OLEH: Zulfikar Egar
Ada macam-macam kisah yang tak benar dikaitkan dengan Saidina Umar bin Al Khattab R.A yang sering kedengaran sejak dahulu lagi.
Antaranya ialah dikatakan Umar bin Al Khattab R.A ini pernah membunuh anak perempuannya pada zaman jahiliyyah dulu.
Kononnya nak menunjukkan betapa kerasnya hati Umar bin Al-Khattab dan disebabkan ingin menutup aib, beliau pernah membunuh anak perempuannya dengan mengorek tanah dan menanamnya hidup-hidup.
Selepas itu semasa zaman Islam, dikatakan Umar bin Al Khattab R.A ni kadangkala menangis penyesalan kerana mengenangkan perbuatannya dulu semasa zaman jahiliyyah.
Persoalannya, benarkah kisah tersebut?
Umum mengetahui bahawa Umar bin Al-Khattab R.A ni selain merupakan Sahabat Nabi, beliau juga adalah ayah mertua Nabi.
Anak perempuannya iaitu Hafsah binti Umar R.A telah dikahwini oleh Rasulullah S.A.W semasa di Madinah.
Hafsah binti Umar R.A ni lahir pada zaman jahiliyyah. Ibunya bernama Zainab binti Maz’un adalah isteri pertama Umar dan merupakan satu-satunya isteri Umar Al-Khattab pada zaman jahiliyyah.
Ketika Saidina Umar bin Al Khattab R.A ni memeluk Islam, beliau hanya mempunyai tiga orang anak sahaja iaitu Hafsah binti Umar, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman al-Akbar.
Di zaman Islam barulah Umar bin Al Khattab berkahwin dengan beberapa orang lagi wanita dan dikurniakan beberapa orang anak yang lain.
Jadi persoalannya?..
Anak perempuan manakah yang telah dibunuh oleh Umar Al Khattab semasa zaman jahiliyyah dulu?
Anak perempuan yang manakah telah ditanam hidup-hidup oleh Umar bin Al-Khattab R.A itu?
1 lagi...
Umar bin Al Khattab juga mempunyai nama gelaran iaitu Abu Hafs.
Sudah menjadi kelaziman bagi orang Arab. Mereka dipanggil dengan panggilan hormat yang dinisbahkan kepada anak sulung masing-masing.
Contohnya.
Kalau anak sulung bernama Talhah, ayahnya akan dipanggil Abu Talhah. Kalau anak sulung bernama Miqdad, ayahnya akan dipanggil Abu Miqdad.
Begitu juga Umar bin Al Khattab R.A.
Oleh kerana anak sulungnya bernama Hafsah, maka Umar bin Al Khattab juga dikenali sebagai Abu Hafs yang merujuk kepada Hafsah.
Kalaulah Umar bin Al Khattab merasa aib dan malu lantaran memiliki seorang anak perempuan, masakan beliau menggunakan gelaran Abu Hafs. Sedangkan gelaran itu merujuk kepada anak perempuannya.
Benar... Memang ada orang Arab zaman jahiliyyah dulu bunuh anak perempuan mereka hidup-hidup.
Tapi tak semua kabilah yang membunuh anak perempuan mereka. Tak semua keluarga membuat amalan sebegitu.
Contoh lain.
Kita juga mengetahui Umar bin Al Khattab R.A mempunyai seorang adik perempuan bernama Fatimah binti Al Khattab yang masuk Islam terlebih dahulu daripadanya.
Peristiwa di mana pada mulanya Umar bin Al Khattab memukul adiknnya itu kerana memeluk agama Islam.
Selepas itu, dibacakan surah Tohaa di rumah Fatimah yang menjadi antara sebab hati Umar bin Al Khattab menjadi lembut untuk masuk Islam.
Kalaulah budaya membunuh anak perempuan menjadi amalan keluarga Al Khattab sejak dulu lagi.
Dah lama Fatimah ni kena tanam hidup-hidup oleh ayahnya Al Khattab masa kecil dulu.
Wallahualam.
___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Yg mengadakan cerita ialah Syiah..tukang sebar ahli bidaah...
ReplyDeleteماشا الله
ReplyDelete