Benarkah Ibnu Khuzaimah Taubat Dari Kesesatan Kitab At-Tauhid?

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Usaha golongan anti-Ahlul Sunnah terus berlaku sampaikan ada daripada mereka menyesatkan Imam Kepada Para Imam iaitu Syeikul Islam Ibnu Khuzaimah.

Beliau dipanggil Imam kepada Para Imam lantaran menjadi guru kepada kebanyakan imam dalam mazhab Ahlul Sunnah. Lihat sahaja anak muridnya seperti:

(1) Imam Al Bukhari
(2) Imam Muslim
(3) Imam Ibnu Hibban
(4) Imam Ibnu 'Ady
(5) Imam At Thabrani

Beliau bernama Muhammad bin Ishaaq bin Khuzaimah bin Al Mughiirah bin Shaalih bin Bakr As Sulamiy An Naisaaburi, yang mempunyai kun-yah sebagai Abu Bakr.

Tajuddin As Subki yang terkenal fanatik kepada mazhab Asyaariyah dan sikap kebenciannya kepada mazhab Salaf sehingga sering mencela gurunya sendiri iaitu Ad Dzahabi.

As Subki tidak ketinggalan menulis kata-kata buruk kepada Ibnu Taimiyyah lalu mencela Ibnu Khuzaimah ketika membicarakan tokoh yang mempengaruhi Ibnu Taimiyah. Lihat apa yang di tulis oleh As Subki pada Ibnu Taimiyyah:

"Dia (Ibnu Taimiyyah) menukil dari Ibnu Khuzaimah ucapannya:

"Sesiapa yang tidak menerima bahawa Allah berada di atas langit-langit-Nya, terpisah dari ciptaan-Nya maka wajib untuk diminta bertaubat, jika ia bertaubat maka selesailah urusannya, tapi jika tidak maka wajib dipenggal kepalanya lalu dilempar ke tempat sampah agar umat Islam dan Ahli Dzimmah tidak terganggu".

Maka jawaban atasnya dan yang semisalnya adalah telah lewat. Selain itu, Ibnu Khuzaimah telah diketahui baik oleh kaum ulama mahupun oleh kaum awam bagiamana penyimpangannya dalam aqidah.

Kitab karyanya tentang tauhid dan bantahan ulama agung terhadapnya telah banyak untuk dihuraikan di sini dan pendapat para imam terhadapnya dalam apa-apa yang dia ucapkan dalam selain kitab tersebut juga sudah ma'ruf"

As Subki membuat kenyataan tentang Ibnu Khuzaimah:

- Ibnu Khuzaimah terkenal sebagai tokoh sesat oleh dunia Islam.

- Banyak ulama telah membantah kitab At Tauhid.

- Ucapannya dalam hal aqidah di tempat lain (selain At Tauhid) telah diketahui oleh ramai ulama dan telah dibantah.

Tapi sangat disesalkan, As Subki hanya berdusta atas Ibnu Khuzaimah.

Kemudian As Subki meneruskan penyertaannya kepada Ibnu Khuzaiman:

"Dan perkataan para ulama Ahlul Sunnah yang menolak pendapat kaum Hanabilah yang menetapkan arah atas (bagi Allah) sangatlah banyak sekali. Dan konsekuensi ucapan sebahagian ulama Hanabilah yang menvonis kafir mereka, dan di antara yang berterang-terangan dalam mengkafirkan atas dasar aqidah di atas adalah orang yang mereka sifati dengan Imamnya para imam; Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah… konsekuensi darinya adalah kafirnya para ulama Ahlul Sunnah yang menolak aqidah keberadaan Allah di sisi atas, seperti al Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani dan yang semisalnya" (Thabaqat As Syafiiyah)

Di sini pula As Subki melakukan:

- menyatakan aqidah Ibnu Khuzaimah sesat pada bab mengkafirkan orang yang enggan menetapkan Allah di atas langit.

- mempersoalkan gelar Imam Kepada Para Imam yang dimiliki oleh Ibnu Khuzaimah.

Kemudian sebahagian kaum Asyaariyah membawa kisah kononnya Ibnu Khuzaimah telah taubat dari aqidah salaf lalu menuju kepada aqidah Asyaariyah.

Mereka membawa perkataan Al Baihaqi namun malang sungguh sebab kisah yang dituturkan oleh Al Baihaqi tidak jelas. Kisah itu samar-samar dan tidak ada huraian tentang apa yang di sesalkan dan di-taubatkan.

Lihat apa yang tertera dalam Al Asma Wa As Sifat:

Aku (Al Baihaqi) katakan: "Kisahnya panjang, dan sungguh Muhammad bin Ishaq telah bertaubat dan kembali kepada jalan ulama salaf dan menyesali atas apa yang pernah dia ucapkan"

Al Baihaqi nyatakan bahawa kisah itu panjang. Lalu apa kisahnya? Persoalan yang timbul adalah:

(1) Ibnu Khuzaimah bertaubat dari kesalahan apa?

(2) Apa yang telah dia ucapkan sehingga dia sesalkan?

(3) Asyaariyah adalah jalan khalaf lalu apa maknanya Ibnu Khuzaimah kembali kepada mazhab salaf?

Nampaknya kaum asyaariyah dan ahbash sengaja membuat kaum muslimin menaruh buruk sangka kepada Ibnu Khuzaimah.

Lanjut kemudian untuk menguatkan tuduhan mereka bahawa Ibnu Khuzaimah telah meninggalkan aqidah Salaf dan menganut aqidah Asyaariyah maka di bawa perkataan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari:

"Dan juga terjadi atas seorang pemimpin dari para pemimpin iaitu Ibnu Khuzaimah, kemudian beliau bertaubat. Beliau dalam hal itu memiliki kisah yang sudah terkenal bersama para muridnya"

Tetapi nampaknya tindakan mereka membawakan perkataan Ibnu Hajar tidak menolong usaha mereka sebaliknya mendedahkan kejahatan mereka.

Ibnu Hajar menceritakan sekali imbas bahawa kisah taubat ini berkenaan dengan para muridnya, bukan tentang kitab aqidahnya!

Ad Dzahabi membawakan kisah Ibnu Khuzaimah dengan para muridnya tersebut. Anak muridnya bertanya:

"Apakah yang engkau ingkari dari mazhab-mazhab kami wahai guru, supaya kami tinggalkannya?"

Al Tsaqafi dan As Sabbagh telah kedapatan menganut mazhab Pra-Asyaariyah iaitu Kulabiyyah oleh Ibnu Khuzaimah lalu memarahi mereka. Lantaran itu anak muridnya bertanya tentang alasan beliau.

Maka Ibnu Khuzaimah pun menjawab:

"Kerana kalian condong kepada pemahaman Kullabiyah. Ahmad bin Hanbal termasuk orang yang paling keras terhadap Abdullah bin Said bin Kullab dan teman-temannya, seperti Harits serta lainnya". (As Siyar Alam Nubala)

Tentang Abu Ali At Tsaqafi, Imam Ad Dzahabi mengulas:

"Walaupun beliau mempunyai ilmu dan kesempurnaan, beliau telah menyalahi Ibnu Khuzaimah dalam masalah:

1) Taufiq dan Kesesatan
2) lafaz bacaan al Quran

Maka beliau tidak keluar rumah sehingga meninggal dunia, dan beliau ditimpa ujian disebabkan isu-isu ini"

Justeru kisah perdebatan beliau dengan muridnya inilah yang di singgung oleh Ibnu Hajar.

Kemudian, sekiranya Ibnu Khuzaimah ini taubat dari aqidah Salaf lalu menuju kepada aqidah Asyaariyah maka sudah pasti bergembiralah dua orang muridnya itu dan pastilah cepat-cepat mereka meriwayatkan kisah tersebut.

Malangnya kisah taubat tersebut tidak di nyatakan oleh Al Tsaqafi ataupun As Sabbagh, hatta anak muridnya yang memang merupakan pejuang mazhab Salaf iaitu Ibnu Hibban, Al Bukhari, Muslim dan At Thabrani.

Peliknya kisah tersebut diketahui oleh Al Baihaqi, As Subki, Ibnu Hajar dan beberapa orang kebelakangan yang tidak pernah bersama-sama dengan dia.

Sebagai perbandingan, marilah kita lihat apa kata Ibnu Hibban, murid Ibnu Khuzaimah.

Dalam At Tsiqat, Ibnu Hibban menulis:

"Dia - rahimahullah – salah seorang imam dunia dalam ilmu, kefaqihan, hafalan, pengumpulan (ilmu-ilmu), dan istinbaat. Hingga dia mampu berkata/meriwayatkan hadis-hadis dengan sanad yang kami tidak mengetahui ada orang yang mendahuluinya dari kalangan imam-imam kami; bersamaan dengan pengetahuannya yang sempurna dan kebenaran agamanya hingga dia meninggal dunia, rahimahullaah"

Dari kenyataan muridnya ini, jelas bahawa sikap keagamaan Ibnu Khuzaimah senantiasa konsisten sampai beliau wafat.

Tidak pernah beliau meninggalkan mazhab salaf dan bertaubat dari manhaj mulia ini.

Beliau dinobat sebagai imam kaum muslimin di zamannya. Lihat apa kata Daruqutni:

"Ibnu Khuzaimah adalah seorang imam yang tsabat, tidak ada bandingannya" (Suaalaat As Sulamiy lid-Daaruquthni)

Ibnu Abi Hatim pernah ditanya orang tentang Ibnu Khuzaimah lalu dia berkata:

"Celaka kamu, dia lah yang seharusnya bertanya tentang kami, dan bukan kami yang ditanya tentangnya. Dia adalah seorang imam yang diteladani".

Oleh sebab itulah Ibnu Khuzaimah menjadi panutan dalam mazhab Sunnah, seperti kata Ad Dzahabi:

"Ibnu Khuzaimah mempunyai kebesaran jiwa dan keagungan hati kerana ilmu dan (kebaikan) agamanya, serta sikap ittiba' nya terhadap sunnah"

Ibnu Katsir menyatakan bahawa Ibnu Khuzaimah adalah seorang mujtahid dalam Al Bidayah:

"Dia adalah laut dari lautan ilmu, mengembara ke berbagai negeri untuk mencari hadis dan ilmu. Lalu dia banyak mencatatnya, menulisnya, dan mengumpulkannya. Dan kitabnya As Shahih adalah kitab yang paling besar dan bermanfaat. Dia termasuk mujtahid dalam agama Islam"

Lebih menarik lagi adalah Ibnu Abdil Hadi memberikan beliau gelar Syeikul Islam:

"Seorang hafiz yang tsabat, imamnya para imam, syaikhul Islam, Abu Bakr Muhammad bin Ishaaq bin Khuzaimah" (Thabaqat 'Ulama Al Hadis)

Setelah melihat "kisah taubat" dan kisah pujian para ulama kepada beliau, membuat kita tertanya-tanya kepada golongan yang menyesatkan Ibnu Khuzaimah seperti As Subki.

Mengapa As Subki memanggil Ibnu Khuzaimah sebagai sesat walhal para ulama telah mengiktiraf beliau sebagai Imam Kepada Para Imam dan Syeikul Islam.

Selain dari Ibnu Taimiyyah yang memanggil gelar itu, masih ramai ulama lain yang memanggilnya seperti Ad Dzahabi dalam At Tazkirah:

"Al Haafizh Kabiir, imamnya para imam, Syaikhul Islaam"

Abu Ishaq Asy Syairaaziy pula berkata:

"Beliau dijuluki imamnya para imam yang menggabungkan diantara fiqh dan hadis"

Abu al-Fadl Salih al Hamathani juga berkata dalam Sunan al Tahdis:

"Dia adalah imam pada zamannya. Dan diriwayatkan Nabi pernah bersabda: "Dengan izin Allah, Dia akan mendatangkan umat ini setiap kurun seorang mujaddid untuk membersihkan kembali agama ini".

Nampaknya Abu Fadl Salih al Hamathani menganggap Ibnu Khuzaimah adalah mujtahid yang Allah utus dalam hadis tersebut.

Malah As Subki sendiri pun menganggap Ibnu Khuzaimah sebagai Imam Kepada Para Imam. Apakah As Subki terlupa bahawa dia telah memberikan gelar itu dalam Tabaqat Syafiiyah Al Kubra:

"Mujtahid mutlak, laut yang dalam, yang paling berilmu yang penaakulan dan kecerdasan adalah tidak boleh dipersoalkan, dan tiada sesiapa boleh mencapai tahap itu. Beliau menyusun pelbagai jenis disiplin ilmu. Sungguh bintang pun tidak setinggi kedudukannya beliau.

Beliau tinggal di bandar Naysabur sebagai Imam walaupun hakikat bahawa bandar itu penuh dengan ulama ulung.

Betapa pengetahuannya mengungguli ulama yang lainnya. Masyarakat hanya menjadikan dirinya panutan dan hanya dan hanya orang-orang yang sesat tidak bertemu dengannya.

Fatawa beliau disampaikan di tengah lautan dan daratan. Pengetahuannya membimbing orang yang berjalan dalam kegelapan dan berdiri sebagai satu piawai yang diikuti, dan bagaimana dia boleh menjadi sedemikian apabila dia adalah Imam Kepada Para Imam"

Justeru bagaimana mungkin dikatakan bahawa Ibnu Khuzaimah sesat pada awal kehidupannya dan lama setelah itu baharu lah dia bertaubat walhal dia telah menjadi mujtahid semenjak umur 16 tahun!

Syaikh Abu Ishaaq Asy Syiiraaziy menyatakan dalam Thabaqat As-Syafiiyah, darinya (Ibnu Khuzaimah), bahawa dia pernah berkata: "Aku tidak pernah bertaqlid kepada siapapun sejak aku berusia 16 tahun". (Al Bidaayah wan-Nihaayah)

Sungguh ini adalah dusta dari orang yang ingin menolak aqidah beliau yang ditulis dalam At Tauhid dimana aqidah itu menyerang aqidah Asyaariyah dan aqidah sesat lainnya.

Beliau telah menjadi Imam Ahlul Sunnah sekian lama, bukan hanya setelah 'taubat' dari menulis At Tauhid.

Malah dikhabarkan bahawa beliau menulis kitab At Tauhid setelah selesai menulis shahihnya. Oleh itu kaedah beliau menulis kitab tersebut memiliki kesamaan antara Shahihnya dan At Tauhid: meletakkan tajuk kemudian membawakan riwayat hadis dan atsar lalu memberikan catatan ketika perlu.

Maka apabila ada golongan berkata Ibnu Khuzaimah menarik balik kitabnya itu, apa konsikuansi nya?

(1) Apakah beliau mendhaifkan seluruh hadis dan atsar yang beliau riwayatkan dalam kitab tersebut?

Hal ini langsung tidak berlaku.

(2) Atau beliau tetap membenarkan riwayat-riwayat yang menjadi asas keyakinan dan perbahasan dalam kitab tersebut, tetapi beliau meralat segala huraian pada riwayat yang beliau coretan?

Ini sebuah tanggapan yang tidak masuk aqal. Padahal kebanyakkan riwayat tersebut memiliki makna yang sangat jelas sampaikan kita mampu memahaminya dengan mudah.

Kepada orang yang mengambil kisah "tidak jelas" tentang "taubat" Ibnu Khuzaimah lantas dia mengasak peristiwa "taubat" itu kepada "menyesal dari menulis kitab At Tauhid".

Di sini kita bawakan contoh perbahasan dalam kitab At Tauhid.

Dengan demikian supaya golongan yang mengatakan ucapan diatas sedar akan 'dusta' yang sedang dia lempar kepada Imam Kepada Para Imam ini.




Bab 1 : Penjelasan dari Khabar Nabi Tentang Istbat Diri Untuk Allah Azza wa Jalla.

Hadis no. 5

Haddatsanaa Abdul Jabbar ibnul Alaa’ al-Athoor ia berkata, haddatsanaa Sufyaan dari Muhammad bin Abdur Rokhman beliau maula keluarga Tholhah dari Kuroib dari Ibnu Abbas Rodhiyallahu 'anhu bahwa Nabi Sholallahu 'alaihi wa salaam ketika keluar sholat subuh ke masjid, sedang Juwairiyah rodhiyallahu anha sedang duduk di masjid. Lalu Nabi sholallahu alaihi wa salam kembali ke rumah. Maka ketika siang hari Nabi sholallahu alaihi wa salam datang lagi ke masjid dan (masih mendapati Juwairiyyah masih duduk), Nabi sholallahu alaihi wa salam pun berkata kepadanya: 

"Engkau masih duduk disini setelah aku pulang kerumah?"

Maka jawab Juwairiyyah: "Ya".

Nabi sholallahu alaihi wa salam berkata lagi:

"Bukankah aku pernah mengatakan kepadamu, ada 4 kalimat yang sekiranya ditimbang, niscaya akan berat timbangannya, iaitu: 

"Maha Suci Allah bagi-Nya segala puji sebanyak jumlah makhluk-Nya dan sepanjang kalimat-Nya, yang Dia ridha dengan Diri-Nya sendiri serta perhiasan Arsy-Nya"

Abu Bakar (Ibnu Khuzaimah) berkata: "riwayat Syu'bah dari Muhammad bin Abdur Rokhman dari hadis ini, aku telah mentakhrijnya dalam kitab Doa'."


Hadis no. 6

Haddatsanaa Yunus bin Abdul A’laa, akhbaroni Anas bin Iyad dari al-Harits ibnu Abi Dzubaab dari Atho bin Miinaa dari Abu Hurairah rodhiyallahu anhu ia berkata: "Bahawa Rasulullah sholallahu alaihi wa salam bersabda:

"Ketika Allah menakdirkan makhluknya, Dia menulis dalam kitab-Nya atas Diri-Nya sendiri yang kitab tersebut ada disisi-Nya, sesungguhnya rakhmatku mendahului murka-Ku".

Yunus berkata kepada kami, Anas berkata kepada kami : 'mendahului'.


Hadis no. 7

Haddatsanaa Yahya bin Habiib al-Haaritsi ia berkata, haddatsanaa Khoolid –ibnul Harits- dari Muhammad bin Ajlan.

Haddatsanaa Muhammad ibnul Alaa Abu Kuroib ia berkata, haddatsanaa Abu Khoolid dari Ibnu Ajlan dari Bapaknya dari Abu Hurairah rodhiyallahu anhu ia berkata, Rasulullah sholallahu alaihi wa salam bersabda:

"Ketika Allah menciptakan mahkluk, Dia menulis dengan Tangan-Nya atas Diri-Nya sendiri bahawa Rakhmat-Ku mengalahkan Murka-Ku".

Abu Bakar (Ibnu Khuzaimah) berkata: 

"Maka Allah Jalla wa Alaa menetapkan di beberapa ayat dalam Kitab-Nya bahawa Dia memiliki Diri, demikian juga telah dijelaskan melalui lisan Nabi-Nya sholallahu alaihi wa salam bahawa Dia memiliki Diri, sebagaimana penetapan Diri dalam Kitab-Nya. 

Aku mengkafirkan Jahmiyyah dengan ayat-ayat ini dan hadis-hadis ini. 

Sebahagian orang bodoh dikalangan mereka mendakwa bahawa Allah Ta'ala hanyalah menyandarkan Diri kepada-Nya, dengan makna menyandarkan makhluk kepada Penciptanya, mereka mendakwa diri-Nya bukan Allah sebagaimana ciptaan bukan Allah. 

Pemahaman ini tidak akan tersamarkan bagi orang yang cerdas dan memiliki ilmu, terlebih lagi untuk membahasnya".

Allah telah mengajarkan dalam hukum yang diturunkan (Al Qur'an), bahawa Dia menulis atas Diri-Nya rahmat, apakah akan terfahami oleh seorang Muslim bahawa Allah Ta'ala menulis Rahmat atas nama selain-Nya? 

Dan memperingatkan hamba selain Diri-Nya?

Apakah boleh bagi seorang Muslim untuk mengatakan bahawa Allah memperingatkan hamba-Nya atas nama selain-Nya? 

Atau mentakwil Firman-Nya kepada Musa alaihi salam: "aku telah memilihmu untuk Diri-Ku sendiri", lalu dikatakan maknanya "Aku memilihmu untuk selain-Ku iaitu makhluk-Nya?"

Atau mereka mengatakan bahawa maksud perkataan Ruh Allah (Nabi Isa alaihi salam) yang mengatakan: "aku tidak mengetahui apa yang ada dalam Diri-Mu" dengan takwil "aku tidak mengetahui apa yang ada dalam diri selain-Mu?". 

Maka semua ini tidak akan bersumber dari seorang Muslim, tidak ada yang mengatakannya kecuali Muathilun Kafir".

*************

Sebagai tandaan, kita perlu insaf bahawa tidak ada manusia yang perkataannya mutlak benar, termasuk Ibnu Hajar, Al Baihaqi dan As Subki. 

Kita telah tunjukkan bagaimana As Subki melakukan kontradiksi kepada Ibnu Khuzaimah.

Dia menyerang Ibnu Khuzaimah dan menyesatkannya serta membuat tuduhan melulu saat membicarakan biografi Ibnu Taimiyyah. Malah As Subki mempersoalkan gelaran Imam Kepada Para Imam yang disandang oleh Ibnu Khuzaimah.

Namun ketika membicarakan biografi Ibnu Khuzaimah, menggunung pujian yang As Subki berikan sehingga dia pun mengiktiraf bahawa Ibnu Khuzaimah adalah Imam Kepada Para Imam.

Lalu para ulama telah menyatakan bahawa As Subki adalah seorang yang fanatik kepada Mazhab Asyaariyah dan dia akan bertindak diluar keadilan apabila melibatkan mazhab yang dia anut.

Juga kita bawakan contoh lain bagaimana seorang ulama agung yang mencapai maqam Amirul mukminin fil Hadis pun mampu berbuat silap dalam penilaian rawi. 

Beliau - Ibnu Hajar - adalah ulama agung namun itu bukan bererti setiap butir bicaranya pasti benar.

Syeikh Muqbil mengulas kitab At Taqrib yang dikarang oleh Ibnu Hajar:

"Kitab At Taqrib perlu diteliti ulang, terkadang tertulis didalamnya 'maqbul', padahal didapati Imam Ibnu Ma'in (ulama mutasyaddid) mentsiqah-kannya atau sebaliknya didalamnya tertulis 'tsiqah', padahal hanya Al 'Ijli (ulama mutasahil) atau Ibnu Hibban (ulama mutasahil) yang mentsiqahkannya. 

Kami pernah memberikan kepada Syaikh Muhammad al Amiin al Mishri nama 10 orang perawi dimana kesemua perawi tersebut dikatakan 'maqbul'. Lalu beliau memberikan hasilnya (penelitian) kepadaku bahawa At Taqrib perlu kepada penelitian semula.

Kami tidak menjadikan At Taqrib sebagai rujukan, kecuali apabila kami mendapatkan perbezaan pendapat ulama mutaqaddimin dan kami tidak dapat melakukan kompromi terhadap perbezaan tersebut, maka ketika itu baharu lah kami merujuk kesana dan menggunakan pendapat penulisnya"


Sebagai penutup, kita ingin mempersoalkan kaum Asyaariyah dan Ahbash, apa kaitan Ibnu Khuzaimah dengan ketidak-pandaian beliau dalam ilmu kalam dengan kisah 'taubat' ciptaan kalian atau 'kesesatan' aqidah beliau?

Kalian bawakan komentar Al Baihaqi:

"Ibnu Khuzaimah sebagaimana telah kami hikayatkan darinya, telah mengakui bahawa dia menulis kitabnya dengan tidak mahir terhadap ilmu kalam". (Asma wal Sifat)

Ini menunjukkan apa? 

Kenyataan Al Baihaqi ini adalah bukti bahawa seorang Syeikul Islam, yang dinobat sebagai Imam Kepada Para Imam, tidak memerlukan ilmu kalam untuk memahami agama ini!

Lantas apa gerangan kalian menekuni Ilmu Kalam untuk memahami aqidah? Kerana itulah kalian tersesat dengan takwilan kalian lantaran mengambil jalan lain daripada jalan yang ditempuh oleh para salaf.

Malah pendirian Ibnu Khuzaimah untuk jahil dan bodoh dalam ilmu kalam adalah selari dengan pendirian Imam As Syafie!

Justeru apakah manfaat kalian membawakan kenyataan Al Baihaqi diatas? Sungguh sesat orang yang disesatkan Tuhan.

Kenyataan AL Baihaqi terhadap kejahilan Ibnu Khuzaimah dalam ilmu kalam dan beliau menulis At Tauhid tanpa menggunakan metoda ahli kalam, tidak boleh menjadi hujjah bahawa kitab itu sesat atau telah di ralat oleh Ibnu Khuzaimah di kemudian hari.

Sungguh pelik cara berfikir pendokong ilmu kalam dari kaum Asyaraiyah dan Ahbash ini.



___________________________
  Abu Amru Radzi Othman
   ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments