OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Bagi yang melazimi bacaan surah Al-Mulk dan Al-Sajdah sebelum tidur, katakan suatu hari anda terlepas membacanya, anda digalakkan untuk menqada’ bacaannya pada keesokan harinya dalam tempoh masa di antara subuh dengan zuhur.
Kata Al-Imām Al-Nawāwi رحمه الله (w. 676 h) :
ينبغي لمن كان له وظيفةٌ من الذكر في وقت من ليل أو نهار، أو عقب صلاة أو حالة من الأحوال ففاتته أن يتداركها ويأتي بها إذا تمكن منها ولا يهملها
Beliau berdalilkan sebuah hadis daripada ‘Umar bin Al-Khattāb رضي الله عنه bahawa Rasūlullāh SAW bersabda :
مَنْ نامَ عَنْ حِزْبِهِ أَوْ عَنْ شيء منه فقرأه ما بَيْنَ صَلاةِ الفَجْرِ وصلاة الظهر كتب له كأنما قرأه من اللَّيل
Terjemahan : Sesiapa yang tidur dan tidak sempat melakukan (membaca) wiridnya sebelum tidur, lalu dia membacanya di antara solat subuh dan solat zuhur, akan ditulis baginya seolah-olah dia membacanya pada waktu malam.
Riwayat Muslim (747)
Hikmahnya menurut Imam Al-Nawawi رحمه الله :
وإذا تساهل في قضائها سَهُلَ عليه تضييعها في وقتها
Terjemahan : Sekiranya seseorang itu mengambil mudah dalam mengqada’kannya, nescaya nanti dia akan mudah mengabaikan pelaksanaannya di dalam waktunya.
Rujuk Al-Azkār, Al-Nawāwi (Halaman 13)
Inilah juga dalil bahawa sekiranya seseorang itu terlepas zikir-zikir selepas solat, zikir pagi dan petang, dan sebagainya, untuk dia menqada’ bacaannya saat dia berpeluang.
Photo by Masjid Pogung Dalangan on Unsplash

Comments
Post a Comment