Bertanya kepada Ahlinya

OLEH: Zulfikar Egar

Islam merupakan agama yang benar dan paling sempurna dalam memerhatikan seluruh sisi aspek kehidupan manusia.

Bukan sekadar menyentuh soal urusan akhirat semata-mata, tetapi juga turut menyentuh dalam urusan dunia.

Ini boleh dilihat bila mana Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah memerintahkan kita agar bertanya kepada ahlinya apabila kita tidak mengetahui dalam sesuatu perkara.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah berfirman;

فَسۡ‍َٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
“… maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.” [an-Nahl: 43]

Ayat ini umum untuk segala urusan. Baik urusan dunia mahupun dalam urusan agama.

Dan ayat ini juga sudah jelas menerangkan bahawa urusan agama perlu ditanyakan kepada ulama' (orang yang berilmu dalam hal agama), manakala urusan dunia pula ditanyakan kepada ahlinya.

Berdasarkan situasi terkini yang melanda negara dan juga dunia hingga dianggap sebagai satu krisis yang boleh mengancam nyawa dan negara.

Satu keputusan dan arahan telah dikeluarkan di mana keputusan dan arahan tersebut datangnya daripada pihak berkuasa, yakni pemerintah.

Keputusan itu pula bukan dibuat semberono tetapi dibuat dengan nasihat serta pandangan ahli-ahli dalam bidangnya. Mereka ini merupakan orang yang arif dan pakar dalam isu berkaitan dan juga dalam bidang kesihatan tersebut.

Oleh itu, kita sebagai orang awam ini perlulah ikut dan patuh sahaja. Usah dipersoalkan dengan membabi-buta dan memandai-mandai.

Untuk kebaikan masyarakat bersama. Dan juga bagi mengelakkan mudarat yang jauh lebih besar terjadi.

Wallahualam.


___________________________
Zulfikar Egar
_____________________________

Comments