OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Mungkin kerana ‘Abd al-Muṭṭalib dan ‘Abd Manāf nama bagi nenek moyang Rasulullah SAW, sebahagian umat Islam menyangka nama tersebut elok dijadikan nama anak. Sebenarnya, kedua-dua nama tersebut diharamkan oleh para ulama. Walau bagaimanapun, keharaman nama ‘Abd al-Muṭṭalib tidak disepakati. Dalam Marātib al-Ijmā‘ disebutkan:
وَاتَّفَقُوا على تَحْرِيم كل اسْم معبد لغير الله عز وَجل كَعبد الْعُزَّى وَعبد هُبل وَعبد عَمْرو وَعبد الْكَعْبَة وَمَا أشبه ذَلِك حاشا عبد الْمطلب.
“Dan mereka bersepakat mengharamkan semua nama yang di‘abdkan kepada selain Allah ‘azza wa-jalla seperti ‘Abd al-‘Uzzā, ‘Abd Hubul, ‘Abd ‘Amr, ‘Abd al-Ka‘bah, dan seumpamanya kecuali ‘Abd al-Muṭṭalib.”
Hujah ulama yang membenarkan, Nabi SAW sendiri mengucapkannya ketika berkata:
أنا النبي لا كذب أنا ابن عبد المطلب
“Aku Nabi tidak berdusta. Aku anak ‘Abd al-Muṭṭalib.”
Ulama lain menjawab, baginda mengucapkannya secara ikhbār yakni sekadar menyatakan atau menukilkan, bukan inshā’ yakni memulakan atau membenarkannya. Apa pun hujah balas yang akan diberikan, yang pasti ‘Abd al-Muṭṭalib tidak sepatutnya dijadikan nama oleh umat Islam, kerana al-Muṭṭalib bukan nama Allah.
Kata Imam al-Khaṭṭābī (388 H), pengarang Ma‘ālim al-Sunan dalam Sha’n al-Du‘ā’:
وَقَدْ يَقَع الغَلَطُ كَثِيْرَاً في بَاب التسْمِيَةِ. وَأعْرِفُ رَجُلا مِنَ الفُقَهَاءِ كَانَ سَمى وَلَدَهُ: عَبْدَ المُطلِبَ. فَهو يُدْعَى بِهِ إلَى اليَوْمِ، وذلك أنهُ سَمِعَ بِعَبْدِ المُطلِب، جَدِّ رَسُولِ الله - صلى الله عليه وسلم - فَجَرَى في التسْمِيَةِ بِهِ عَلَى التقْلِيْدِ وَلَمَ يَشْعُرْ أن جَدَّ رَسُولِ الله - صلى الله عليه وسلم - إنمَا دُعيَ بِهِ لأن هَاشِمَاً أبَاهُ كَان تَزَوجَ أُمَّهُ بالمَدِيْنَةِ، وَهِيَ امْرَاة مِن بَني النَّجَّار، فَوَلَدَتْ لَهُ هَذَا الغُلامَ، وَسَمَّاهُ شَيْبَةَ. وَمَاتَ عَنْهُ وَهُوَ طَفْل فَخَرَجَ عَمه المُطلِب بن عَبْدِ مَنَافٍ أخُو هَاشم فِي طَلَبِهِ إلَى المَدِيْنَةِ فَحَمَلَهُ إلَى مَكةَ فَدَخَلَهَا، وَقَدْ أرْدَفَهُ خَلْفَهُ، فَقِيْلَ لَهُ: مَنْ هَذَا الغُلامُ؟ فَقَالَ: هَذَا عَبْدِي، وَذَلِكَ لأنهُ لَمْ يَكُنْ قَدْ كَسَاهُ، وَلَا نَظَّفَهُ، فَيَزُوْلَ عَنْهُ شَعَثُ السَّفَرِ؛ فَاسْتَحْيَا أنْ يَقُوْلَ: ابْنُ أخِي. فَدُعِي بِعَبْدِ الُمطلِبِ بَاقِي عُمْرِهِ. عَلَى أنهُ لَا اعْتِبَارَ بِمَذَاهِبِ أهْلِ الجَاهِلِيَّةِ فِي هَذَا، فَقَدْ تَسَمَّوْا: بِعَبْدِ مَنَافٍ، وَعَبْدِ الدَّارِ، وَنَحْوِهِمَا مِنَ الأسَامِي.
“Kerap berlaku kesalahan dalam bab memberi nama. Saya mengenal seorang lelaki daripada kalangan fuqaha. Dia memberi nama kepada anaknya, ‘Abd al-Muṭṭalib. Sampai sekarang anaknya dipanggil dengan nama itu. Sebabnya, dia mendengar ‘Abd al-Muṭṭalib datuk Rasulullah SAW lalu mengambilnya sebagai nama secara ikut-ikutan.
Dia tidak sedar bahawa datuk Rasulullah SAW dipanggil begitu kerana Hāshim, ayahnya berkahwin dengan ibunya di Madinah, dan ia perempuan Banī al-Najjār, lalu melahirkan anak ini dan menamakannya Shaybah. Hāshim meninggal dunia dalam keadaan Shaybah masih bayi.
Bapa saudaranya, al-Muṭṭalib b. ‘Abd Manāf, saudara lelaki Hāshim dalam perjalanannya ke Madinah (?) membawanya ke Mekah. Dia masuk ke sana dalam keadaan memboncengnya di belakang. Ada orang bertanya kepadanya, “siapa budak lelaki ini?” Jawabnya, “ini hamba saya.”
Dia menjawab begitu kerana dia tidak memakaikan pakaian dan tidak membersihkannya sampai hilang kesan-kesan perjalanan jauh, jadi ia malu untuk memanggil “anak saudaraku.” Akhirnya, kanak-kanak itu dipanggil ‘Abd al-Muṭṭalib sepanjang umurnya.
Ini di samping tidak patut diambil kira mazhab-mazhab orang jahiliah dalam perkara ini, kerana mereka memberi nama ‘Abd Manāf, ‘Abd al-Dār, dan nama-nama seumpamanya.”
Dan mungkin ramai yang tidak tahu, Manāf adalah nama salah satu dewa atau berhala dalam masyarakat Arab jahiliah.
Wallahualam.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment