Wanita Haid Membaca Al-Quran?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Ditaḥqīq di sini pendapat Imam Mālik, al-Shāfi‘ī, dan Aḥmad dalam masalah wanita haid membaca al-Quran. Semakan semula ini perlu kerana Imam al-Shāfi‘ī dan Aḥmad khususnya masyhur juga diperkatakan mempunyai dua qawl dalam perkara ini, sebagaimana kata Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah (728 H):

... وَلِهَذَا كَانَ أَظْهَرُ قَوْلَيْ الْعُلَمَاءِ أَنَّهَا لَا تُمْنَعُ مِنْ قِرَاءَةِ الْقُرْآنِ إذَا احْتَاجَتْ إلَيْهِ كَمَا هُوَ مَذْهَبُ مَالِكٍ، وَأَحَدُ الْوَجْهَيْنِ فِي مَذْهَبِ الشَّافِعِيِّ، وَيُذْكَرُ رِوَايَةً عَنْ أَحْمَدَ، فَإِنَّهَا مُحْتَاجَةٌ إلَيْهَا...

“Oleh sebab inilah, yang aẓhar daripada dua pendapat ulama adalah bahawa ia (wanita haid) tidak dihalang daripada membaca al-Quran bilamana perlu sebagaimana ia mazhab Mālik, satu wajh dalam mazhab Shāfi‘ī, dan disebutkan satu riwayat daripada Aḥmad, kerana ia perlu kepadanya...”


Pertama: Pendapat Imam Mālik 

Meskipun makruf bahawa Imam Mālik berpendapat wanita haid boleh membaca al-Quran, namun sebenarnya pendapat sebenar beliau masih diperselisihkan oleh aṣḥāb mazhab beliau.

Ibnu al-Jallāb (378 H) mengatakan:

... وقد اختلف قوله في قراءتها القرآن ظاهرًا، فروى ابن القاسم، وابن عبد الحكم عنه جواز قراءتها. وروى أشهب منعها.

“Diperselisihkan pendapat beliau tentang bacaannya (wanita haid) secara zahir (tanpa mushaf). Ibnu al-Qāsim dan Ibnu ‘Abd al-Ḥakam menukilkan daripadanya, bacaannya harus. Ashhab pula meriwayatkan (pendapat) melarangnya.”

Ibnu al-Qaṣṣār (397 H) dalam ‘Uyūn al-Adillah pula mengatakan:

قد اختلفت الرواية عن مالك - رَحمَه الله - في قراءة الحائض القرآن. فروى عنه أكثر أصحابه جواز قراءتها ما شاءت من القرآن وروي عنه منعها كالجنب...

“Berselisih pendapat daripada Mālik rahimahullah tentang bacaan al-Quran oleh wanita haid. Kebanyakan aṣḥāb beliau meriwayatkan keharusannya membaca apa-apa yang dikehendakinya daripada al-Quran, dan diriwayatkan daripada beliau larangannya seperti orang yang berjunub…"

Kesimpulannya, riwayat yang lebih kuat dan banyak adalah yang membolehkan.


Kedua: Pendapat Imam al-Shāfi‘ī

Qawl ini kononnya dinukilkan oleh Abū Thawr (240 H) daripada Imam al-Shāfi‘ī. Kata al-Qaffāl al-Shāshī (507 H) dalam Ḥilyah al-‘Ulamā’:

وحكي أبو ثور عن الشافعي رحمه الله أنه يجوز للحائض أن تقرأ.

“Dan dihikayatkan oleh Abū Thawr daripada al-Shāfi‘ī rahimahullah bahawa harus bagi wanita haid membaca (al-Quran).”

Nukilan ini sangat memusykilkan kerana makruf daripada mazhab beliau sebaliknya, jadi ulama mazhab membincangkannya dengan teliti. Kata Imam al-Nawawī:

وحكى الخراسانيون قولا قديما للشافعي أنه يجوز لها قراءة القرآن وأصل هذا القول أن أبا ثور رحمه الله قال قال أبو عبد الله يجوز للحائض قراءة القرآن فاختلفوا في أبي عبد الله فقال بعض الاصحاب أراد به مالكا وليس للشافعي قول بالجواز... وقال جمهور الخراسانيين أراد به الشافعي وجعلوه قولا قديما. قال الشيخ أبو محمد وجدت أبا ثور جمعهما في موضع فقال قال أبو عبد الله ومالك.

“Ulama-ulama Khurāsān menghikayatkan sebuah qawl qadīm al-Shāfi‘ī bahawa harus baginya (wanita haid) membaca al-Quran, dan asal-usul qawl ini bahawa Abū Thawr rahimahullah mengatakan, ‘kata Abū ‘Abd Allāh, harus bagi wanita haid membaca al-Quran.’ Lalu, mereka berselisih tentang Abū ''Abd ‘Allāh. Sebahagian aṣḥāb mengatakan bahawa maksudnya adalah Mālik, bukan al-Shāfi‘ī dan al-Shāfi‘ī tidak mempunyai qawl yang mengharuskan… Kata jumhur ulama Khurasān, yang dimaksudkan oleh beliau ialah al-Shāfi‘ī dan mereka menjadikannya qawl qadīm. Kata Syeikh Abū Muḥammad, ‘aku mendapati Abū Thawr menghimpunkan kedua-duanya setempat dengan mengatakan, ‘kata Abū ‘Abd Allāh dan Mālik’.”

Daripada keterangan ini, yang lebih tepat, pendapat yang dinukilan oleh Abū Thawr ini adalah qawl qadīm Imam al-Shāfi‘ī. Dan kesimpulan ini sekali gus menguatkan penisbahan pendapat membolehkan kepada Imam Mālik tadi kerana banyak qawl qadīm Imam al-Shāfi‘ī bertepatan dengan mazhab Imam Mālik.

Kesimpulannya, dijazamkan bahawa qawl jadīd Imam al-Shāfi‘ī adalah pendapat yang melarang.


Ketiga: Pendapat Imam Aḥmad

Sebenarnya, yang manṣūṣ daripada Imam Aḥmad, hanyalah pendapat yang melarang walaupun sedikit, dan hukum wanita haid lebih berat daripada orang yang berjunub.

Kata Isḥāq b. Manṣūr (251 H):

قلتُ: يقرأُ الجنبُ مِنَ القرآنِ؟ قال: طرفَ، الآيةِ والشيءَ كذلك، والتسبيح، فأما أنْ يتعمدَ الآيةَ والسورةَ فما يعجبني. قلت: الحائض والجنب سواء؟ قال: الجنب أهون في بعض الأحوال.

“Kataku, ‘orang yang berjunub membaca al-Quran?’ Jawabnya, ‘hujung-hujung dan dan sedikit seperti itu. Tasbih juga. Adapun ia sengaja membaca sepotong ayat dan surah, aku tidak berkenan.’ Kataku, ‘wanita haid dan orang yang berjubub sama?’ Jawabnya, ‘orang yang berjunub lebih ringan dalam sesetengah keadaan’.”

Kata Imam Abū Dāwūd (275 H):

قُلْتُ لِأَحْمَدَ: الْحَائِضُ لَا تَقْرَأُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ؟ قَالَ: لَا، وَتُسَبِّحُ وَتَذْكُرُ اللَّهَ. وَقَالَ: الْحَائِضُ أَشَدُّ مِنَ الْجُنُبِ، وَرَخَّصَ فِي الْكَلِمَةِ يَقْرَؤُهَا.

“Aku bertanya kepada Aḥmad, ‘wanita haid tidak membaca sedikit pun daripada al-Quran?’ Jawabnya, ‘tidak, dan ia bertasbih dan mengucapkan zikrullah.’ Dan katanya, ‘wanita haid lebih berat daripada orang yang berjunub,’ dan beliau memberi keringanan pada kalimah yang dibacanya (orang yang berjunub).”

Kesimpulannya, pendapat yang sabit daripada Imam Aḥmad adalah yang melarang.

Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments