OLEH: Dr Idris Sulaiman
Empat soalan seputar sambutan Maulidur Rasul.
1. Adakah Maulidur Rasul ibadah atau maksiat?
Jika maksiat maka hukumnya haram dan berdosa, tetapi jika ia ibadah...
2. Adakah ibadah Maulidur Rasul ini diketahui oleh Nabi ﷺ?
Tidak mungkin ada yang berani kata bahawa Nabi ﷺ jahil tentang ibadah Maulidur Rasul ini.
3. Jika ia ibadah yang Nabi ﷺ tahu mengenainya maka adakah baginda ﷺ pernah ajar tentang Maulidur Rasul ini kepada umatnya?
Sekali lagi tidak mungkin ada yang berani kata bahawa Nabi ﷺ tahu tentang sambutan Maulidur Rasul tetapi baginda ﷺ tidak mengajarkannya kepada umatnya kerana ini merupakan tuduhan berat yang bererti Nabi ﷺ ada menyembunyikan hal-hal agama yang sepatutnya disampaikan kepada umatnya.
Sedangkan Allah ﷻ berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُ.
“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalahNya.”
[Al-Quran, al-Maa’idah, 5: 67]
Jika ada yang kata bahawa Nabi ﷺ telah pun mengajar umatnya tentang sambutan Maulidur Rasul maka dikatakan kepadanya, mana dalilnya?
4. Adakah dalil anjuran sambutan Maulidur Rasul ini tidak ditemui oleh para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin sepanjang tiga kurun pertama Islam, lalu generasi Islam kemudian menemui dalil-dalil ini?
Atau para Sahabat tahu tentang dalil anjuran Maulidur Rasul tetapi menolaknya, lalu generasi Islam kemudian menerima dan beramal dengan dalil-dalil anjuran Maulidur Rasul ini?
Ini semua mustahil.
KESIMPULAN
Tiadalah Nabi ﷺ menyambut Maulidur Rasul ataupun mengajarkannya kepada umatnya, dan tiadalah para Sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq, Omar al-Khattab, para isteri Nabi, Aisyah dan yang lain di samping ketiga-tiga kurun pertama Islam, generasi Tabiin, Tabi Tabiin, para ulama besar Islam seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, tiadalah mereka semua menyambut Maulidur Rasul melainkan kerana ia bukan daripada ajaran Islam, sebaliknya ia adalah rekaan dan tokok tambah yang dibawa masuk ke dalam agama, dan Islam berlepas diri daripadanya kerana Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.
"Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak."
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dan sabdanya ﷺ:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.
"Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak."
[Sahih. Riwayat Muslim]
Apa yang pastinya sambutan Maulidur Rasul ini telah dimulakan oleh kerajaan Syiah Fatimah di Mesir kira-kira pada tahun 400 Hijrah, empat kurun selepas wafatnya Rasulullah ﷺ.
Selawat dan salam Allah ke atas junjungan besar Nabi Muhammad, keluarganya dan para Sahabatnya serta mereka yang mengikuti mereka dengan baik sampai ke Hari Kiamat.
Comments
Post a Comment