OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman
Tetapi apabila hal yang sama berlaku di Kota Suci Islam, tempat letaknya Rumah Allah, Kaabah, Kiblat Umat Islam seluruh dunia, arah mereka menghadap dalam solat setiap hari paling kurang lima kali sehari, ketika Umat Islam dikejutkan dengan serangan pengganas yang mengakibatkan satu bangunan runtuh ranap pada hari Jumaat lepas, 23 Jun 2017 di Ajyaad, Mekah Al-Mukarramah, tidak pula kedengaran bantahan dan kutukan atas serangan tersebut.
Hairan dengan sebahagian yang kononnya memperjuangkan Islam (sebahagiannya dikatakan memperjuangkan Sunnah), apakah pengeboman ini yang berlaku hanya beberapa ratus meter dari Masjidil Haram tidak cukup untuk menarik perhatian mereka?
Mereka membisu seribu bahasa.
Lebih pelik apabila sebahagian khatib solat Hari Raya mengambil kesempatan untuk menyatakan sokongan terbuka mereka kepada Qatar dan mempersalahkan Arab Saudi dalam isu Arab Saudi dan beberapa negara serantau memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.
Sedangkan sebab-sebab mengapa keputusan drastik tersebut diambil dinyatakan secara jelas iaitu kerana Qatar untuk sekian lama telah banyak campur tangan dalam isu-isu dalaman Arab Saudi dan negara-negara serantau sehingga menggugat kestabilan negara, memberi sokongan dan perlindungan kepada gerakan-gerakan haraki semisal Ikhwan Muslimin dan tokoh-tokoh mereka yang lantang menyokong gerakan pemberontakan terhadap pemerintah, menjatuhkan ‘rejim’ di negara-negara Muslim, manakala rangkaian stesen tv Al-Jazeera yang berpusat di Qatar menjadi lidah rasmi propaganda mereka menghasut Umat Islam dan memburuk-burukkan Arab Saudi dan negara-negara Muslim lain.
Nah, apa yang dibimbangkan oleh Arab Saudi benar-benar terbukti, bahawa terdapat gerakan-gerakan untuk menggugat kestabilannya, menimbulkan huru-hara dan kekacauan dengan berlakunya pengeboman di Mekah baru-baru ini dan tertangkapnya anasir-anasir pengganas di beberapa lokasi di Mekah dan Jeddah.
Masih mahu mengatakan Arab Saudi zalim dan salah?
Inilah masalahnya apabila rosak kayu timbangan menilai baik buruk. Yang salah jadi benar, dan yang benar jadi salah.
Akhirnya mereka merasa simpati kepada kafir lebih daripada Muslim, gerakan menjatuhkan kerajaan Muslim dikatakan ‘jihad’ manakala huru-hara, kekacauan dan kematian yang berlaku akibatnya dikatakan sebagai collateral damage atau kebinasaan yang tak disengajakan, kononnya.
Ironinya, mereka sangat benci kepada Arab Saudi, tetapi sikap ini tiada apabila membicarakan tentang Syiah dan Iran, walhal kesesatan dan permusuhan Syiah terhadap Sunni cukup jelas bahkan menjadi sebahagian daripada akidah mereka.
Tidak kurang peliknya apabila Arab Saudi dikatakan tali barut Amerika dan Yahudi.
Ajaib, Turki yang mempunyai kedutaan Israel tidak dituduh sedemikian.
Iran yang mempunyai populasi penduduk Yahudi yang tinggi dan kerajaannya membenarkan komuniti Yahudi di Iran membina rumah-rumah ibadat mereka di Tehran dan kota-kota lain, tidak pula dituduh sebagai tali barut Yahudi.
Bahkan ada yang menganggap bahawa Iran adalah pejuang dan penyelamat Umat Islam sedunia.
(Catatan: Iran mempunyai lebih 200 rumah ibadat Yahudi di Tehran, manakala satu-satunya surau Sunni di Tehran telah dirobohkan pada tahun 2015!)
Demikian juga dengan Qatar yang mempunyai pangkalan tentera Amerika tidak dikatakan sebagai tali barut.
Adapun Arab Saudi, yang tidak pernah mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, bahkan tidak pernah mengiktiraf negara haram tersebut semenjak penjajahannya terhadap Palestin pada tahun 1948 - jauh sekali daripada membenarkan didirikan rumah ibadat Yahudi di negaranya, sangat lantang dan tegas membantah kesesatan agama Syiah yang menganggap bahawa Al-Quran tidak sempurna, para Sahabat Nabi hampir semuanya telah murtad kafir, Aisyah isteri Nabi adalah pelacur, golongan Sunni (dinamakan Nawasib) adalah najis lebih hina daripada Yahudi dan Kristian, dan lebih keji daripada anjing dan babi.
Berdepan dengan semua fakta-fakta ini, Arab Saudi tetap menjadi tali barut Amerika Yahudi, manakala Syiah Iran adalah pejuang Islam sejati.
Sungguh ia tidak membutakan mata kepala tetapi ia membutakan mata hati jantung di dalam dada.
Hanya kepada Allah kita meminta keselamatan dan petunjuk hidayah.
Wallahul musta'an.
___________________________
~ Ustaz Idris Bin Sulaiman ~
Pendakwah Bebas
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment