Ada Bacaan Sebelum Ayat Kursi Selepas Solat?

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Kebiasaannya apabila dibaca ayat Al-Kursi semasa zikir sesudah solat, bacaannya dimula dengan :

وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ 

‎Kemudian baru diikuti dengan bacaan :

اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ

Ini seolah memberi gambaran bahawa kedua ayat ini berturutan atau bersambung antara satu sama lain. Sedangkan hakikatnya ia tidak begitu.

Ayat pertama merujuk kepada ayat ke-163 daripada Surah al-Baqarah. Manakala ayat kedua itu pula merujuk kepada ayat ke- 255 daripada Surah Al-Baqarah.

Justeru, apabila kita dianjurkan membaca ayat Al-Kursi sebagai zikir selepas solat dan juga zikir sebelum tidur, yang dimaksudkan dengannya adalah bacaan ayat ke- 255 itu sahaja. Dimulai dengan ayat :

اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيّ الْقَيُّومُ ..

Ini merupakan salah satu kefahaman yang perlu diperbetulkan dalam pengamalan sebahagian masyarakat pada hari ini.


Isu ini juga hakikatnya telah ditegur oleh seorang tokoh Al-Quran daripada Mesir, Al Syeikh Muhammad Abd Al-Nabi.

Antara yang beliau tekankan : “Ayat al-Quran wajib dibaca sebagaimana kedudukannya di dalam mushaf. Tidak boleh mencampurkan sebahagian ayat dengan ayat yang lain, supaya orang yang mendengar tidak menjadi keliru menyangka yang ayat-ayat ini mengikut turutan seperti yang terdapat di dalam Al-Quran”.

“Susunan ayat dan surah surah merupakan perkara tauqifi yang perlu kita ketahui. Hendaklah kita melazimi adab-adabnya serta membacanya mengikut cara yang diredai oleh Allah Azza wa Jall”.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments