Sikap Simplistik Dalam Bab Aurat

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Dalam masalah hijab dan aurat, sikap simplistik atau terlalu mudah membuat kesimpulan sangat menonjol dalam masyarakat Islam hari ini.

Contoh lazimnya, disebabkan muka perempuan tidak aurat, maka mereka menyimpulkan bahawa wanita boleh sewenang-wenangnya boleh menayang gambar di media sosial, malah boleh menjadi model iklan di majalah dan "billboard", boleh berlakon dengan muka acah-acah comel dan menggoda.

Demikian juga, oleh kerana suara wanita bukan aurat, maka mereka menyimpulkan perempuan boleh melagukan syair, membaca al-Quran secara bertarannum, malah boleh menyanyikan lagu di dalam radio dan TV.

Dan hari ini, gejala yang sama kelihatan pada isu seluar pendek. Ada orang belajar hadis mendapati Nabi SAW pernah menyinsing kain sampai ternampak paha. Jadi, mereka membuat kesimpulan mudah bahawa paha bukan aurat, dan apabila bukan aurat maka boleh bermain bola dengan seluar pendek!

Sifir dan kaedah yang sama: muka tidak aurat, boleh bergambar. Tidak aurat, boleh menyanyi. Tidak aurat, boleh berseluar pendek.

Sebenarnya, individu-individu berkenaan terlepas pandang dua perkara asas:

Pertama, etika itu bersabit dengan muru'ah dan untuk menjatuhkan maruah diri, seseorang tidak semestinya perlu melakukan perkara yang jelas atau disepakati haram. Kadang-kadang, melakukan perkara makruh bahkan mubah pun termasuk dalam khawarim al-muru'ah. 

Contoh, dalam masalah nyanyian, Imam al-Shafi'i dalam al-Umm mengatakan pekerjaan sebagai penyanyi "bukan haram yang jelas-jelas haram." Tetapi, "orang yang melakukannya dikaitkan dengan kebodohan dan jatuh harga diri." Contoh lain, "mencium isteri dan hamba perempuan di hadapan orang ramai" seperti yang disebutkan dalam Minhaj al-Talibin, walhal mencium isteri dan hamba perempuan sendiri ma'lum bi-al-darurah keharusannya.

Persoalannya, tidakkah memakai seluar pendek itu, kalau benar pun harus, merupakan aib yang boleh menjatuhkan maruah diri? Dan apabila sampai menjatuhkan maruah diri dan menjadi bahan cemuhan masyarakat, adakah perbuatan itu wajar diteruskan dan dipertahankan?

Kedua, sebagai orang yang belajar hadis, individu berkenaan perlu mencermati hadis-hadis yang menjadi dasar pendapat paha tidak aurat, dan tidak boleh berpada dengan kesimpulan "paha aurat" atau "paha bukan aurat" yang dibuat secara mentah daripada hadis-hadis berkaitan.

Dan persoalannya, adakah Rasulullah SAW pernah secara sengaja mengangkat kain sampai mendedahkan paha di hadapan umum secara berterusan sampai kita boleh menjadikannya dalil boleh berseluar pendek sampai dilihat oleh perempuan-perempuan yang tidak dikenali? 

Bahkan, dalam hadis Abu Musa RA yang masyhur itu, Rasulullah SAW mendedahkan paha hanya ketika berada bersama sahabat-sahabat lelaki dan mahram sahaja, dan itupun dilakukan di tempat tertutup, bukan di depan perempuan ajnabi, bukan di khalayak awam, atau secara terbuka. 

Kemudian, noktah yang lebih penting, baginda menutupnya ketika 'Uthman masuk. Tidakkah ini bermakna kalaupun benar paha bukan aurat, yang menjadi sunnah yang digalakkan dan disyariatkan untuk diikuti umat Islam adalah menutupnya? Tidakkah ini juga bermakna mendedahkan paha walaupun kepada sesama lelaki adalah satu keaiban?


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments