Sunnah Hari Raya: Memakai Pakaian Yang Terbaik

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi



Pada hari raya, umat Islam digalakkan untuk tampil dalam keadaan yang terbaik. Kata Imam al-Shāfi‘ī dalam al-Umm:

وَأُحِبُّ أَنْ يَلْبَسَ الرَّجُلُ أَحْسَنَ مَا يَجِدُ فِي الْأَعْيَادِ الْجُمُعَةِ وَالْعِيدَيْنِ، وَمَحَافِلِ النَّاسِ، وَيَتَنَظَّف…
“Saya suka lelaki memakai apa-apa yang terbaik yang boleh didapati pada hari-hari raya – Jumaat, dua hari raya, dan keramaian –, membersihkan diri, dan memakai wangian…”

Al-Bayhaqī meriwayatkan dengan sanad yang sahih – mengikut Ibnu Rajab – bahawa Ibnu ‘Umar RA memakai sebaik-baik pakaiannya sempena hari raya. Bahkan, beliau diriwayatkan memakai pakaian yang dinamakan “baju raya”. Ibnu al-Mundhīr (318 H) meriwayatkan dengan sanad yang lemah:

أنه كان يصلي الفجر يوم العيد وعلي ثياب العيد.
“Bahawa beliau solat subuh pada hari raya dengan memakai baju raya.”


Tetapi, ini khusus untuk lelaki, kerana wanita tetap tidak digalakkan memakai pakaian yang menarik perhatian umum sama seperti sebelumnya. Kata Imam al-Shāfi‘ī:

وَأُحِبُّ إذَا حَضَرَ النِّسَاءُ الْأَعْيَادَ وَالصَّلَوَاتِ يَحْضُرْنَهَا نَظِيفَاتٍ بِالْمَاءِ غَيْرَ مُتَطَيِّبَاتٍ، وَلَا يَلْبَسْنَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ وَلَا زِينَةٍ، وَأَنْ يَلْبَسْنَ ثِيَابًا قَصِدَةً مِنْ الْبَيَاضِ وَغَيْرِهِ، وَأَكْرَهُ لَهُنَّ الصِّبَغَ كُلَّهَا فَإِنَّهَا تُشْبِهُ الزِّينَةَ وَالشُّهْرَةَ أَوْ هُمَا.
“Dan saya suka bilamana wanita menyertai perayaan dan selawat, mereka datang dalam keadaan bersih menggunakan air tanpa memakai wangian, tidak memakai pakaian yang menarik mahupun perhiasan, dan memakai pakaian yang sederhana yang putih dan seumpamanya. Saya benci bagi mereka celupan warna semuanya kerana menyerupai perhiasan, menarik, atau kedua-duanya sekali.”


Ibnu al-Ṣalāḥ dalam Sharḥ Muskhil al-Wasīṭ mengulas kata-kata “dan memakai pakaian yang sederhana… kedua-duanya sekali” dengan berkata:

وهذا هو الذي لا ينبغي غيره، والله أعلم.
“Dan inilah yang tidak boleh selainnya. Wallahualam.”

Semua ini jikalau berada di khalayak umum dan semakna dengannya seperti ketika bergambar untuk tatapan umum. Jika bersama keluarga atau sesama perempuan, sudah tentu wanita digalakkan berhias sama seperti lelaki.

Kata Imam al-Mutawallī (478 H) dalam Tatimmah al-Ibānah:

إن التزين سنة للرجال والنساء، والعبيد والأحرار، والكبار والصغار؛ لأنه يوم فرح وسرور، وكل ذلك في النساء سواء.
“Berhias sunnah kepada lelaki dan perempuan, hamba dan merdeka, besar dan kecil kerana ia adalah hari kegembiraan dan keriangan, dan setiap itu bagi wanita adalah sama.”

Ibnu al-Rif‘ah (710 H) dalam Kifāyah al-Nabīh mengulas kata-kata ini:

ولعل مراده بذلك: إذا كن في بيوتهن؛ فأما إذا خرجن للمصلى فلا...
“Barangkali maksudnya dengan perkataan itu, bilamana mereka berada di rumah. Bilamana keluar ke tempat solat, tidak...”

Dan wanita pada zaman tersebut tidak bebas keluar beraya seperti kita pada hari ini. Mereka hanya keluar pada waktu pagi untuk solat hari raya.
‘Abd al-Razzāq dalam Bāb Zīnah Yawm al-‘Īd meriwayatkan daripada Ibnu Jurayj secara mursal bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW memakai inai selepas isyak hingga subuh. Beliau juga meriwayatkan dengan sanad yang lemah bahawa Ṭāwūs:

كَانَ لَا يَدَعُ جَارِيَةً لَهُ سَوْدَاءَ وَلَا غَيْرَهَا إِلَّا أَمَرَهُنَّ فَيَخْضِبْنَ أَيْدِيَهُنَّ وَأَرْجُلَهُنَّ لِيَوْمِ الْفِطْرِ وَيَوْمِ الْأَضْحَى يَقُولُ: يَوْمُ عِيدٍ.
“Tidak meninggalkan seorang hamba perempuan miliknya – yang hitam atau bukan – kecuali beliau meyuruh mereka menginaikan tangan dan kaki mereka sempena hari raya puasa dan hari raya korban. Katanya, ‘hari raya’.”

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments