Sikap Asyairah Terhadap Dalil Al-Quran dan As-Sunnah

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Berikut ialah tiga sikap utama golongan Asyairah:

1. Mengagungkan dalil akal & mendahulukannya atas dalil Al-Quran dan al-Sunah; 

2. Mempertikaikan dalil Al-Quran dan al-Sunah; 

3. Mempertimbangkan dalil Al-Quran dan al-Sunah mengikut akal.

Tiga sebab utama mengapa golongan Asyairah mengagungkan dalil akal sehingga mendahulukannya atas dalil Al-Quran dan al-Sunah ialah: 

1. Akal dilihat menjadi asas manakala Al-Quran dan al-Sunah hanya cabang; 

2. Dalil akal bersifat qatie (pasti) sedangkan Al-Quran dan al-Sunah bersifat zanni (sangkaan);

3. Akal menjadi penentu manakala dalil Al-Quran dan al-Sunah hanya pembantu.

Golongan Asyairah beranggapan bahawa terdapat perkara-perkara dalam kedua-dua Al-Quran dan al-Sunah yang bertentangan dengan akal. Ini membuatkan mereka mempertikaikan Al-Quran dan al-Sunah dari kedua-dua sudutnya; sanad dan matan. 

Dari sudut sanad, Asyairah mendakwa bahawa kebenaran hadis-hadis Ahad (hadis yang diriwayatkan oleh seorang atau dua perawi) bersifat sangkaan (zanni al-thubut) maka ia tidak boleh dijadikan sebagai sandaran dalam hal-hal akidah dan keyakinan.

Dari sudut matan pula, Asyairah berpendirian bahawa dalil Al-Quran dan al-Sunah (tidak kira sama ada mutawatir atau ahad) ialah zanni al-dalalah (dalilnya bersifat sangkaan) maka ia perlu dipertimbangkan dengan akal kerana ia bersifat qatie (pasti).   

Natijahnya, jika suatu dalil Al-Quran dan al-Sunah itu menepati akal maka ia akan diterima. Diterima sebagai dalil sokongan, bukan sebagai dalil utama. 

Adapun sekiranya suatu dalil naqli Al-Quran dan al-Sunah itu didapati menyalahi akal maka dalam keadaan tersedut dalil akal akan didahulukan manakala dalil naqli berkenaan sekiranya ahad maka akan ditolak. Ini kerana menurut mereka dalil sangkaan (zanni) tidak boleh didahulukan atas dalil yang pasti (qatie). Jika dalil ahad zanni berkenaan dapat ditakwilkan maka itu adalah bagus (harus).

Berbeza pula sekiranya dalil naqli itu bersifat mutawatir maka ia wajib ditakwilkan mengikut apa yang bersesuaian dengan akal. 



SUNAH RASULULLAH DIDAHULUKAN ATAS PENDAPAT LAIN

Kata Imam al-Syafie: 

‌أَجْمَعَ ‌الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَنَّ مَنْ اسْتَبَانَتْ لَهُ سُنَّةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ.

“Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa sudah terjelas baginya Sunah Rasulullah ﷺ maka dia tidak boleh meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain.”

[I’lam al-Muwaqqi’in, 1/6, Iqadh al-Himam oleh al-Fullani, 58] 

Allah jua pemberi taufik. 


RUJUKAN

Maalim Usul al-Din oleh Fakhruddin al-Razi, hlm. 25

Syarah al-Mawaqif oleh al-Jurjani, hlm. 1/205

Hasyiah al-Dasuqi oleh al-Dasuqi, hlm. 217


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments