Antara Doa Awal Bulan dan Doa Awal Tahun

 OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi

Dari Thalhal bin 'Ubaidullah,

كَانَ إِذَا رَأَى الْهِلَالَ قَالَ اللَّهُمَّ أَهْلِلْهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ

Adalah Nabi ﷺ apabila melihat hilal (anak bulan) baginda mengucapkan (membaca doa):

ALLAAHUMMA AHLILHU 'ALAINAA BILYUMNI WAL IIMAANI WAS SALAAMATI WAL ISLAAM, RABBII WA RABBUKALLAAH

(Terbitkanlah bulan tersebut kepada kami dengan berkat, iman, keselamatan serta Islam! Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah).


Abu Isa berkata; hadis ini adalah hadis hasan gharib. (HR. Tirmizi: 3373 dan Ahmad: 1324)


Dalam riwayat lain, dari Ibnu Umar dia berkata,


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى الْهِلَالَ قَالَ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ وَالتَّوْفِيقِ لِمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ

"Rasulullah ﷺ apabila melihat hilal beliau berkata,

ALLAHU AKBAR, ALLAHUMMA AHILLAHU ‘ALAINA BIL AMNI WAL IIMAANI WAS SALAAMATI WAL ISLAAMI WAT TAUFIIQI LIMA YUHIBBU ROBBUNA WAYARDHO RABBUNA WARABBUKALLAAH

"Allah Maha Besar! Ya Allah, nampakkan hilal kepada kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, Islam dan taufiq untuk melakukan apa yang dicintai dan diredhai Tuhan kami. Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah Allah." (HR. Darimi: 1625)


Hadis di atas menunjukkan setiap awal bulan ketika anak bulan hijrah kelihatan, maka disunnahkan kita membaca doa di atas.


Adapun doa yang biasa dibaca oleh masyarakat kita iaitu pada akhir tahun (sebelum maghrib) dan awal tahun (selepas maghrib), kononnya ada hadis yang menyatakan keutamaannya iaitu:

“Sesiapa yang membacanya syaitan akan berkata: Kami telah penat letih bersamanya sepanjang tahun, tetapi dia (pembaca doa tersebut) merosakkan amalan kami dalam masa sesaat (dengan membaca doa itu).”

Namun hadis di atas ini ternyata tidak wujud pada mana-mana kitab hadis.


Syeikh Jamaluddin Al-Qasimi (wafat 1332 H) rahimahullah berkata:

تتقاضى العامة في بعض المساجد أئمتها في قراءة دعاء ليلتي أول العام وآخره وهو دعاء مخترع لم يؤثر عن النبي صلى الله عليه وسلم ولا عن أصحابه ولا عن التابعين ولم يرو في مسند من المسانيد ولا في كتب الموضوعات وهو من مخترعات بعض المتمشيخين المتمفقرين

“Didapati masyarakat awam pada sebahagian masjid-masjid terdapat imam-imam yang membaca doa pada malam awal dan akhir tahun. Ia merupakan doa yang tidak didapati athar (dalilnya) dari Nabi ﷺ tidak pula dari para sahabat baginda, dan tidak pula dari kalangan tabi’in (murid para sahabat). Begitu juga ia tidak diriwayatkan dalam mana-mana kitab Musnad yang bersanad mahupun kitab-kitab Al-Maudhu’aat (himpunan hadis-hadis palsu), dan ia termasuk rekaan yang dijumpai dari sebahagian golongan yang mengaku sebagai syeikh (ulama) yang memecahbelahkan.” (Islahul Masajid, halaman 129)

___________________________
Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
_____________________________

Comments