Berhadapan Dengan Pendapat Mazhab Ahli Sunnah Yang Pupus?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Mendakwa berijtihad sendiri adalah amalan bahaya dan bakal mencetuskan polemik dan kontroversi. Oleh sebab itu, sebahagian ulama tidak mengisytiharkan mereka mencapai taraf mujtahid mutlak walaupun berkelayakan seperti Imam Taj al-Din al-Subki.

Tetapi, dalam kes mereka mempunyai pendapat yang bertentangan dengan pendapat mazhab empat dan pendapat lain dalam mazhab empat, mereka menyandarkan pendapat tersebut kepada mana-mana ulama terdahulu walaupun mazhab ulama tersebut dianggap telah pupus dan tidak diamalkan, supaya mereka dapat mengatakan bahawa pendapat tersebut bukan datang daripada kajian dan penelitian sendiri, sebaliknya tarjihan pendapat ulama terdahulu.

Ini juga dilakukan untuk mengelakkan mereka dituduh menyalahi ijmak kerana isu menyalahi ijmak adalah isu besar di sisi ulama. Mereka boleh dituduh sesat dan ahli bid'ah. Oleh itu, menyandarkan pendapat mereka kepada pendapat ulama terdahulu walaupun mazhab mereka tidak digunakan lagi seperti al-Awza'i dan Ibnu Hazm perlu untuk tujuan ini.

Jadi, hakikatnya pendapat yang dikemukakan oleh mereka itu adalah pendapat mereka sendiri. Pengaitan dengan mazhab yang sudah pupus adalah untuk menguatkan pendapat mereka dan menepis kemungkinan dituduh sesat dan menyalahi ijmak. Maka, sebab itulah, mereka tidak terlalu menitikberatkan kesahihan serta ketepatan penisbahan pendapat kepada mazhab tersebut.

Pada masa yang sama, maksud ulama bahawa tidak boleh beramal dengan mazhab yang sudah pupus berkemungkinan bermaksud tidak boleh bermazhab dengan mazhab tersebut, bukan mentarjihkan sebuah dua pendapat mazhab berkenaan. Hampir setiap ulama besar mempunyai beberapa ikhtiyarat sendiri yang mungkin bercanggah dengan pendapat mazhab empat. Wallahualam.

___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments