OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241 H) berkata:
وليس في السنة قياس، ولا تضرب لها الأمثال، ولا تدرك بالعقول، والأهواء، إنما هي الاتباع، وترك الهوى
“Dan tidak ada kias di dalam As-Sunnah, tidak boleh memberikan permisalan, tidak dapat dicapai pengetahuan dengan akal dan hawa nafsu, kerana sesungguhnya ia (As-Sunnah) adalah Ittiba’ (mengikuti Sunnah), dan meninggalkan hawa nafsu.” (Syarah Usul Ahli Sunnah, Al-Lalikaai)
Ucapan ini lebih kurang sama seperti yang diungkapkan oleh Imam Al-Barbahari (wafat 329 H), beliau menyatakan:
أنه ليس في السنة قياس، ولا تضرب لها الأمثال، ولا تتبع فيها الأهواء، بل هو التصديق بآثار رسول الله ﷺ، بلا كيف ولا شرح، ولا يقال: لم؟ ولا كيف؟
“Sesungguhnya tidak ada kias dalam Sunnah, dan tidak boleh memberikan permisalan (contoh), dan tidak dituruti padanya hawa nafsu, bahkan ianya adalah tasdiq (membenarkan) dengan athar-athar Rasulullah ﷺ, tanpa ditanya tatacara dan tanpa disyarahkan (apa yang tidak perlu), dan tidak dikatakan: kenapa? dan bagaimana?” (Syarhus-Sunnah, Al-Barbahari)
Yang dimaksudkan dengan As-Sunnah dalam kalam para ulama Salaf dahulu biasanya merujuk kepada Akidah. Lebih-lebih lagi kitab-kitab para ulama dahulu selalu mereka menamakan sebagai “As-Sunnah”, “Syarhus Sunnah”, dan “Usul As-Sunnah” semua kitab-kitab mereka dengan judul Sunnah ini adalah berkisarkan tentang Akidah iaitu I’tiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Maka maksud tiada kias (analogi) dalam kalam ulama Salaf dahulu adalah merujuk kepada fahaman ahli Bidaah yang banyak melakukan kias dalam akidah mereka. Kaedah kias yang dimaksudkan adalah ilmu kalam atau ilmu mantiq (yang tidak benar) atau ilmu falsafah yang bercanggah dengan akidah Islamiyyah yang bersumberkan wahyu semata-mata. Seperti Muktazilah yang menafikan Allah dapat dilihat di hari akhirat, kerana kononnya sesuatu yang dapat dilihat maka bererti ia mempunyai arah dan tempat. Maka Muktazilah menafikannya sedangkan Ahli Sunnah pula menetapkannya sebagaimana datang dalil-dalil tentangnya di dalam Quran dan Sunnah Nabi yang sahih tentang Rukyah (Melihat) Allah.
Adapun kias dalam masalah fekah, masalah halal dan haram, maka kias merupakan salah satu sumber hukum darinya. Bahkan menjadi salah satu sumber yang disepakati.
Wallahua’lam
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment