Tokoh Sufi Bertaubat dan Menjadi Salafi

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Ini sebahagian kecil daripada senarai panjang ulama-ulama yang bertaubat daripada aliran Asha'irah-sufi dan bergabung bersama-sama ulama Salafi. 

Syeikh Mahmud Shukri al-Alusi pada awalnya cenderung kepada tasawwuf dan pernah mengarang syarah ke atas sebuah qasidah memuji tarekat Rifa'iyyah. Kemudian beliau berubah menjadi seorang Salafi, membantah sufi, dan membela Ibnu Taymiyyah. Latar belakang Syeikh Muhammad b. al-Siddiq al-Zamzami sebagai seorang sufi tidak perlu dipertikaikan, kerana beliau adalah adik kepada Syeikh Abd 'Allah dan Ahmad al-Ghumari, dua tokoh sufi yang masyhur. Beliau juga kemudiannya berpegang kepada manhaj Salafi dan mengarang kitab menyerang ahli tarekat.

Syeikh Taqiyy al-Din al-Hilali pula mulanya pengikut tarekat Tijaniyyah, lalu bertaubat dan menulis risalah mentahzir tarekat tersebut. Syeikh Muhammad Khalil Harras pula lahir dari rahim al-Azhar, menguasai ilmu kalam, mantiq, dan falsafah, dan asalnya terlalu memusuhi Ibnu Taymiyyah. Namun, dengan limpah kurnia Allah, tesisnya yang ditulis untuk menyerang Ibnu Taymiyyah akhirnya menjadi tesis yang mempertahankan beliau.

Sesiapa membaca tahqiq dan ta'liq Syeikh 'Abd al-Nasir al-Malaybari ke atas kitab al-'Awa'id al-Diniyyah pasti dapat merasai betapa meluatnya beliau dengan Ibnu Taymiyyah dan Wahabi-Salafi. Sangat alim mazhab Shafi'i dan jika ada yang meraguinya, sila baca kitabnya yang bertajuk Awraq al-Dhahab fi Hall Alghaz al-Madhhab, lihat sendiri kedalaman ilmunya tentang mazhab Shafi'i. Namun, siapa sangka alim mazhab Shafi'i ini pun bertaubat dan memilih jalan Salafiyyah dan mengkritik aliran sufi dan madhhabiyyah.

Jika bertaubatnya seseorang daripada sesuatu manhaj menjadi bukti kebatilannya, maka manhaj Asha'irah-sufi lebih aula untuk dibatilkan kerana nama-nama yang disebutkan ini jauh lebih alim, thiqah, dan soleh berbanding bekas Salafi Melayu itu.




[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments