Qiraat Hafs Min Asim ialah Qiraat Paling Masyhur?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Mungkin masih ramai yang menyangka qiraat yang kita gunakan pada hari ini adalah qiraat paling masyhur sejak zaman-berzaman. Lebih jauh daripada itu, sesetengah pihak menyangka bahawa qiraat yang kita gunakan sahaja bertaraf yang mutawatir.

Sebetulnya riwayat Hafṣ daripada 'Āṣim adalah bacaan rasmi kerajaan 'Uthmāniyyah. Dengan peluasan pengaruh mereka, bacaan ini tersebar ke hampir seluruh negara Islam. Hanya kebanyakan negara di Afrika yang masih kekal dengan bacaan asal mereka seperti Libya dengan riwayat Qālūn daripada Nāfi' dan Somalia dengan riwayat Hafṣ al-Dūrī daripada Abu 'Amr.

Kepelbagaian qiraat dan riwayat ini boleh didapati dengan mudah dalam manuskrip-manuskrip kitab turāth kerana para ulama akan menulis ayat al-Quran berdasarkan bacaan masing-masing. Antaranya ialah kitab al-Risālah oleh Imam al-Shāfi‘ī. Beliau menukilkan ayat al-Quran mengikut bacaan penduduk Mekah yang sedikit sebanyak berbeza dengan qiraat Hafṣ daripada 'Āṣim, bahkan ada tempat yang tidak sama dengan semua qiraat sepuluh yang masyhur mahupun rasm ‘Uthmānī yang termaktub dalam mushaf kita hari ini.

Syeikh Aḥmad Shākir (1377 H), pentahqiq terkenal yang mentahqiq kitab al-Riṣālah itu tidak dapat menerima kalimah رُسُل dalam ayat 171 surah al-Nisā’ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ditulis dalam kitab tersebut dengan رَسُول menjadikannya فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ . Oleh kerana bacaan tersebut bercanggah dengan ejaan mushaf dan tidak ditemui dalam mana-mana qiraat yang masyhur mahupun syaz - seperti katanya - maka beliau memutuskan bahawa Imam al-Shāfi‘ī tersilap membaca ayat ini.
Jadi, Syeikh Aḥmad Shākir membetulkan teks ayat tersebut mengikut bacaan biasa. Tetapi, beliau tetap hairan bagaimana kesalahan ini tidak dikesan oleh begitu ramai ulama besar yang membaca, mendengar, dan menyalin kitab penting uṣūl fiqh itu. Beliau akhirnya menyalahkan ulama kerana kononnya bertaqlīd kepada Imam al-Shāfi‘ī dalam kesilapan ini.

Perkara ini telah dikaji oleh Maḥmūd b. Muḥammad b. Maḥfūz, seorang anggota forum dalam talian khusus untuk ilmu fiqh iaitu feqhweb.com. Menurutnya, Syeikh Aḥmad Shākir yang sebenarnya tersilap kerana bacaan yang tercatat dalam al-Risālah itu, walaupun tidak dinukilkan dalam mana-mana kitab masyhur ilmu qiraat, adalah bacaan ahli Mekah dan ada dalam mushaf mereka yang merupakan salah satu mushaf yang dihantar oleh Saidina ‘Uthmān b. ‘Affān.

Perkara ini disebutkan oleh ahli ilmu rasm seperti Imam Abū Ḥātim al-Sijistānī (255 H) sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Abī Dāwūd al-Sijistānī (316 H) dalam Kitāb al-Maṣāḥif. Imam al-Shāfi‘ī berasal dari Mekah dan membesar di sana. Jadi, tidak peliklah jika beliau membaca mengikut ejaan yang tercatat dalam mushaf Mekah dan bacaan ahli Mekah ketika itu.

Dan sebenarnya, bacaan tersebut ada dinukilkan dalam qiraat syaz iaitu qiraat Ibnu Munādhir seperti yang dicatat oleh al-Kirmānī, ulama kurun keenam Hijrah dalam Shawwādh al-Qirā'āt. Namun, seperti kata Imam Ibnu al-Jazarī (833 H):

له اختيار في القراءة خالف فيه الناس.
"Beliau mempunyai ikhtiyār dalam qiraat yang menyalahi orang ramai."

Wallahualam.


Lampiran:


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________


Comments