Sejarah Kalendar Hijrah

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman





- Doa awal tahun Hijrah vs Doa awal bulan

Semalam saya ada menulis sebuah artikel berkenaan ‘Doa Akhir & Awal Tahun Hijrah’ di mana saya menyatakan bahawa tiada sebarang doa atau amalan yang sabit daripada Nabi ﷺ, para Sahabat atau para ulama muktabar bersempena dengan berakhirnya tahun Hijrah dan awalnya. 

Daripada kalangan mereka yang mempertahankan amalan ini ada yang memberi komen dengan membawa pandangan yang berkata: 

“Kalendar Islam menggunakan sistem hilal. Sehingga masuknya tahun baru sama persis dengan bergantinya bulan baru. Ternyata ditemukan riwayat bahawa pergantian tahun dan bulan sudah ada tuntutan dari sahabat Nabi untuk melakukan doa.”

Beliau kemudian membawakan riwayat yang dijadikan sebagai dalil yang menganjurkan doa awal tahun dan akhir tahun Hijrah. 

(Lihat tangkap layar yang dilampirkan)




Ternyata bahawa riwayat-riwayat yang dibawakan semuanya berkaitan dengan anjuran ‘doa awal bulan’ yang dianjurkan membacanya pada awal setiap bulan sepanjang tahun kalendar Islam.  

Dengan kata lain, riwayatnya tiada kaitan sama sekali dengan doa awal tahun ataupun akhir tahun Hijrah. 

Ini satu kekeliruan.

Maka harus dibezakan antara tuntutan ‘doa awal bulan’ dengan amalan ‘doa akhir dan awal tahun Hijrah’ lebih-lebih lagi jika dikhususkan doa-doa tertentu baginya selain daripada yang sabit daripada Nabi ﷺ dalam ‘doa awal bulan’.

Permasalahan ini bertambah jelas jika dilihat sejarah bermulanya kalendar Hijrah itu sendiri.

Perlu ditegaskan bahawa kalendar Hijrah tidak ada pada zaman Rasulullah ﷺ sebaliknya ia wujud selepas zaman hidup baginda ﷺ.


SEJARAH MULANYA KALENDAR HIJRAH

Kalendar Hijrah mula digunakan pada zaman Khalifah Omar al-Khattab radiallahuanhu, dikatakan kira-kira dua tahun setengah sesudah khilafah beliau. 

Ini ditegaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya yang besar Fathulbari Syarah Sahih al-Bukhari.

Menurut beliau, kalendar Hijrah diwujudkan oleh para Sahabat berpandukan firman Allah ﷻ:

لمسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ.

“Masjid yang telah didirikan di atas dasar takwa semenjak hari pertama.”

[Al-Quran, al-Taubah, 9: 109]

Perkataan ‘hari pertama’ jelas bukan umum tetapi khusus iaitu hari pertama kebangkitan Islam, Nabi ﷺ menyembah Allah ﷻ dalam keadaan aman atau masjid berkenaan (Masjid Quba) dibina, kata Ibnu Hajar.

Menurut beliau, para Sahabat telah mempertimbangkan empat perkara sebelum menetapkan kalendar Hijrah iaitu tarikh kelahiran Nabi ﷺ, kebangkitannya menjadi rasul, hijrahnya ke Madinah dan kewafatannya ﷺ. 

Mereka memilih kalendar yang bersempena dengan hijrah Nabi ﷺ dari Mekah ke Madinah memandangkan tarikh kelahiran serta kebangkitan baginda ﷺ menjadi rasul ada perselisihan manakala mengingati peristiwa kewafatan baginda ﷺ hanya akan menimbulkan kesedihan. 

Adapun sebab penetapan bulan Muharam sebagai bulan pertama Hijrah dan bukan Rabiulawal ialah kerana keazaman untuk berhijrah telah bermula seawal bulan Muharam sesudah berlakunya Perjanjian Aqabah pada bulan sebelumnya, Zulhijah.

Ibnu Hajar menyebutkan beberapa riwayat yang menceritakan bagaimana Khalifah Omar terdorong untuk menetapkan kalendar Islam ini.

Diriwayatkan bahawa Abu Musa al-Asy'ari mengadu kepada Khalifah Omar berkenaan surat-suratnya yang datang kepadanya tanpa tarikh lalu Khalifah mengarahkan supaya satu perbincangan mengenainya diadakan. 

Ada riwayat lain menyebut bahawa sehelai kertas perjanjian telah dikemukakan kepada Khalifah Omar bertarikh pada bulan Syaaban tanpa menyatakan tahunnya sehingga menimbulkan kemusykilan sama ada ia merujuk kepada tahun sebelumnya, tahun semasa atau tahun berikutnya. Maka beliau mengarahkan supaya ditetapkan sebuah kalendar untuk kegunaan kaum Muslimin. 

Ibnu Hajar turut menyebut beberapa riwayat lain. 

Jika sudah jelas bahawa kalendar Hijrah hanya mula digunakan selepas kewafatan Rasulullah ﷺ semasa khilafah Omar al-Khattab maka pendekatan mana-mana pihak mahu mempertahankan amalan ‘doa akhir dan awal tahun Hijrah’ dengan berdalilkan riwayat-riwayat yang berkaitan dengan anjuran ‘doa awal bulan’ ialah keliru dan salah, termasuk dalam erti qias batil menyamakan antara dua perkara yang berbeza (qias ma’a al-fariq).    

[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments