OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman
SOALAN:
Adakah perbuatan maksiat pada malam Lailatulqadar dikira sebagai lebih buruk daripada seribu bulan?
JAWAPAN:
Ulama menjelaskan bahawa gandaan balasan PAHALA KEBAIKAN adalah secara BILANGAN (10, 20, 30 kali ganda dan seumpamanya) dan dari sudut BENTUKNYA (ganjaran pahala yang besar, lumayan dan seumpamanya).
Adapun gandaan balasan DOSA KEJAHATAN adalah dari sudut BENTUKNYA sahaja, iaitu pelakunya dibalas dengan azab pedih, perit dan seumpamanya.
Firman Allah:
مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
"Sesiapa yang membawa AMAL KEBAIKAN, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa AMAL KEJAHATAN, maka ia tidak dibalas melainkan dengan (kejahatan) YANG SAMA dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).
[Surah Al-An'am, 160]
Dalam ayat di atas, berbeza dengan amal kebaikan, sesuatu amal kejahatan hanya akan dicatatkan sebagai SATU DOSA; yakni tidak akan dilipat gandakan jumlahnya.
Hanya sahaja sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama, barangkali CARA BAGAIMANA pelakunya diazab mungkin digandakan dari sudut pedih dan perit azab tersebut kerana perbuatannya menodai kemuliaan dan kehormatan sesuatu tempat (seperti Tanah Suci dan masjid) dan masa (seperti di bulan Ramadan).
Adapun gandaan balasan kerana MALAM LAILATULQADAR, tidak dinafikan bahawa perbuatan dosa pada bulan Ramadan secara amnya tidak seperti perbuatan dosa di luar bulan Ramadan.
Hanya sahaja sepertimana dalam penjelasan di atas, gandaan balasan dosa di bulan Ramadan adalah dari sudut BENTUKNYA, dan bukan secara BILANGAN 10 kali ganda, 1000 kali ganda dan seumpamanya.
Wallahul muwaffaq.
___________________________
~Ustaz Idris Bin Sulaiman~
Pendakwah Bebas
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment