OLEH: Dr Fadlan Mohd Othman
dalam isu Istiwa. Menurut Salaf, erti Istiwa hendaklah dirujuk kepada riwayat-
riwayat yang bersambungan sanadnya dengan periwayat yang thiqah (dipercayai).
Dalam kitab Syarh Usul I’tiqad Ahlis Sunnah Wal Jamaah, al-Shaikh al-Imam Hibatullah al-Lalika’i rahimahullah telah mendatangkan riwayat yang masyhur berkenaan kenyataan al-Imam Malik bin Anas rahimahullah tentang Istiwa, iaitu:
Daripada Jaafar bin Abdullah katanya, “Seorang lelaki telah datang kepada Malik bin Anas lalu berkata, “Wahai Abu Abdillah {Al-Rahman alal ‘arsyistawa} bagaimanakah Dia istawa?” Katanya, “Saya tidak pernah melihat Malik begitu marah tentang sesuatu seperti marahnya dia dengan persoalan itu dan dia kelihatan berpeluh.” Katanya, “Orang ramai menunggu apa yang akan
disebutnya tentang hal ini.” Katanya, “Kemudian Malik kembali tenang lalu
berkata, “Bagaimana adalah ghair ma‘qul (tidak dapat dicapai akal), istiwa'
pula ghair majhul (tidak merupakan perkara yang tidak diketahui), beriman
dengannya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah bidaah. Aku risau engkau ini sesat.” Lalu dia menghalaunya keluar.”
Menurut pentahkik kitab Syarh Usul I’tiqad, athar ini dinilai salah satu
sanadnya sebagai sanad jayyid (jalur periwayatan yang baik) oleh al-Imam
Ibnu Hajar rahimahullah.
Begitulah kita dapati betapa al-Imam Malik marah
terhadap soalan yang tidak beretika ini, iaitu tentang kaifiyyah iaitu bentuk
dan bagaimana Allah istiwa'. Al-Imam Malik rahimahullah adalah merupakan
salah seorang ulama Salaf di peringkat Tabiut Tabiin.
Kenyataan beliau
mengandungi empat bahagian.
Pertama, “Bagaimana adalah ghair ma‘qul (tidak dapat dicapai akal)”; ertinya
sebagai seorang muslim yang beriman dengan apa sahaja yang datang dari
Allah Taala, wajarlah kita mengetahui bahawa terdapat perkara yang tidak
mampu dicapai akal manusia. Justeru, janganlah membincang tentangnya
kerana itu di luar pertanggungjawaban.
Kedua, “Istiwa pula ghair majhul (tidak merupakan perkara yang tidak
diketahui)”; ertinya istiwa adalah satu perkataan yang sedia maklum di sisi
orang Arab. Hal ini dijelaskan lagi oleh al-Imam al-Lalikai dalam kitabnya ini
dengan mengatakan bahawa {Istawa alal arsy}: ‘ala. ‘Ala dapatlah diterjemahkan kepada: meninggi.
Ketiga, “Beriman dengannya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah
bidaah”; ertinya menurut ulama Salaf, apa sahaja yang Allah Taala beritahu
tentang nama-namaNya yang termulia dan sifat-sifatNya yang teragung; hukumnya adalah wajib diimani oleh kita. Seterusnya kita dilarang bertanya
tentang perinciannya melebihi mafhumnya dalam Bahasa Arab yang fasih.
Kita juga sedia maklum bahawa tiada persamaan antara Allah dengan
makhlukNya.
Justeru, kita diperintahkan untuk mengikuti jejak langkah generasi terawal
dalam kehidupan beragama; jika mereka berbicara kita berbicara, dan jika
mereka senyapkan kita juga senyapkan.
Keempat, “Aku risau engkau ini sesat.” Lalu dia menghalaunya keluar.”;
ertinya Imam Malik bin Anas rahimahullah merupakan seorang ulama yang
tegas dalam urusan akidah. Ketegasan ini wajar diikuti oleh umat Islam. Dalam hal akidah kita bertegas, manakala dalam hal fikah kita berlapang dada dalam kepelbagaian pendapat dan pandangan.
___________________________
~Dr Fadlan Mohd Othman~
Pendakwah Bebas
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment