Banjir: Hukuman Atau Ujian?

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

MUSIBAH BANJIR BESAR HUKUMAN ATAU UJIAN? 


Segala bentuk musibah seperti gunung berapi, gempa bumi, kemarau, tanah runtuh dan banjir besar berlaku dengan izin Allah ﷻ.

Semestinya ia terjadi dengan sebab serta hikmah yang tertentu.   

Boleh jadi Allah ﷻ mendatangkan musibah itu sebagai satu bentuk hukuman, seperti mana boleh jadi Allah ﷻ mendatangkannya untuk menakut-nakutkan manusia, sebagai peringatan dan amaran buat mereka. 

Demikian musibah itu boleh berlaku akibat tersebarnya kemungkaran dan maksiat, seperti mana boleh jadi ia merupakan ujian dan dugaan atas manusia. 

Atau boleh jadi ia berlaku kerana sebab-sebab lain yang hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. 

Allah ﷻ menurunkan musibah sebagai satu bentuk hukuman seperti mana dalam firmanNya: 


“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” [ar-Rum, 30:41]


Demikian ada kalanya Allah ﷻ mahu menakut-nakutkan manusia sebagaimana dalam hadis Nabi ﷺ:

“Sesungguhnya (gerhana) matahari dan bulan merupakan dua tanda di antara tanda-tanda (kekuasaan) Allah yang Allah takutkan dengan kedua-duanya para hambaNya.” [Sahih. Riwayat Bukhari]


Ada kalanya juga musibah itu berlaku kerana tersebarnya kemungkaran dan maksiat seperti mana dalam firman Allah ﷻ: 

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).” [al-Anfaal, 8:25]


Seperti mana boleh jadi juga bencana alam itu merupakan satu bentuk ujian dan dugaan bagi menghapuskan dosa dan meninggikan darjat orang-orang yang soleh serta melipat gandakan pahala mereka di samping agar mereka dapat menjadi contoh bagi manusia lain supaya turut bersabar dan mengharapkan pahala. 


Nabi ﷻ bersabda: 

“Manusia yang paling berat ditimpa musibah adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.” [Sahih. Riwayat Tirmidhi]


Sabdanya ﷺ: 

“Tiadalah musibah yang menimpa seorang Muslim berupa keletihan, kesakitan, kegelisahan, kesedihan atau gangguan termasuklah dengan duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan dengannya kesalahan-kesalahannya.” [Sahih. Riwayat Bukhari] 


Sabdanya ﷺ lagi: 

“Barang siapa Allah inginkan kebaikan baginya maka ditimpakan musibah atasnya” [Sahih. Riwayat Bukhari]. 


Justeru ulama menjelaskan bahawa cara membezakan sama ada suatu musibah itu merupakan hukuman atau ujian adalah dengan dilihat keadaan seseorang itu semasa musibah menimpa atasnya. 

Tanda musibah itu menjadi hukuman ialah jika orangnya bersikap tidak sabar, mengeluh dan merintih kepada manusia; tidak kepada Allah ﷻ. 

Sedangkan ia menjadi tanda ujian bagi menghapuskan dosa jika orangnya bersabar, menahan diri daripada rasa lemah atau berputus asa. 

Adapun jika orangnya reda dan tenang dalam menghadapi ujian yang Allah ﷻ takdirkan atasnya maka ia merupakan asbab ditinggikan darjatnya serta dilipat kali gandakan pahalanya. 


CATATAN: 

Mengandaikan bahawa banjir besar yang berlaku baru-baru ini terjadi kerana hanya satu sebab yang tertentu adalah tidak wajar. Ia seperti meletakkan diri menjadi tuhan yang tahu perkara ghaib. Sedangkan hanya Allah ﷻ sahaja yang Maha Mengetahui. Bagi manusia, kita dituntut supaya sentiasa bermuhasabah, beristighfar serta memohon dan mengadu kepada Allah ﷻ semata-mata agar dipermudahkan segala urusan.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments