Membongkar Ajaran Numerologi, Nombor Metafizik Dan Psiko Numerologi

 OLEH: Ustaz Suhili Nain


Apa itu Numerologi?

Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat mendefinisikan Numerologi sebagai sebuah kajian tentang nombor-nombor yang dipercayai mempunyai pengaruh atau erti tertentu dalam kehidupan seseorang individu dan sebagainya. Numerologi menyatakan nombor bukan sekadar mengandungi nilai bilangan. Ia juga turut mempunyai nilai mistik, unsur ghaib ataupun energi yang memberikan pengaruh kepada kehidupan manusia. Inti utama Numerologi adalah mengkaji berkenaan tarikh lahir manusia disamping mengkaji nilai-nilai nombor bagi huruf dan perkara lain.

Dalam masyarakat kita hari ini, ilmu Numerologi mengalami inovasi dan penjenamaan semula dengan pelbagai nama. Contohnya:

 Nombor Metafizik.

 Psiko Numerologi.

 Psiko Matrixologi.

 Ilmu Rahsia Tarikh Lahir.


Daripada Mana Asal Numerologi Ini?


Terdapat pelbagai dakwaan mengenai asal ajaran Numerologi ini. Antara yang popular, ia disandarkan kepada seorang ahli falsafah Matematik bernama Pythagoras yang berasal daripada Yunani. Ada juga yang mengatakan ajaran ini berasal daripada zaman tamadun Mesir Kuno ataupun Babilon. Numerologi juga terdapat dalam ajaran masyarakat Cina, yang mana mereka mempercaya adanya nombor bertuah, 888 dan nombor malang, 444. Ia juga terdapat dalam ajaran Yahudi yang disebut dengan nama Gematria, yang mengira nilai nombor dalam huruf Hebrew untuk mendapatkan tafsiran tertentu.

Fakta yang jelas, Numerologi ini tidak berasal daripada ajaran Islam sama sekali. Bahkan, ia adalah perkara menyalahi ajaran Islam.


Bagaimana Numerologi Berfungsi?

Numerologi berfungsi dengan membuat kiraan terhadap tarikh lahir dengan kaedah tertentu yang diajarkan oleh guru Numerologi. Daripada kiraan tersebut, pengamal Numerologi akan diperolehi nombor asas dirinya yang terdiri daripada angka satu hingga sembilan. Nombor asas tersebut dikategorikan sebagai nombor air, angin, api dan tanah. Terdapat juga yang meletakkan kategori nombor besi ataupun logam.

Daripada nombor asas yang diperolehi, pengamal Numerologi akan merujuk tafsiran yang telah diajarkan dalam ilmu, lazimnya untuk mengenali diri.

Nombor asas tersebut akan dijadikan panduan untuk membuat sebarang keputusan dalam hidup seperti keputusan perhubungan, kerjaya dan perniagaan. Pengamal Numerologi percaya, perjalan kehidupan mereka adalah dipengaruhi oleh nombor asas diri mereka dan sejauh mana mereka mengikuti tafsiran nombor asas tersebut.


Berdasarkan pemerhatian saya, terdapat pelbagai kaedah pengiraan diajarkan oleh guru-guru Numerologi di Malaysia. Ia berbeza guru kepada guru yang lain, bergantung sejauh mana mereka telah menginovasi pengiraan tersebut. Ada yang berbentuk segi tiga terbalik, ada yang berbentuk rombus dan ada juga yang berbentuk susunan blok ataupun matrik.

Gambar ini adalah contoh ramalan personaliti oleh golongan Numerologi ke atas
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin. Bertujuan mempromosi ajaran mereka. Sebelum ini
ada juga saya temui yang melakukan kiraan Numerologi ke atas Dr. Zakir Naik.

Terdapat pengiraan Numerologi untuk mendapatkan tafsiran personaliti luaran dan dalaman, kekuatan dan kelemahan, keserasian suami isteri, perhubungan dengan orang sekeliling, bakat, keadaan hidup di akhir hayat dan sebagainya.

Selain mengira tarikh lahir, pengamal Numerologi juga mengira tarikh yang sesuai untuk melakukan sesuatu perkara, mengira nombor dalam nama, mengira nombor telefon, nombor akaun bank, nombor flat kereta dan segala sesuatu yang bernombor. Ia bergantung sejauh mana ketaksuban pengamal Numerologi. Semakin kuat ketaksuban mereka, maka semakin banyaklah kiraan yang mereka akan praktik dan mungkin akan melakukan inovasi kiraan.


Apa Kata Islam Tentang Numerologi?

Numerologi ataupun ilmu Nombor Metafizik adalah perkara yang haram. Ia termasuk dalam dosa syirik yang merupakan dosa paling besar antara kesemua dosa-dosa besar. Para Nabi dan Rasul diutuskan adalah untuk membanters dosa syirik dan mengajak manusia mengesakan Allah SWT.

Apabila saya kata Numerologi ini termasuk dalam perkara syirik, menyekutukan Allah SWT, ada yang mempertahankan diri bahawa mereka tidak sujud kepada patung berhala dan menyeru jin dan syaitan dengan belajar Numerologi. Ketahuilah, dosa syirik itu terdapat pelbagai bentuk. Bukan sekadar sujud kepada berhala semata-mata. Meyakini sesuatu objek, seperti nombor, mempunyai energi ghaib dan mistik juga termasuk dalam perkara syirik.

Sekiranya tidak jelas mengenai perkara ini, saya sarankan agar pelajari aqidah Islam dan kenali apa yang disebut sebagai syirik.

Berikut adalah penjelasan mengenai haramnya Numerologi.


1. Syirik Ramalan, Mendakwa Mengetahui Perkara Ghaib.

Praktik Numerologi adalah satu bentuk perbomohan dan tilik nasib. Berdasarkan kiraan tarikh lahir, dengan menggunakan formula kiraan tertentu, pengamal Numerologi mendakwa mampu menyingkap perkara ghaib, seperti sifat dalaman dan sifat luaran seseorang, serta keadaan akhir hayat seseorang, perkara ghaib yang bakal berlaku pada masa akan datang dan persekitaran seseorang. Sedangkan, sifat dalaman seseorang dan perkara yang bakal berlaku pada masa akan datang itu adalah termasuk perkara ghaib yang tidak diketahui.

Sekiranya bomoh tradisional menyeru jin dan syaitan, golongan Numerologi pula ‘menyeru’ energi ghaib dan mistik nombor untuk menyingkap perkara ghaib.

Allah SWT berfirman:

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. "Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).” (Surah Al-Jin: 26-27)

Daripada ayat ini jelas, yang mengetahui perkara ghaib hanyalah Allah SWT. Para Nabi dan Rasul tidak mengetahui perkara ghaib, melainkan melalui perantaraan wahyu daripada Allah SWT kepada mereka.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi orang yang mendakwa mengetahui perkara ghaib, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam.” (Sahih Muslim, no. 2230) 1

Ramalan sifat dalaman berdasarkan ilmu Numerologi ini tidak boleh disamakan dengan ramalan terhadap sifat atau personaliti seseorang berdasarkan ilmu Psikologi. Ramalan dalam Numerologi didasari kepercayaan unsur dan energi ghaib terhadap nombor tarikh lahir. Manakala, ramalan personaliti dalam ilmu Psikologi adalah berdasarkan ujian Psikometrik, pilihan jawapan terhadap persoalan yang diajukan.

Ujian Psikometrik ini bukan Psiko Matrixologi, jangan keliru antara keduanya.

Dalam ujian Psikometrik seseorang akan diajukan soalan tentang kekerapan aktiviti, keputusan yang dibuat, minat dan sebagainya, yang pada akhir ujian tersebut dapat memberikan gambaran personaliti seseorang. Tiada sebarang kepercayaan dan unsur ghaib atau mistik.

Berbeza dengan itu, ramalan Numerologi dibuat berdasarkan perkara yang diluar pilihan manusia seperti tarikh lahir dengan disertai kepercayaan wujudnya pengaruh dan energi terhadap nombor. Malah, Numerologi tidak mempunyai kajian empirikal ataupun saintifik yang boleh membuktikan kebenarannya. Meskipun tidak sedikit terjebak dalam perkara ini adalah mereka yang mencebur diri dalam bidang psikologi, hakikatnya Numerologi adalah psuedo-psikologi (ilmu psikologi palsu).2

Selain itu, ramalan Numerologi terhadap perkara yang bakal berlaku, tidak boleh disamakan dengan ramalan cuaca dalam ilmu Meteorologi. Ilmu Meteorologi dibangunkan atas ilmu fizik, kajian empirikal dan data saintifik serta usaha yang boleh dicapai dengan akal manusia. Contohnya, ahli Meteorologi aka melepaskan belon cuaca ke atmosfera, memerhatikan arah tiupan dan kelajuan angin. Berbeza dengan itu, Numerologi tidak berpijak di atas hukum fizik.


2. Syirik Tathayyur, Anggapan Sial Terhadap Sesuatu.

Apabila kita membaca perkongsian pengamal Numerologi, tidak diragukan lagi mereka ini adalah golongan mempercayai nombor mempunyai pengaruh ghaib yang mereka biasa sebut sebagai energi, getaran, aura dan seumpamanya. Sekiranya seseorang menggunakan nombor yang mempunyai energi yang buruk, ia akan mengakibatkan malang kepada pemiliknya. Sekiranya seseorang menggunakan nombor yang menurut mereka mempunyai energi yang positif, maka ia akan membawa tuah kepada

pemakainya.

Gambar satu kelas Numerologi yang saya dapat daripada Facebook. Setiap arah mempunyai
nombor dan arah rumah ke tempat berniaga dinyatakan memberi kesan terhadap kejayaan dan
tekanan terhadap kerjaya seseorang.

Justeru itu, kita akan melihat pengikut ilmu Numerologi ini selalu menitik beratkan nombor telefon, nombor rumah, nombor kenderaan dan sebagainya. Bahkan, ada yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan nombor yang mempunyai energi positif disisi mereka. Ada juga yang menilik keserasian tarikh lahir pasangan, kerana menganggap kiraan tarikh lahir yang tidak serasi berpotensi membawa keburukan dalam perkahwinan yang bakal dibina.3

Apabila ditimbang daripada neraca syarak, ini adalah syirik tathayyur ataupun anggapan sial yang dibanteras dalam Islam. Asal permulaan syirik tathayyur adalah orang-orang pada masa jahiliyyah menggunakan burung sebagai sumber pedoman. Apabila salah seorang daripada mereka keluar daripada rumah untuk musafir, untuk sesuatu urusan lalu melihat burung terbang ke arah kanan, maka dia merasa optimis dan meneruskan urusannya. Akan tetapi jika dia melihat burung terbang ke arah kiri, dia merasa pesimis dan berpatah balik. Bagi mereka, burung terbang ke kiri itu adalah satu kesialan.

Rasulullah SAW berkata:

“Tathayyur itu adalah syirik. Tathayyur itu adalah syirik.” Baginda mengulanginya
sebanyak tiga kali. (Sunan Abu Dawud, no, 3910 – Sahih)

Saya pernah menonton video Numerologi, yang mana dalam video tersebut diajarkan mengira tarikh tertentu sama ada sesuai untuk melakukan jualan bisnes ataupun sebaliknya, ataupun siapakah yang sesuai mereka sasarkan berdasarkan kiraan tarikh tersebut.


3. Perkaitan dengan Ilmu Sihir.

Sesiapa yang mengiktiraf Numerologi, secara tidak langsung mereka akan mengiktiraf ilmu Astrologi; tilik perkara nasib dan perkara ghaib berdasarkan bintang dan tarikh lahir seseorang.

Kedua-dua perkara ini, Numerologi dan Astrologi, boleh diumpamakan sebagai adik- beradik. Dalam mana-mana laman sesawang Astrologi biasanya kita akan menemui perbahasan mengenai Numerologi. Bahkan, Numerologi dikatakan sebagai pelengkap kepada Astrologi.

Nabi Muhammad SAW bersabda tentang ilmu Astrologi:

“Sesiapa yang mempelajari sebahagian daripada ilmu Astrologi, maka dia telah
mempelajari satu cabang daripada sihir. Semakin bertambah (ilmu yang dia pelajari) maka
semakin bertambah (dosanya).” (Sunan Abu Dawud, no. 3905 – Hasan)

Kaitan Numerologi dengan Astrologi menjadi lebih jelas apabila kita memahami bahawa nombor 1 hingga 9 yang dinyatakan dalam Numerologi sebenarnya mewakili sistem planet yang berada di atas langit.


4. Pembohongan ke atas Allah SWT.

Pengamalan Numerologi adalah satu pembohongan ke atas Allah SWT. Mereka mendakwa bahawa nombor mempunyai energi atau kekuatan unsur ghaib. Sedangkan, sesuatu perkara ghaib tidak akan dapat diketahui melainkan melalui wahyu yang diturunkan oleh Allah. Persoalan, daripada mana mereka mendapat wahyu, sehingga berani mengatakan nombor mempunyai energi ghaib sedemikian? Siapakah yang mengajarkan bahawa tarikh lahir adalah kunci rahsia memahami personaliti manusia? Apakah ada nabi ataupun rasul yang menyampaikan perkara sedemikian kepada mereka?

Ada di antara mereka telah berdalilkan ayat Al-Quran, lalu memahaminya secara sesat dan bercanggah dengan makna ayat yang sebenarnya. Contohnya dalam satu artikel berkenaan

Psiko Numerologi, mereka membawa terjemahan ayat seperti berikut:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.” 
(Surah Al-Qamar: 49)

Mereka berhujah bahawa Allah SWT menjadikan tiap sesuatu dengan ukuran, ketetapan tertentu, yang mereka dakwa itu adalah nombor. Memang benar, setiap sesuatu di alam ini mempunyai ukuran, panjang, lebar, berat dan kepadatan dan seumpamanya, tetapi adakah ayat tersebut tidak menyatakan bahawa nombor-nombor tersebut ada kekuatan ghaib? Jelas tiada sama sekali. Dakwaan nombor mempunyai energi ghaib itu hanyalah tambahan yang direka-reka oleh mereka sahaja. Mereka telah menyelewengkan ayat Al-Quran agar sesuai dengan hawa nafsu mereka.

Apabila kita merujuk tafsir para ulama, seperti Tafsir Ath-Thabari, ayat di atas tersebut sebenarnya merujuk kepada ketetapan takdir oleh Allah SWT. Bukan merujuk kepada nombor, dan tidak juga menyatakan nombor mempunyai energi ghaib.


Paradoks Ahli Numerologi Terhadap Kalendar.

Daripada segi logik akal manusia, nombor tarikh lahir tidak mempunyai makna mistik ataupun unsur ghaib dalam menilik personaliti seseorang. Kalendar yang menjadi sandaran para ahli Numerologi sendiri adalah susunan dan buatan manusia, maka bagaimana pula nombor tarikh pada sesuatu kalendar itu boleh mempunyai energi ghaib dalam menentukan dan menilik personaliti seseorang?

Fikirkan, apabila kita menggunakan kalendar Gregorian, kita akan dapat kiraan nombor asas yang berbeza apabila kita guna kalendar Islam, kalendar Cina ataupun kalendar Hindu. Perbezaan hasil kiraan akan menghasilkan tafsiran yang bercanggah antara satu kalendar dengan kalendar yang lain. Ini adalah satu perkara yang paradoks.

Bukan itu sahaja, jumlah bulan Januari hingga Disember yang kita pakai sekarang pun terdapat perbezaan. Pada hari ini, dalam kalendar Gregorian, terdapat 12 bulan dalam setahun, dimulai dengan bulan Januari, diakhiri dengan bulan Disember.

Sebelum kalendar Gregorian digunakan, dalam kalendar yang digunakan sebelumnya, iaitu kalendar Romulus, terdapat 10 bulan sahaja dalam setahun. Dimulai dengan bulan Mac, diakhiri dengan bulan Disember yang merupakan bulan kesepuluh. Bulan kelapan dalam kalendar terdahulu adalah bulan Oktober, sebab itu ia dinamakan ‘Octo’ (lapan).

Cuba kita bertanya kepada ahli Numerologi, bagaimana kita mahu mengira bulan Oktober dalam kalendar, adakah sebagai 10 ataupun 8? Mana satu yang lebih tepat? Bagaimana pula dengan bulan-bulan lain? Saya percaya para pengikut Numerologi tidak mempunyai bukti yang kukuh dalam pemilihan kalendar yang menjadikan rujukan mereka.

Selain itu, cuba kita bertanya kepada ahli Numerologi, mengapa mereka menggunakan kalendar Gregorian sebagai pengiraan? Sedangkan Pythagoras yang dijadikan sandaran Numerologi moden, tidak menggunakan kalendar Gregorian kerana dia hidup sebelum kalendar tersebut digunakan.


Menilai Pengaruh Tarikh Lahir dengan Lebih Dekat.

Dalam Numerologi tarikh lahir adalah elemen penting dalam mempengaruhi personaliti seseorang. Bagi mendapatkan tarikh lahir, kita merujuk kepada kalendar dan kalendar yang menjadi rujukan ahli Numerologi adalah kalendar Gregorian.

Bagaimana tarikh dalam kalendar Gregorian dikira? Tarikh dikira berdasarkan peredaran bumi mengelilingi matahari. 1 tahun bermakna lengkapnya bumi beredar mengelilingi matahari.

Ini bermakna, hakikat orang yang mengatakan tarikh lahir mempengaruhi personaliti seseorang sebenarnya sedang mengatakan bahawa kedudukan bumi yang mempengaruhi personaliti manusia.

Peredaran bumi menentukan personaliti, karakter dan bakat seseorang? Kedudukan bumi memainkan peranan dalam keserasian antara pasangan? Bukankah ini satu kesyirikan yang jelas berkenaan ilmu Rahsia Tarikh Lahir, Numerologi, Psiko Numerologi, Psiko Matrixologi, Nombor Metafizik ini?


Menjawab Kekeliruan Pengamal Numerologi.

Apabila kita menjelaskan kepada para pengamal Numerologi, mereka akan memberikan pelbagai alasan bagi membenarkan perbuatan mereka, antaranya adalah seperti berikut.


1. “Numerologi Adalah Ilmu Falsafah.”

Ada yang beranggapan, apabila sesuatu ilmu yang dikategorikan sebagai ilmu Falsafah, maka ia adalah sesuatu yang tinggi dan benar. Ini adalah kekeliruan yang cukup besar. Disebut sebagai ilmu falsafah, bukan jaminan sesuatu itu adalah benar. Apabila kita membaca sejarah umat Islam, golongan ahli Falsafah adalah golongan yang kuat membantah aqidah umat Islam semenjak dahulu sehingga hari ini. Bahkan, pengaruh golongan Falsafah telah menyebabkan munculnya aliran sesat dalam Islam.

Contoh kisah yang masyhur adalah pendebatan Jahm bin Shafwan dengan ahli Falsafah yang dinamakan Sumaniyyah. Disebabkan Jahm bin Shafwan kurang ilmu berkenaan Al-Quran dan As-Sunnah, beliau telah terpengaruh dengan persoalan-persoalan golongan Sumaniyyahsehingga lahirnya aliran Jahmiyyah yang menafikan sifat Allah.

Falsafah mengandungi pelbagai perkara yang menyelisihi aqidah Islam. Tidak sedikit seseorang yang jahil ilmu agama, aqidah Islam yang benar, membelek ilmu falsafah, lalu akhirnya merosakkan aqidahnya. Antara ajaran Falsafah yang menyalahi aqidah Islam adalah idea Qidam Al-Alam, yakni alam ini adalah sedia wujud tanpa dicipta oleh Allah SWT dan teori

Al-Fayd, bahawa alam ini adalah limpahan daripada zat Allah SWT, menatijahkan bahawa alam ini dan tuhan hakikatnya adalah satu.

Pythagoras yang dijadikan sandaran ilmu Numerologi moden ini, tidak diragukan lagi bahawa aqidahnya adalah menyelisihi ajaran Islam. Maka, tidak hairan apabila keluar idea Falsafah yang kufur daripada Pythagoras. Ada pun ilmu Matematik yang diajarkan Pythagoras dan tiada kaitan dengan unsur Metafizik, ghaib dan mistik itu tiada masalah untuk kita mempelajarinya.

Apabila ajaran Pythagoras bercanggah dengan ajaran Nabi Muhammad SAW, sebagai orang yang mengaku beragama Islam, tidak sepatutnya kita berpegang dengan ajaran Pythagoras dan meninggalkan ajaran Nabi Muhammad, kerana itu adalah perbuatan yang boleh membawa kepada kekufuran.


2. “Ramalan Numerologi Ini Hampir Tepat.”

Tidak sedikt yang membaca ramalan personaliti dalam Numerologi, akan mengakui bahawa ramalan Numerologi kebanyakannya adalah benar. Sebenarnya, ini bukanlah perkara yang memeranjatkan. Sekiranya mereka membaca ramalan lain seperti Astrologi, ramalan tapak tangan, tilikan personaliti melalui tulisan, hatta ramalan bomoh siam sekalipun, pasti mereka akan mengakui ramalan-ramalan tersebut juga adalah benar.

Mengapa perkara sedemikian berlaku?

Ini kerana, ramalan-ramalan personaliti dalam Numerologi, yang hakikatnya sebuah pseudo-science (sains palsu) adalah dibangunkan atas pernyataan yang berbentuk umum, kabur dan berlaku kepada ramai orang. Dalam masa yang sama, sememangnya sifat manusia itu cenderung untuk mencari karakter peribadi atau personaliti mereka dalam kenyataan-kenyataan berbentuk umum. Dalam ilmu Psikologi, kecenderungan manusia yang sedemikian disebut sebagai Barnum Effect (Kesan Barnum) ataupun Forrer Effect (Kesan Forrer).

Selain itu, ramalan Numerologi kelihatan menjadi realiti kerana seseorang berada dalam situasi yang disebut sebagai Pygmalion Effect (Kesan Pygmalion) yang menyatakan manusia itu cenderung untuk membuktikan atau merealisasikan tanggapan orang lain terhadap diri mereka.

Misalnya, apabila seseorang membaca ramalan Numerologi, bahawa dia akan mendapat kejayaan dalam bidang bisnes tertentu, maka dia mula berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang tersebut untuk merealisasikan ramalan yang dibacanya.

Benarnya sesuatu ramalan Numerologi pada pandangan kita, bukan alasan kita sebagai orang Islam untuk mengamalkan perkara syirik ini dalam kehidupan kita. Renungilah hadis yang disebutkan ini.

Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib
lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu, kemudian kami dapati ia adalah benar!”
Rasulullah menjawab: “Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil oleh seorang jin lalu
dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus
kedustaan.” (Shahih Muslim, no. 2228)

Daripada hadis ini jelas bahawa benarnya ramalan para bomoh yang mendakwa mengetahui perkara ghaib, tidak boleh dijadikan alasan untuk berpegang dan beramal dengan ramalan mereka. Demikian juga halnya, sikap kita terhadap ramalan para Numerologi dan seumpamanya yang dibangunkan atas pseudo science (sains palsu).


3. “Testimoni Para Peserta.”

Apabila kita berhujah dengan golongan Numerologi, biasanya mereka akan memaparkan kepada kita testimoni orang-orang yang mendapatkan khidmat ramalan personaliti mereka. Ketahuilah, testimoni adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan bukti. Misalnya, di luar sana kita dapat membaca banyak testimoni produk-produk kesihatan, namun apabila diteliti testimoni tersebut adalah disebabkan Placebo Effect (Kesan Placebo), ada juga rekaan dan overclaim oleh pelanggan mereka dengan ayat testimoni yang begitu hype. Apabila dibuat kajian di makmal, rupanya produk kesihatan tersebut tidak berkesan, malah ada yang mengandungi bahan berbahaya.

Demikian juga situasi yang sama boleh berlaku dalam testimoni golongan Numerologi ini. Ia tidak boleh dijadikan hujah dan bukti. Ini kerana, testimoni terdedah kepada bias dan pengaruh seperti Barnum Effect yang dinyatakan sebelum ini.

Selain itu, teknik pemaparan testimoni selalunya hanya memaparkan maklum balas daripada sisi yang positif sahaja. Contohnya, sekiranya 100 orang mendapatkan khidmat ramalan personaliti sepatutnya 100 maklum balas yang dipaparkan. Tetapi, dalam memaparkan testimoni, golongan Numerologi hanya memilih 10 orang yang memberikan maklum balas positif sahaja. Sedangkan berpuluh yang lain yang memberikan maklum balas negatif tidak akan diambil peduli.

Bagi membuktikan kebenaran sesuatu, ia mestilah bersandarkan kepada kajian yang benar. Tidak diterima sekadar dakwaan testimoni sahaja.


4. “Saya Bukan Percaya Sepenuhnya.”

Orang yang mengaku dirinya Islam tidak sewajarnya mengucapkan perkara ini. Bayangkan, apakah selayaknya seseorang beragama Islam, mengaku dirinya percaya serba sedikit aqidah Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha? Mengatakan perkara sedemikian tidak boleh diterima sama sekali. Demikian juga dengan ajaran menyeleweng Numerologi ini.Tidak boleh bagi kita mencampur aduk aqidah Islam dengan kepercayaan agama lain. 

Hakikatnya, ajaran Numerologi adalah ajaran agama selain Islam yang kini dibawa masuk ke dalam minda umat Islam. Kesannya, umat Islam disibukkan dengan nombor lalu berpaling daripada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Malah, ada juga yang tergamak menafsirkan ayat Al-Quran dengan kaedah Numerologi, itu adalah satu penyelewengan yang amat berat dalam memahami Al-Quran.

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu
sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah: 42)


5. “Ilmu Allah SWT itu luas.”

Biasanya ini antara ayat terakhir apabila golongan Numerologi tidak dapat menegakkan amalan mereka, namun hakikatnya ia hanyalah usaha ‘menegakkan benang yang basah’.

Memang benar, ilmu Allah SWT itu luas. Tetapi, apakah buktinya bahawa ilmu Numerologi ini adalah benar dan sahih daripada Allah SWT, bukannya rekaan, pendustaan ataupun khayalan akal manusia? Membuat dakwaan sedemikian tanpa bukti boleh menjerumuskan seseorang kepada berdusta atas nama Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota
itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra: 36)

Satu perkara yang harus difahami, perkhabaran tentang perkara ghaib haruslah melalui wahyu berupa Al-Quran dan As-Sunnah. Ia tidak boleh dicapai dengan akal manusia. Sesiapa yang mendakwa mengetahui perkara ghaib dengan menyelisihi Al-Quran dan As-Sunnah, maka dia telah membuat satu dosa pendustaan yang cukup berat. Apatah lagi, sekiranya pendustaan itu menjerumuskan manusia kepada perbuatan syirik.


Syirik Dosa Paling Besar, Menghalang ke Syurga.

Saya menyeru kepada anda yang terlibat dengan ajaran Numerologi, Nombor Metafizik dan Psiko Numerologi ataupun apa sahaja nama, yang menjadikan tarikh lahir sebagai bahan tilikan, bertaubatlah daripada ajaran tersebut.

Jangan risikokan aqidah anda dengan ilmu-ilmu sedemikian semata-mata untuk mengejar kejayaan dunia yang sementara. Umat Islam terdahulu tidak berpegang dengan ilmu-ilmu sedemikian untuk mencapai kejayaan. Malah, ramai sahaja umat Islam pada hari ini tidak beramal dengan Numerologi, Nombor Metafizik, Psiko Numerologi, namun masih berjaya mencapai kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi.

Usah terpesona dengan kejayaan, kesenangan ataupun kekayaan mereka yang menjadi guru ataupun trainer terhadap ilmu Numerologi ini. Tetapi takutlah terhadap dosa syirik yang berakar dalam ajaran Numerologi ini, ia boleh meranapkan iman dan aqidah kita kepada Allah. Ia adalah dosa yang paling besar.

Allah SWT berkata:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya
(dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” 
(Surah An-Nisa: 48)

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Setiap dosa boleh jadi Allah mengampuninya melainkan sesiapa yang mati dalam
keadaan musyrik (menyekutukan Allah) ataupun seorang mukmin yang membunuh mukmin lain
dengan sengaja.” (Sunan Abu Dawud, no. 3724 – Shahih)

Bertaubatlah sebelum terlambat. Sesungguhnya Allah SWT tidak mengampuni orang yang mati dalam keadaan berbuat syirik.

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi:

“Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, dia akan
masuk ke Syurga. Sesiapa yang mati, sedangkan dia mensyirikkan Allah dengan sesuatu, dia
akan masuk Neraka.” (Shahih Muslim, no. 93)

~ Jangan sampai kita menyesal di akhirat ~

_________________________________________________________

1 Menurut Imam al-Nawawi: “Adapun maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang ia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.” (Lihat Syarh Shahih Muslim, 14/227)

2 Sepanjang pemerhatian saya, ahli Psikologi yang terjebak dengan perkara sebegini adalah dalam kalangan mereka yang kurang ilmu pengetahuan aqidah, khususnya perkara syirik.

3 Tidak pernah wujud dalam ajaran Islam, supaya mengira tarikh lahir bakal calon suami dan calon isteri bagi menjamin kerukukan rumah tangga.

___________________________
Ustaz Suhili Nain
_____________________________

Comments