Bilakah Bermula Gelaran Amir Al-Mukminin / Amirul Mukminin?

OLEH: Zulfikar Egar
Bilakah bermula gelaran amir al-mukminin?
Ada banyak pendapat bila bermulanya gelaran Amir Al-Mu'minin. Tapi apa yang pasti ia bermula pada zaman Umar bin al-Khattab R.A.

Umar ibn Abdul Aziz pernah bertanya kepada Abu Bakar ibn Sulaiman ibn Hatmah, mengapa di zaman Abu Bakar as-Siddiq R.A ditulis surat kerajaan dengan lafaz:
"Dari Khalifah Rasulullah alaihi as-Solat wa salam".

Kemudian pada zaman Umar pula ditulis:
"Dari Khalifah Abu Bakar". 

Dan siapakah pula yang memulakan tulisan:
"Dari Amirul Mu'minin?"

Jawab Abu Bakar ibn Sulaiman:

As-Syifa perempuan sahabiah telah berkata bahawa Abu Bakr as-Siddiq memulakan pada setiap surat yang ditulisnya dengan sebutan:

"Dari Khalifah Rasulullah ﷺ, sedangkan Umar pula menulis suratnya dengan Khalifah Khalifah Rasulullah ﷺ".

Hingga pada suatu ketika Umar menulis surat kepada pegawainya di Iraq, supaya mengirim kepadanya dua orang yang tegas, untuk beliau bertanya khabar mengenai hal ehwal Iraq.

Pegawai berkenaan mengutus Labid ibn Abi Rabi'ah dan 'Udai ibn Hatim. Kedua-dua orang perutusan itu pun bergerak menuju Madinah.

Sampai di sana, mereka terus masuk ke dalam Masjid Nabawi dan bertemu dengan Amru ibn al-Aas R.A dengan berkata:
"Usahakan untuk kami mendapat izin bertemu dengan Amir Al-Mu'minin".

Kata Amru ibn al-Aas R.A:
"Sungguh tepat sebutan kamu tentang gelarannya itu".

Amru ibn al-Aas R.A pun masuk menemui Umar bin al-Khattab R.A dan menyebut:
"Assamualaikum wahai Amir Al-Mu'minin".

Kata Umar bin al-Khattab R.A:
"Bagaimanakah boleh terlintas pada fikiran engkau dengan panggilan tadi?"

Amru ibn al-Aas R.A pun memberitahu apa yang baru terjadi sebentar tadi, dengan katanya:
"Engkau Amir (pemimpin) sedangkan kami ini kaum Mu'minin, maka jadilah panggilan Amir Al-Mu'minin".

Sejak ketika itulah maka semua surat yang dikirimkan itu menggunakan panggilan Amir Al-Mu'minin.

Imam an-Nawawi berkata:
"Gelaran Amir Al-Mu'minin telah diberi oleh 'Udai ibn Hatim dan Labid ibn Abi Rabi'ah semasa mereka menemui Umar sebagai wakil daripada penduduk Iraq."

Telah disebutkan juga bahawa gelaran itu pertama kalinya diberi oleh al-Mughirah ibn Syu'bah.

Terdapat juga pendapat lain yang mengatakan bahawa gelaran itu timbul dari Umar bin al-Khattab R.A sendiri, iaitu semasa beliau berucap di hadapan khalayak ramai dengan katanya"

"Kalian kaum Mu'minin dan aku Amir kalian".

Maka setelah itu beliau dipanggil dengan Amir Al-Mu'minin, sedangkan pada sebelum itu beliau dibahasakan dengan panggilan Khalifah Khalifah Rasulullah ﷺ, kemudian mereka menukar panggilan itu dengan Amir Al-Mu'minin.

Ibn Asakir telah meriwayatkan dari Muawiyah ibn Qurrah yang berkata:

"Ada pun surat yang datang dari Abu Bakr pada pemerintahannya tertulis: Dari Khalifah Rasulullah ﷺ. Sedang semasa pemerintahan Umar pula ditulis: Dari Khalifah Khalifah Rasulullah ﷺ.

Lantaran itu kata Umar: "Ini panjang sebutannya". Lalu dijawab mereka yang ada pada ketika itu:

"Tidak, tapi kami melantik tuan untuk kami. Jadi tuan Amir kami".

Kata Umar bin al-Khattab:
"Ya, sedang kamu semua Mu'minin dan aku ini Amir kamu".

Maka sejak hari itu ditulisnya "Amir Al-Mu'minin".

Wallahualam.

(Gambar hiasan semata-mata)

___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments