Adab Di Group Whatsapp

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Pengkuliah subuh di masjid sebelah rumah ibu saya yang saya tidak tahu nama dan tidak kenal orangnya pada pagi ini bukan orang yang cerdik. 

Beliau menceritakan krisis dalam grup Whatsapp masjid di mana ada orang memuatkan hantaran politik, lalu ada orang mengatakan "kalau hendak bercakap tentang politik, sila guna 'group' lain." Beliau tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan menegurnya 'on the spot'.

Pada pagi ini beliau membangkitkan semula perkara ini seolah-olah mahu melepaskan amarah dan dendam. Katanya secara panjang lebar bahawa tindakan ini bererti memisahkan antara Islam dan politik. Menurutnya, hal politik boleh disentuh dalam mana-mana 'group'. Beliau membesar-besarkan perkara ini sampai mengatakan fahaman politik suku agama suku ini bukan berasal dari Islam, dan mengaitkannya dengan sekularisme Kristian.

"Saya rasa orang yang mengatakan begitu ada di masjid pada pagi ini," katanya menggunakan mikrofon masjid. Ayat memang mencari gaduh. (Maaf, walaupun saya tidak ada dalam group tersebut, saya rasa orang itu sudah melampau.)

Untuk pengetahuan orang itu, meminta 'group' masjid tidak dicampuradukkan dengan urusan politik bukan bermakna memisahkan agama dengan politik. Setiap 'group' ada tujuan, dan 'group' masjid bukan untuk tujuan itu. Ahli-ahli sepatutnya menghormati tujuan asal penubuhan 'group'. Hanya kerana berkait dengan agama atau tidak salah maka boleh dihantar dalam 'group' adalah perbuatan yang tidak bertamadun dan beretika.

Adakah meminta urusan bisnes tidak dibincangkan dalam 'group' keluarga bermakna memisahkan antara agama dengan perniagaan? Adakah meminta persoalan seksual tidak disentuh dalam kelas pelajar sekolah rendah bererti mengatakan seks tiada kaitan dengan agama? Bagi orang ini ya. Asal sahaja boleh dikaitkan dengan agama, sesiapa sahaja boleh bercakap mengenainya di mana-mana sahaja yang disukai.

Kedua, saya pasti teguran supaya persoalan politik tidak disentuh dalam 'group' masjid dilakukan kerana maslahat - mengekalkan keharmonian antara ahli grup. Hal ini demikian kerana hantaran-hantaran politik bersifat sensitif dan mempunyai kecenderungan yang boleh mengheret ahli ke lemah pertelingkahan politik kepartian yang menghuruharakan masjid.

Jika hanya kerana politik itu sunnah Nabi SAW dan politik itu sebahagian daripada agama sebagaimana yang dijelaskan oleh orang itu maka grup Whatsapp masjid boleh menyentuh masalah politik, maka hal khilafiyyah juga isu agama. Adakah boleh ahli 'group' membuatan hantaran kebidaahan sambutan maulid, kewaridan soalan 'di mana Allah?', dan mempromosi buku 'Ithbat al-Yadd li-Allah oleh Imam al-Dhahabi?

Saya menghantar kritikan ini ke dalam halaman FB masjid, dan saya berharap benar agar ia sampai kepada orang itu. 

Wallahualam.

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments