Makan Guna Sudu

 OLEH: Dr Idris Sulaiman

Makan guna sudu hukumnya harus tetapi jangan sampai rasa bangga menganggapnya lebih bagus, 'beretika' dan ‘bersih’ berbanding makan guna tangan.

Perlu ditegaskan bahawa makan guna tangan termasuk dalam sunah Nabi ﷺ.

Kata Kaab bin Malik:

رَأَيْتُ رسولَ اللَّه ﷺ يَأْكُلُ بِثلاثِ أَصابِعَ فَإِذا فَرغَ لَعِقَها.

“Aku melihat Rasulullah ﷺ makan menggunakan tiga jari lalu setelah selesai baginda menjilatnya.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Kata Ibnu Muflih (wafat 763H):

"Sunahnya makan guna tangan, sedangkan orang yang guna sudu telah meninggalkan apa yang lebih utama sekalipun dia tidak berdosa memandangkan makan guna tangan hukumnya sunat, bukan wajib."

Oleh itu, makan guna sudu tercela jika orangnya rasa bangga dan mahu tasyabuh (menyerupai) orang kafir.

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:

‌وَمَنْ ‌تَشَبَّهَ ‌بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ.

"Barang siapa tasyabuh (menyerupai) sesebuah kaum maka dia tergolong dalam kalangan mereka."

[Sahih. Riwayat Ahmad]

Hadis di atas merupakan ancaman ke atas Muslim supaya tidak menyerupai orang-orang fasik dan kafir.


KESIMPULAN

Makan guna sudu hukumnya harus tetapi afdalnya guna tangan. Ini kerana demikian ialah cara makan Nabi ﷺ. Tambah pula, orang-orang kafir Barat pada hari ini memang makan guna sudu dan mereka sedaya upaya elak daripada menggunakan tangan kerana menganggapnya tidak beretika dan tidak bersih. Fahaman ini batil dan Muslim disuruh supaya sedaya upaya menyalahi orang-orang kafir. Adapun jika terpaksa menggunakan sudu atau garpu kerana mahu menjamah mi, menghirup sup, yogurt dan seumpamanya maka itu tiada masalah kerana ia diharuskan.

[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments