OLEH: Abu Amru Radzi Othman
AQIDAH AHLUL SUNNAH DALAM BAB AF'AL AL IBAD
Ahlul Hadis tidak berpendapat seperti Qadariyah yang kemudian diwarisi oleh Mu'taazilah lalu akhirnya diikuti oleh Maturidiyah Samarkhand yang didirikan oleh Imam Maturidi. Tidak juga mengikut ajaran Jabariyah yang kemudiannya dianut oleh Asyaariyah dan kemudian Maturidiyah Bukhara.Untuk mengetahui bagaimana keyakinan Asli Ahlul Sunnah dalam bab Perbuatan Manusia atau Af'al al Ibad, maka boleh dilihat pada beberapa kitab aqidah ulama salaf as soleh dan khususnya kitab Imam Al Bukhari dengan tajuk Khalqu Af'al Al Ibad.
Pernah terjadi dalam catatan sejarah dan ini diakui oleh seluruh penganut Asyaariyah bahawa Qadi mereka pernah memenjarakan anak murid Ibnu Taimiyyah iaitu Al Hafiz Al Mizzi kerana beliau mengajarkan kitab Imam Al Bukhari tersebut di Masjid Besar Umawiyah di Damsyik! Ketika mana Al Mizzi membacakan dan mengajar masyarakat Damsyik terhadap aqidah Ahlul Sunnah yang beliau petik dari Amirul Mukminin fil Hadis iaitu Imam Al Bukhari maka para penganut Asyaariyah berkata "Al Mizzi sedang membantah paham kita" maka mereka melaporkan kepada Qadi lantas Al Mizzi dipenjara!
Syeikul Islam Imam Ismail As Shabuni berkata dalam kitab aqidahnya yang berjodol Aqidah Salaf Ashabul Hadis pada bab Keyakinan Ahlul Sunnah Wal Jamaah Bahawa Perbuatan Hamba Adalah Makhluk:
"Diantara keyakinan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dalam masalah perbuatan hamba , bahawasanya perbuatan hamba adalah makhluk Allah Ta'ala. mereka tidak berselisih tentang masalah ini dan mereka tidak menganggap termasuk dari Ahlul Sunnah dan orang yang beragama dengan benar bagi orang yang mengingkari dan menolak pendapat ini"
Kemudian pada bab Kehendak Allah Azza Wajalla, Imam As Shabuni menulis:
"Demikian juga termasuk mazhab Ahlus Sunnah wal Jama’ah, bahawa Allah azza wa jalla berkehendak atas semua amal perbuatan hamba-hamba-Nya, yang baik maupun yang jelek. Tidak ada seorang pun yang beriman kecuali dengan kehendakNya. Dan tidak ada seorangpun yang kafir kecuali dengan kehendakNya. Jika Allah menghendaki, nescaya Allah jadikan mereka satu umat, sebagaimana firman Allah:
"Dan jikalau Rabbmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya..” (Yunus: 99)
Kalau Allah menghendaki untuk tidak terjadi kemaksiatan, Allah tidak ciptakan Iblis. Maka kekufuran orang yang kafir, keimanan orang yang beriman, semuanya terjadi kerana ketentuan, takdir, keinginan dan kehendakNya. Dan Allah menghendaki semuanya itu dan mentakdirkannya. Namun Allah meridhai keimanan dan membenci kekufuran dan kemaksiatan. Allah berfirman:
"Jika kamu kafir maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman) kamu dan Dia tidak meridhai kekafiran bagi hamba-Nya; dan jika kamu bersyukur, nescaya Dia meridhai bagimu kesyukuranmu itu" (Az-Zumar: 7) (Aqidah Salaf Ashabul Hadis)
Oleh itu ASWJ menetapkan bahawa perbuatan manusia secara hakikatnya adalah dilakukan oleh manusia itu sendiri, bukannya Allah. Kerana itu Imam As Shabuni berkata bahawa perbuatan manusia adalah makhluk. Sesungguhnya manusia memiliki kemahuan dan manusia telah dibekali oleh Allah dengan daya untuk berbuat sesuatu.

Dalam bahasa yang mudah, manusia mempunyai masyiah (kehendak) serta qudrah (kemampuan), demikian juga bahawa Allah memiliki masyiah (kehendak) serta qudrah (kemampuan), namun manusialah yang akan menentukan perbuatan yang akan dia lakukan. Namun perlu diketahui dan diyakini bahawa kehendak serta kemampuan manusia akan terjadi dengan masyiah (kehendak) serta qudrah (kemampuan) Allah. Allah berfirman:
"bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus. Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam"
(QS. at-Takwir: 28-29)
Dengan demikian, adalah sesat pendapat orang yang mengatakan bahawa manusia itu terpaksa atas perbuatannya, tidak mempunyai iradah (kemahuan) dan qudrah (kemampuan). Sesat pula pendapat orang yang mengatakan bahawa manusia dalam perbuatannya ditentukan oleh kemauan serta kemampuannya, kehendak serta takdir Allah tidak ada pengaruhnya sama sekali.
PRINSIP AHLUL HADIS WAL ATSAR DALAM MASALAH TAQDIR
Prinsip 2:Beriman bahawa seluruh yang terwujud dengan kehendak Allah, baik yang berkaitan dengan perbuatan-Nya mahupun perbuatan makhluk-Nya.
Prinsip 3:Beriman bahawa seluruh yang ada, zatnya, sifatnya, dan geraknya diciptakan oleh Allah.
Prinsip 4:Beriman kepada takdir tidak menafikkan kehendak dan kemampuan manusia. Di sinilah perbezaan antara Ahlul Sunnah dengan Asyaariyah dan golongan sesat yang lain.
Prinsip 5:Beriman kepada takdir bukan alasan untuk meninggalkan kewajiban atau untuk mengerjakan maksiat.
Prinsip 6:Keimanan yang benar terhadap takdir Allah memiliki buah yang baik bagi pelakunya. Diantara buahnya adalah:
Bersabar ketika musibah melanda dan bersyukur ketika mendapat nikmat.
Sedar bahawa kejayaan atau keburukan semuanya diatas kehendak dan takdir Allah
Mengetahui bahawa kemaksiatan yang dia lakukan akan dibalas dosa dan kebaikan yang dia lakukan akan diberi pahala
___________________________
~
Abu Amru Radzi Othman
~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment