OLEH: Muhammad Izzat Al-Kutawi
Sebenarnya, akikah juga boleh dilaksanakan sendiri selepas baligh. Akikah ketika itu bagaimanapun hanyalah sebagai qada. Kata Khatib al-Sharbīnī:
"Disunatkan baginya mengakikahkan diri sendiri untuk mendapatkan semula apa yang terlepas."
Kata al-Muzajjad (930 H):
"Kemudian, selepas baligh disunatkan bagi seseorang untuk mengakikahkan dirinya sendiri dan ini menjadi qada."
Oleh itu, akikah secara tunai hanya boleh dilakukan oleh wali sebelum kanak-kanak baligh. Akikah oleh diri sendiri selepas baligh hanya qada. Ya, sama ada secara sengaja mahupun tidak. Maknanya, akikah walaupun sengaja ditinggalkan oleh wali tetap boleh digantikan.
Di sini ada keraguan kerana perkara sunat sekiranya ditinggalkan secara sengaja – solat Duha misalnya – tidak boleh digantikan. Jawapannya, yang meninggalkannya ialah wali, bukan diri sendiri.
Untuk mengakikahkan diri sendiri, tidak ada had tempoh malah berterusan daripada baligh sehingga meninggal dunia. Sebabnya, akikah secara qada ini hanya boleh dilakukan diri sendiri. Apabila meninggal, tidak ada sesiapa lagi yang dapat melakukannya.
Berkenaan keharusan akikah dilakukan diri sendiri, terdapat hadis yang menjadi dalil utamanya iaitu hadis Anas b. Mālik RA, katanya:
"Bahawasanya Nabi SAW mengakikahkan diri baginda sendiri setelah diutus oleh Allah menjadi nabi."
Disebutkan oleh Ibnu al-Rif‘ah bahawa al-Shāfi‘ī juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengakikahkan diri sendiri selepas diturunkan surah al-Baqarah.
Namun begitu, hadis ini bermasalah. Oleh itu, amalan mengakikahkan diri sendiri perlu diperhalusi kewajarannya. Mengikut kaedah asal, al-‘ibādah idhā lam tuṯlab lam tan‘aqid. Amalan ini juga tidak disyariatkan berdasarkan satu ihtimal di dalam syarah al-‘Ubāb oleh Shihāb al-Dīn al-Ramlī.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment