'Subhanallah' Mencegah Musibah

OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Sebahagian ulama berpendapat, ucapan subhānallah dapat menghalang dan mencegah musibah.
Kata Al-Imām Al-Syāfi’e رحمه الله (w. 204 h.) :
‎لم أَرَ أَنْفَعَ لِلْوَبَاءِ مِنَ التَّسْبِيحِ
Terjemahan : Aku tidak mendapati sesuatu yang lebih bermanfaat (dalam mengangkat) wabak berbanding tasbīh.
Rujuk Hilyat Al-Awliyā’, Abū Nu’aim Al-Asbahāni (9/136)
Antara sandaran dalilnya adalah firman Allah SWT :
فَلَوْ لَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ (144)
Terjemahan : Sekiranya tidak disebabkan dia (Yūnus) tergolong dalam kalangan mereka yang banyak bertasbīh. Nescaya dia akan berada di dalam perut ikan nūn sehingga hari kiamat.
Surah Al-Sāffāt (143-144)
Ayat ini menunjukkan bahawa tasbīh yang dilakukan oleh Nabi Yūnus عليه السلام menyelamatkan dirinya dari kesulitan saat ditelan ikan nun.
‘Umar bin Al-Khattāb رضي الله عنه pernah mengarahkan hukuman sebat dijalankan ke atas seorang lelaki. Sebaik tukang sebat menyebat lelaki tersebut buat kali yang pertama, lelaki tersebut menyebut “subhānallāh”. Lalu ‘Umar pun melepaskan lelaki tersebut.
Ka’b Al-Ahbār yang menyaksikan peristiwa tersebut berkata :
اللَّه أكبر، واللَّه إني لأجد في التوراة أن سبحان اللَّه كلمة تمنع العذاب
Terjemahan : “Allahu Akbar. Demi Allah aku mendapati di dalam kitab Taurāt ada menyebutkan bahawa subhānallāh merupakan kalimat yang menghalang azab”.
Rujuk Fath Al-Qarīb Al-Mujīb ‘alā Al-Targhīb wal-Tarhīb, Al-Fayyūmi (11/379-380)
Meskipun begitu Al-Imām Ibnu Hajar Al-‘Asqalāni رحمه الله (w. 852 h.) mengikat isu ini dengan kata beliau :
إنما يحصل النفع بهذه الآيات والكلمات لمن صفى قلبه من الكدر، وأخلص في التوبة، وندم على ما فرط فيه وفرط منه
Terjemahan : Manfaat dari bacaan ayat dan kalimat tersebut hanya terhasil bagi mereka yang jantung hatinya bersih dari segala kotoran, bertaubat dengan penuh ketulusan, serta menyesal atas segala kemelampauan dan kekurangan yang pernah dilakukan.
Rujuk Bazl Al-Mā’ūn fi Fadl Al-Tā’ūn, Ibnu Hajar Al-‘Asqalāni (Halaman 171). Cetakan Dār Al-‘Āshimah, Riyādh.




Comments