktu yang afdal untuk melakukan akikah adalah pada hari gandaan tujuh dan hari-hari tersebut berterusan sehingga akikah dilakukan. Menurut al-Tarmasī (1338 H), sehingga baligh sahaja. Katanya:
... Seperti hari ke-28, hari ke-34, dan begitulah sehingga baligh.
Jika benar seperti itlak perkataan beliau, sunat ini tidak terpakai ketika mengakikahkan diri sendiri kerana dilakukan setelah baligh. Menurut wajh yang kedua pula, gandaan tujuh ini terhenti pada gandaan ketiga sahaja. Ini bermakna, hanya hari ke-7, ke-14, dan ke-21 disunatkan dipilih secara khusus. Selepas hari ke-21, tidak ada beza akikah pada hari ke-28 atau hari ke-29, misalnya.
Asas penyunatan ini barangkali adalah dua hadis berikut. Pertama, hadis Buraydah RA:
"Haiwan akikah disembelih pada hari ketujuh, hari ke-14, atau hari ke-21."
Kedua, hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Kurz RA dan Abū Kurz, kata mereka: seorang perempuan daripada keluarga ‘Abd al-Raḥmān b. Abū Bakr bernazar, jika isteri ‘Abd al-Raḥmān melahirkan anak, kami (perempuan tersebut) akan menyembelih seekor unta. ‘Ā’ishah RA pun berkata:
"Jangan (begitu). Bahkan mengikut sunnah, yang paling afdal sempena bayi lelaki adalah dua ekor biri-biri yang hampir-hampir dan sempena bayi perempuan seekor biri-biri yang dipotong mengikut bahagian, tulang tidak dipatahkan, lalu dimakan, dijamu, dan disedekahkan. Ini hendaklah dilakukan pada hari ketujuh. Jika tidak, pada hari ke-14. Jika tidak, pada hari ke-21."
Akan tetapi, kedua-dua hadis ini tidak sahih.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment