OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Pagi ini isteri saya bertanya tentang status hadis di bawah:
"Kalau Tiada Hal Yang Dituntut Syara' Untuk Keluar Rumah Maka Diamlah Kalian Dirumah.....
mari kita selami kisah disebalik hadis ini..
"Wanita yang tinggal di rumah bersama-sama (mendidik dan mengurus) anaknya, dia di akhirat akan tinggal bersama-sama dengan aku (Rasulullah SAW) di dalam syurga."
Suatu hari Rasulullah SAW datang menziarahi anaknya, Siti Fatimah RH dan didapati Fatimah sedang menangis. Rasulullah SAW bertanya, "Apakah yang menyebabkan engkau menangis, wahai Fatimah?"
Jawab Fatimah; "Wahai ayahku, aku menangis kerana aku amat letih mengisar tepung dan menjalankan kerja-kerja rumah. Sekiranya dapat, ayahanda tolonglah suruh Ali belikan seorang hamba untuk menolong segala kerja-kerja ini dan ia akan menjadi suatu kurniaan yang besar kepadaku."
Mendengarkan aduan anak itu, Rasulullah SAW sedih dan mengalirkan air mata. Baginda pun menghampiri batu pengisar tepung itu bertujuan untuk membantu anaknya dan ia mengambil segenggam gandum dan ia memasukkan ke dalam batu pengisar tersebut sambil membaca Bismillah.
Tatkala Rasulullah SAW memasukkan tepung, maka batu pengisar itu pun bergerak-gerak dengan sendirinya tanpa dipegang dan dikisar oleh tangan yang amat mulia itu, sambil batu itu mengucapkan tasbih dengan bahasa yang amat indah sekali sehingga selesai mengisar gandum itu.
Setelah habis gandum itu dikisar, Rasulullah SAW berkata kepada batu itu: "Diamlah wahai batu pengisar."
Ketika itu juga Allah telah mengizinkan alat pengisar itu boleh berkata-berkata dengan bahasa yang amat fasih sekali, ia pun berkata, "Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, sebagai seorang Rasul dan sebagai seorang yang paling amanah, bahawa akan diam selagi engkau tidak memberi jaminan kepada aku bahawa aku akan ditempatkan oleh Allah di dalam syurga dan dijauhi daripada api neraka."
Rasulullah SAW pun berkata; "Wahai batu, engkau walaupun batu tetapi engkau takut kepada api neraka."
Batu pengisar itu berkata; "Wahai Rasulullah SAW, aku telah mendengar satu ayat daripada al-Quran; wahai orang yang telah beriman, jauhilah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan pembakarnya daripada manusia dan batu-batu. Di atasnya terdapat Malaikat yang amat garang dan tidak pernah ingkar dengan perintah Allah."
Dengan sifat belas kasihan Rasulullah SAW pun mendoakan keselamatan untuk batu tersebut. Setelah selesai Nabi SAW berdoa, maka Allah mengutuskan Malaikat Jibril kepada beliau.
Kata Malaikat Jibril; "Wahai Muhammad, Tuhan yang baginya segala pujian dan Yang Maha Tinggi telah mengirimkan salam penghormatan kepadamu dan Ia sekaligus berpesan; berilah khabar gembira kepada batu itu, bahawa Allah telah melepaskan batu itu daripada api neraka dan ia diletakkan bersama-sama batu-batu syurga di dalam Istana (Mahligai) Fatimah di akhirat, di mana ia akan mengeluarkan cahaya yang terang menyinar mahligai itu bagai sinar matahari dunia ini".
Berita itu pun disampaikan kepada batu tersebut dan sambil baginda memandang anaknya Fatimah dan berkata; "Sekiranya dikehendaki oleh Allah, pengisar ini akan boleh bekerja dengan sendirinya seperti mana yang engkau lihat tadi bagi membantumu, tetapi Allah mengkehendaki engkau perolehi pahala dan Ia hendak mencatitkan kebajikan dan meninggikan darjatmu di sisinya kerana kerjamu yang amat berat dan memenatkan itu."
"Wahai Fatimah", sambung Rasulullah SAW lagi, "Kelebihan setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak roti (untuk suami dan anak-anaknya) Allah akan bina parit di antara dirinya dengan api neraka (bagi menghalang bahang api neraka itu), dan jarak di antara satu parit dengan satu parit sejauh dengan bumi".
"Wahai Fatimah, setiap wanita yang berair matanya kerana pedih memotong bawang untuk dimasakkan kepada ahli rumahnya, maka Allah akan mencatitkan pahala sebanyak yang diberikanNya kepada orang yang menangis takutkan Allah".
"Wahai Fatimah, setiap wanita yang memintal benang (menenun kain untuk pakaian keluarganya), Allah akan mencatitkan kebajikan terhadap perbuatan kebajikannya itu sebanyak jumlah benang yang ditenunnya dan Allah akan menghapuskan pula 100 perbuatan jahatnya (dosa-dosanya)".
"Wahai Fatimah, setiap wanita yang menenun kain dan dibuatkan pakaian (untuk ahli rumahnya), Allah akan menetapkannya di tempat khas di atas takhta di akhirat". (Dalam satu riwayat lain disebut ganjaran pahalanya sama seperti pahala memberi makan kepada 1000 orang yang sedang lapar dan memberikan pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian).
"Wahai Fatimah, setiap wanita yang meminyak rambut, menyikat mencuci pakaian, mencuci dan membersihkan anak-anaknya, maka Allah akan membalaskan perbuatan kebajikannya itu dengan pahala mengikut jumlah rambut anaknya itu dan menghapuskan pula dosa-dosanya dan menjadikan ia berseri-seri (di akhirat) di mata orang yang melihatnya".
(Hadis riwayat Abu Hurairah)"
Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Lajnah al-Da'imah, hadis ini palsu. Matannya jelas-jelas mungkar. Entah bagaimana ada manusia yang boleh mempercayai dan menyebarkannya.
"Hadis Riwayat Abu Hurayrah" pun sudah cukup menunjukkan penukilnya jahil ilmu hadis. Ini kerana ulama apabila menukilkan hadis akan menyandarkannya kepada ulama yang mencatatkan, bukan kepada sahabat yang meriwayatkannya.
Dan rupa-rupanya, hadis ini sangat panjang, lebih panjang daripada yang dinukilkan ini. Penukil ini - atau penukil sebelumnya - hanya memilih-memilih bahagian yang disukai dan meninggalkan banyak bahagian lain.
Antara bahagian yang tidak disebutkan ialah "wahai Fatimah, tidak ada wanita yang mendedahkan muka kepada selain suaminya kecuali Allah akan menyembamkan mukanya di dalam neraka."
Wallahualam.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment