Titik Perdamaian / Jalan Penghubung Antara Aliran Salafi - Asy'ari

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


Ada yang berkata baru-baru ini: 

“Kita mencari titik perdamaian antara kedua-dua aliran Salafi dan Asy’ari.”

“Kita mengetengahkan jambatan penghubung antara kedua-dua pemahaman Salaf dan Asyairah.” 

Kedua-dua kenyataan di atas hampir senada dengan slogan yang diketengahkan oleh Hasan al-Banna “Kita bekerjasama dalam apa yang kita sepakat dan kita saling memaafkan dalam apa yang kita selisih” berkenaan pendekatan gerakan Ikhwan Muslimin dengan aliran-aliran lain termasuklah Rafidah (Syiah), Ahli Kalam, Asya’irah, sufi, haraki, mazhabi dan yang lain. 

Slogan Ikhwan Muslimin ini dikritik oleh para ilmuwan Salafi kerana ia menjejaskan tanggungjawab nasihat, tegur-menegur serta amar makruf dan nahi mungkar yang diperintahkan oleh agama. 

Tambah pula, kesudahannya ia akan membuatkan Muslim itu berkompromi dalam banyak perkara yang tidak sepatutnya seperti dalam hal-hal yang melibatkan manhaj dan akidah. 

Sudah sedia maklum bahawa kedua-dua aliran Salafi dan Asy’ari mempunyai perbezaan-perbezaan yang cukup ketara antara satu sama lain. Malah boleh dikatakan perbezaan antara kedua-duanya ibarat langit dan bumi. Cukup berbeza. 

Salafi ialah nisbah kepada generasi Salaf iaitu tiga generasi paling awal dalam Islam; Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin manakala Asya’irah ialah nisbah kepada Abu al-Hasan al-Asy’ari (wafat 324H). 

Aliran Salafi menekankan pendekatan berpegang kepada wahyu (naqal) iaitu Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat, Tabiin dan Tabi al-Tabiin sedangkan aliran Asya’irah pula adalah salah satu daripada empat kumpulan Ahli Kalam di samping Jahmiah, Muktazilah dan Maturidiah yang mendukung pemikiran falsafah serta metodologi mentafsirkan Al-Quran dan al-Sunah mengikut pemahaman akal (logik). 

Antara perbezaan yang paling ketara di antara kedua-dua aliran Salafi dan Asy’ari ialah pendekatan Asya’irah (dan Ahli Kalam secara amnya) mentakwilkan nas-nas Al-Quran dan al-Sunah dengan pelbagai makna majaz bagi menyesuaikan antara akal dengan wahyu kerana alasan bahawa petunjuk akal adalah pasti (qatie) manakala petunjuk wahyu adalah sangkaan (zanni). 

Ini menyebabkan golongan Asya’irah menetapkan bahawa petunjuk akal wajib didahulukan atas petunjuk nas wahyu manakala kedua-dua Al-Quran dan al-Sunah perlu ditafsirkan mengikut makna yang bersesuaian dengan akal. 

Kesudahannya, golongan Asya’irah bersikap melampau dalam mentahkimkan akal serta menolak nas-nas syariat dengan hujah-hujah akal atas alasan bahawa petunjuk akal bersifat pasti manakala petunjuk wahyu adalah sangkaan di samping mengandaikan adanya pertembungan antara kedua-dua petunjuk akal dan wahyu. 

Maka timbul persoalan, apakah titik perdamaian yang nak dicari antara kedua-dua aliran Salafi dan Asy’ari dan apakah jambatan penghubung antara kedua-duanya? 

Sedangkan sudah jelas wujud perbezaan yang cukup mendasar antara kedua-dua aliran ini; salah satunya menekankan kewajipan berpegang kepada nas wahyu mengikut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ manakala yang satu lagi mewajibkan petunjuk akal mereka dalam memahami nas Al-Quran dan al-Sunah. 

Justeru berdasarkan penerangan di atas para pendakwah Sunah seharusnya terus tegar dan tabah mengajak umat Islam kembali menghayati Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ dan meninggalkan semua fahaman-fahaman selainnya yang muncul sesudah tiga generasi awal Islam yang dipuji oleh Nabi ﷺ dalam sabdanya: 

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.

"Sebaik-baik manusia ialah kurunku (para Sahabat), setelah itu mereka yang datang kemudian (Tabiin) dan setelah itu mereka yang datang kemudian (Tabi Tabiin)."

[Sahih. Riwayat Tirmizi]

Tambah lagi, mereka yang berpegang kepada Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ dipuji sebagai 'Kumpulan yang Selamat' (al-Firqah al-Najiah) manakala mereka yang menyalahinya diberi ancaman sebagaimana dalam hadis Perpecahan Umat di mana baginda ﷺ bersabda: 

“Sesungguhnya Bani Israel telah berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan. Semua mereka dalam neraka kecuali satu golongan sahaja. Baginda ditanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab: MEREKA YANG BERADA DI ATAS JALANKU DAN JALAN PARA SAHABATKU.”     

[Sahih. Riwayat Tirmizi]

Kesudahannya keredaan Allah ﷻ jualah yang seharusnya dicari, dan antara tanggungjawab para ilmuwan Sunah ialah menjelaskan kebenaran kepada manusia dan menzahirkannya, membezakan antara yang benar dan palsu, yang baik dengan yang buruk, menyatakan perkara yang dibolehkan dan yang dilarang di samping menerangkan akidah yang benar berbanding akidah yang rosak agar mereka yang mencari kebenaran mendapat petunjuk dan mereka yang tersesat kembali ke pangkal jalan manakala mereka yang degil ditegakkan hujah ke atas mereka. 

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan hidayah. 




OLEH: Taufiq Tuah


Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah berkata,

“Seseorang yang duduk dengan ahlul bid’ah tidak akan selamat dari satu di antara tiga perkara: (1) menjadi fitnah bagi yang lainnya, (2) masuk dalam hatinya kebid’ahan hingga dia tergelincir dengannya, atau (3) dimasukkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala ke dalam neraka ….”

Imam Ahmad rahimahullah berkata,

“Tidak sepantasnya seseorang duduk dengan ahlul bid’ah atau bergaul dengannya, tidak pula punya hubungan dekat dengannya.”

Beliau juga berkata dalam suratnya kepada Musaddad rahimahullah,

“Janganlah engkau bermusyawarah dengan ahlul bid’ah dalam urusan agamamu dan janganlah berteman safar dengannya.”




[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments