Ada Ulama Menolak Kurma Ajwa Sebagai Khusus Kurma Nabi?

                                                                                                                               OLEH: Taufiq Tuah

Benarkah Kurma Ajwa itu kurma nabi?

Sering kita dengar penceramah-penceramah mengatakan bahawa Kurma Ajwa ialah kurma nabi. Benarkah kenyataan ini? Jawapannya YA dan TIDAK. Kenapa? Okay mari kita bongkar sedikit dalil.

Kurma bukan hanya wujud di Arab Saudi, tetapi juga di beberapa negara lain. Di Tanah Besar China pun ada kurma walaupun kebiasaannya dibuat untuk masakan. Di United Arab Emirates (UAE) misalnya telah mengekspot beberapa jenis kurma ke dalam Malaysia seperti yang terkenal Kurma FardhKurma Lulu dan Kurma Dabbas. Palestin juga terkenal dengan kurma-kurma bersaiz JUMBO seperti Kurma Medjoul. Tidak terlupa juga kurma yang dah sekian lama menjadi sebutan di Malaysia iaitu Kurma Mariami juga sebenarnya bukan lah daripada Arab Saudi.

Di Madinah sahaja terdapat beberapa jenis kurma. Kalau saya boleh senaraikan beberapa jenis kurma dari Madinah ialah seperti berikut.

1. Kurma Safawi 

2. Kurma Mabroum

3. Kurma Ambar

4. Kurma Ajwa

5. Kurma Sukkary (kurma yang menjadi kegemaran kebanyakan orang Arab dan Malaysia).

6. dll. Imam al-Nawawi telah menyebutkan bahawa terdapat sebanyak 120 jenis kurma Madinah. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (12/50)].

Secara logiknya, mana-mana kurma yang ada di Madinah sepatutnya boleh sahaja digelar kurma nabi. Namun, kenapa yang disebutkan sebagai kurma nabi ialah Kurma Ajwa dan bukan kurma-kurma lain? Sedangkan jika nak diikutkan tekstur dan rasa, kurma-kurma lain di Madinah juga mempunyai keunikan sendiri. Kurma Ambar dengan saiznya yang agak besar. Kurma Sukkary dengan kemanisan semula jadinya dan bertekstur sangat lembut. Kurma Safawi sehingga ada yang kata kurma itu ialah kembar kepada kurma Ajwa namun tetap juga tidak disebut sebagai kurma nabi. Persoalan yang lebih besar ialah, kenapa kurma Ajwa yang disebut kurma nabi?

Sebenarnya gelaran 'Kurma Nabi' ini diberikan kepada kurma Ajwa kerana baginda Rasulullah Salallahualaihiwasalam pernah menyebutnya kelebihan Kurma Ajwa ini secara khusus di dalam hadisnya.

Dari Sa’d bin Abi Waqqash radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَنْ تَصَبَّحَ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعَ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضرَّهُ فِي ذَلِكَ اليَوْمِ سُمٌّ وَلا سِحْرٌ

Siapa yang setiap hari sarapan kurma Ajwa 7 butir, maka di racun maupun sihir tidak akan memberikan kesan baginya di hari itu. (HR. Bukhari 5130 & Muslim 5460)

Adakah semua kurma Ajwa itu ialah kurma nabi? Jawapannya TIDAK. Bukan semua Kurma Ajwa itu kurma nabi.

Kita perlu beri penekanan pula pada hadith yang seterusnya,

Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ فِى عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

Sesungguhnya dalam kurma Ajwa dari daerah Aliyah terdapat ubat. Atau bahawa Ajwa adalah anti racun di pagi hari. (HR. Muslim 5462)


Dalam riwayat lain, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ، أَوَّلَ الْبُكْرَةِ عَلَى رِيقِ النَّفْسِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ سِحْرٍ، أَوْ سُمٍّ

Dalam Ajwa Aliyah yang dimakan di pagi hari, akan menjadi ubat dari setiap sihir dan racun. (HR. Ahmad 24735 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).

Maka jelaslah yang dimaksudkan oleh nabi di dalam hadith ialah kurma Ajwa yang berada di dalam kawasan Aliyah sahaja. Maka yang berhak digelar kurma nabi itu hanyalah Kurma Ajwa Aliyyah (yang ditanam di Aliyah).

Daerah Aliyah adalah perkebunan atau perkampungan dari dataran tinggi Madinah ke arah Nejd (Jazirah arab bahagian tengah). Atau perkebunan di dataran rendah Madinah ke arah Tihamah. Menurut al-Qodhi Iyadh, daerah Aliyah yang paling dekat sejarak 3 mil dan yang paling jauh 8 mil dari Madinah. (Syarh Shahih Muslim, an-Nawawi, 14/3).

Adapun begitu, masih tidak dapat menyangkal kebaikan kurma-kurma Ajwa lain secara amnya. Sebagaimana yang disebutkan oleh ulama.

1. Al-Jauhari telah menyatakan bahawa kurma Ajwa merupakan antara jenis kurma yang terbaik di Madinah. [Lihat : al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (36/284)]

2. Begitu juga Imam al-Nawawi menyatakan perkara yang sama iaitu Ajwa adalah daripada jenis kurma yang baik. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/3)] 

3. Manakala Ibnu Hajar al-Asqalani pula menyatakan bahawa kurma Ajwa adalah kurma yang terbaik dan paling lembut di Madinah. Kemudian, beliau menukilkan pendapat al-Dawudi yang menyatakan bahawa kurma Ajwah termasuk di dalam kategori kurma yang sederhana saiznya. Dan Ibnu al-Athir pula menyatakan di dalam kitabnya al-Nihayah bahawa kurma Ajwah merupakan sejenis kurma daripada Madinah, saiznya lebih besar daripada kurma (al-Soyhani) dan warnanya kehitam-hitaman. [Lihat : Fath al-Bari (10/238), dan Mirqah al-Mafatih (7/2705)]

4. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyebutkan bahawa Ajwa Madinah adalah merupakan kurma yang paling bermanfaat di Tanah Hijaz secara umumnya, bentuknya baik, isinya padat dan kuat, termasuk antara kurma yang paling lazat (sedap), lembut dan harum. [Lihat : al-Tibb al-Nabawi, hal. 258]


Pandangan Ulama Yang Tidak Mengkhususkan Kurma Ajwa

Berkaitan dengan khasiat kurma Ajwa yang di dalam hadith tadi, ada pandangan ulama yang tidak mengkhususkan khasiat Ajwa itu kepada kurma Ajwa semata-mata. Sebaliknya mereka memahami hadith tersebut ialah terpakai untuk semua jenis kurma di Madinah. Hal ini sebagaimana keberkahan Madinah sebagai Bandar Rasulullah.

1. Imam Ibnu Baz berkata,

Kita berharap semoga Allah memberi manfaat dengan semua kurma. Hanya saja, ditegaskan untuk Madinah, mengingat kekhususan dan keistimewaan kurmanya . (Majmu’ Fatawa Ibnu Baz, 8/109).


2. Imam Ibnu Utsaimin juga menjelaskan yang semisal,

Guru kami, Ibnu as-Sa’di berpendapat bahawa hadith itu hanya menyebutkan contoh. Dan maksudnya itu berlaku untuk semua kurma. (as-Syarh al-Mumthi’, 5/123)


3. Al-Qurthubi mengatakan,

Hanya saja, para ulama yang lain mengatakan, jika seseorang tidak memiliki kurma Madinah, silakan menggunakan kurma apapun yang dia miliki, sebagai bentuk memahami hadith yang teksnya memberi batas ke yang mutlak. (al-Mufhim, 17/38)

Wallahualam.

Artikel ditaja oleh: Widuri Online

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments