Bantahan Sederhana Ke Atas Triniti

 OLEH: Mukhtaruddin Sahid

Dalam artikel sebelum ini dibawah tajuk 'Triniti Suatu Ilusi'¹ saya telah menghuraikan sedikit sebanyak tentang konsep triniti. Anda dapat lihat dengan jelas bahawasanya mereka tidak memahami triniti itu dengan pengertian satu peribadi Tuhan yang wujud dalam tiga rupa bentuk, tapi tiap-tiap peribadi itu merupakan Tuhan yang wujud dalam hakikat, intipati dan kudrat tersendiri. Apa yang dinafikan ialah hakikat bukan peribadi (person). 

Bagaimanakah saya mengemukakan bantahan terhadap konsep triniti?

Jawapannya sangat sederhana. 

Kita perlu faham bahawa triniti ialah kewujudan tuhan dalam tiga peribadi. Sebelum konsep triniti dibentuk, maka ketuhanan Yesus dan roh kudus perlu diakui dan ditetapkan. Kemudian terdapat beberapa petunjuk yang memperlihatkan ketiga entiti ketuhanan ini berada dalam satu jajaran atau kesatuan.


Maka dengan itu kita dapati bahawa kaedah untuk meruntuhkan konsep triniti ialah dengan: 

1 - Membawa beberapa dalil yang menunjukkan bahawa dua atau salah satu dari entiti yang berada dalam triniti bukanlah Tuhan.

2 - Mengkritisi mana-mana petunjuk didalam Alkitab yang memberi gambaran bahawa ketiga entiti ini di dalam satu jajaran atau kesatuan.

3 - Mengkritisi mana-mana petunjuk di dalam al-kitab yang memberi gambaran bahawa Yesus dan Roh kudus mempunyai ciri-ciri ketuhanan. Kita tidak perlu menafikan kedua entiti sekaligus. Kita cuma perlukan satu entiti sahaja untuk dinafikan maka dengan itu tidak wujudlah konsep triniti, kerana yang tinggal hanyalah 'duality' (walaupun hakikatnya yang tinggal hanyalah satu).


Saya akan cuba membahaskan poin-poin yang telah saya senaraikan secara berperingkat. Untuk artikel ini saya akan cuba membahaskan berkenaan poin yang pertama dahulu. Poin kedua dan ketiga akan saya bahas dalam artikel akan datang. 

Membawa beberapa dalil yang menunjukkan bahawa salah satu dari entiti yang berada dalam triniti bukanlah Tuhan.

Oleh kerana konsep triniti sangat menekankan perbezaan peribadi dalam wujud ketuhanan, maka di sini saya akan memaparkan beberapa dalil yang menunjukkan ada beberapa perakuan ketuhanan didalam Alkitab yang berbentuk 'single'/tunggal. 

Deutoromy 32:39: Lihatlah sekarang, bahwa Aku, Akulah Dia. Tidak ada Allah kecuali Aku. Akulah yang mematikan dan yang menghidupkan, Aku telah meremukkan, tetapi Akulah yang menyembuhkan, dan seorangpun tidak ada yang dapat melepaskan dari tangan-Ku.

Isaiah 44:6: Beginilah firman TUHAN, Raja dan Penebus Israel, TUHAN semesta alam: "Akulah yang terdahulu dan Akulah yang terkemudian; tidak ada Allah selain dari pada-Ku.

Isaiah 45:5-6: Akulah TUHAN dan tidak ada yang lain; kecuali Aku tidak ada Allah. Aku telah mempersenjatai engkau, sekalipun engkau tidak mengenal Aku, supaya orang tahu dari terbitnya matahari sampai terbenamnya, bahwa tidak ada yang lain di luar Aku. Akulah TUHAN dan tidak ada yang lain,


Berdasarkan dari beberapa petikan ayat di atas, anda dapat perhatikan bahawa entiti yang berbicara dalam ayat diatas adalah tunggal. Ia jelas mengarah kepada SATU peribadi sahaja. Dengan menyedari hakikat bahawa doktrin triniti tidak mempercayai konsep Tuhan yang memakai pelbagai watak dan 'rupa bentuk' seperti yang dianut oleh kepercayaan modalisme maka dengan ini konsep triniti telah ditolak mentah-mentah dalam ayat ini. Soalan cepumas saya kepada penganut triniti, Siapakah yang berbicara di dalam ayat ini? 

Apakah hanya Allah yang berbicara dalam bentuk tunggal didalam Al-kitab? Jawapannya tidak, mari kita lihat pula bagaimana Allah diseru dalam Perjanjian Lama : 

2 Chronicles 14:11: Kemudian Asa berseru kepada TUHAN, Allahnya: "Ya TUHAN, selain dari pada Engkau, tidak ada yang dapat menolong yang lemah terhadap yang kuat. Tolonglah kami ya TUHAN, Allah kami, karena kepada-Mulah kami bersandar dan dengan nama-Mu kami maju melawan pasukan yang besar jumlahnya ini. Ya TUHAN, Engkau Allah kami, jangan biarkan seorang manusia mempunyai kekuatan untuk melawan Engkau!"


Mari kita lihat pula bagaimana murid-murid Yesus menyeru Allah : 

Acts 4:24 : 4:24 : Ketika teman-teman mereka mendengar hal itu, berserulah mereka bersama-sama kepada Allah, katanya: "Ya Tuhan, Engkaulah yang menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya.

Anda dapat lihat komunikasi yang berlaku dalam kesemua ayat diatas hanya melibatkan SATU peribadi, bukan dua atau tiga.

Berikut pula adalah pernyataan Yesus, sosok yang dianggap peribadi kedua dalam tritunggal, sepertimana yang tercatat dalam Perjanjian Baru:

John 17:3 : Inilah hidup yang kekal itu, yaitu bahwa mereka mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang telah Engkau utus.


Ayat ini boleh dikatakan antara merupakan ayat 'killer' kepada penganut trinitarian kerana pengakuan Yesus jelas menunjukkan pengiktirafannya kepada Allah selaku Tuhan yang sebenar-benarnya. Pengakuan 'keramat' ini sekaligus mengeluarkan dirinya sendiri dari jajaran 'tuhan tiga serangkai' yang dimomokkan oleh penganut trinitarian. Adakah sesuatu yang lebih jelas dari ayat ini?

Ayat ini bukan sahaja menjadi pukulan kepada penganut trinitarian, tetapi juga kepada penganut faham modalisme monarkianisme, yang percaya bahawa Tuhan mewujudkan diriNya dalam tiga rupa bentuk. Ini kerana satu entiti daripada 'jelmaanNya' tidak mengakui dirinya sebagai Tuhan. Dengan pengakuan Yesus ini ternyatalah bahawa apa yang dianggap sebagai jelmaan tuhan sebenarnya bukanlah jelmaan Tuhan.

Seiring dengan perakuan eksistensi Allah yang mutlak, Nabi Isa a.s juga memperakui hak ubudiyah (uluhiyah) Allah s.w.t semata sepertimana yang tercatat didalam dialognya dengan Iblis ketika diuji di padang gurun : 


Matius 4:8-10 : 

8 : Dan Iblis membawa-Nya pula ke atas gunung yang sangat tinggi dan memperlihatkan kepada-Nya semua kerajaan dunia dengan kemegahannya,

9 : dan berkata kepada-Nya: "Semua itu akan kuberikan kepada-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku."

10 : Maka berkatalah Yesus kepadanya: "Enyahlah, Iblis! Sebab ada tertulis: Engkau harus menyembah Tuhan, Allahmu, dan hanya kepada Dia sajalah engkau berbakti!"


Jika Yesus mempunyai hak ketuhanan, mengapakah beliau tidak menegaskannya dihadapan Iblis? Mengapa hak peribadatan ditujukan hanya kepada Allah semata? Sudah tentu Allah adalah Tuhan yang haq, yang memiliki hak rubbubiyah dan hak uluhiyah.

Ketahuilah, bahawa yang didakwa Tuhan, tetapi tidak memiliki hak peribadatan, bukanlah Tuhan.   

Disisi yang lain, tuhan tidak serendah itu untuk diuji oleh ciptaanNya, sehingga ditawarkan pula segala isi dunia dan kemegahannya. Bukankah Tuhan Maha Kaya dan tidak berhajat kepada ciptaanNya? Lebih menghinakan, Tuhan diminta sujud kepada ciptaanNya, layakkah ini digelar sebagai Tuhan? 


Perhatikan pula dialog Yesus dengan ahli taurat dalam Markus 12:28 - 34 :

28 : Lalu seorang ahli Taurat, yang mendengar Yesus dan orang-orang Saduki bersoal jawab dan tahu, bahwa Yesus memberi jawab yang tepat kepada orang-orang itu, datang kepada-Nya dan bertanya: "Hukum manakah yang paling utama?"

29: Jawab Yesus: "Hukum yang terutama ialah: Dengarlah, hai orang Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa.

30 : Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu.

31 : Dan hukum yang kedua ialah: Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri. Tidak ada hukum lain yang lebih utama dari pada kedua hukum ini."

32 : Lalu kata ahli Taurat itu kepada Yesus: "Tepat sekali, Guru, benar kata-Mu itu, bahwa Dia esa, dan bahwa tidak ada yang lain kecuali Dia.

33 : Memang mengasihi Dia dengan segenap hati dan dengan segenap pengertian dan dengan segenap kekuatan, dan juga mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri adalah jauh lebih utama dari pada semua korban bakaran dan korban sembelihan."

34 : Yesus melihat, bagaimana bijaksananya jawab orang itu, dan Ia berkata kepadanya: "Engkau tidak jauh dari Kerajaan Allah!" Dan seorangpun tidak berani lagi menanyakan sesuatu kepada Yesus.


Kunci kepada ayat ini terletak pada ayat 29, 32 dan 34. Mengapa? 

Ayat 29 - Pengakuan Yesus akan keesaan Tuhan. 

Jika Tuhan itu wujud dalam tiga serangkai sudah pasti penegasannya akan berbunyi "Dengarlah hai orang Israel : Tuhan Allah kita, wujud dalam tiga adaNya", atau mungkin berbunyi, "Dengarlah hai orang Israel, akulah jelmaan Tuhan!, satu dari yang tiga!". 

Nabi Isa a.s patut menggunakan peluang ini untuk menjelaskan dakwahnya kepada khalayak. Apatah lagi persoalan penting seperti ketuhanan bukanlah sesuatu yang boleh ditangguhkan, kerana sifatnya yang fundamental.

Ayat 32 - Pengakuan ahli taurat akan kebenaran jawapan Nabi Isa a.s. 

Pengakuan ahli taurat akan kebenaran jawapan Nabi Isa a.s didasarkan atas kefahaman masyarakat yahudi terhadap keesaan Tuhan. Hal ini menunjukkan tiada perbezaan antara kepercayaan masyarakat yahudi yang berpegang kepada monoteisme dengan ajaran Yesus. Maka pengakuan ahli taurat itu bukan sekadar penetapan (istbat) tetapi juga diiringi dengan penafian (nafyu). Sudah tentu penafian ini mengeluarkan Yesus dari perakuan ketuhanan itu. 

Ayat 34 -  Perakuan akan kebijaksanaan jawapan ahli taurat dan pengakuan Yesus akan kebenaran jawapan ahli taurat tersebut. 

Didalam ayat ini, jawapan ahli taurat itu digambarkan sebagai jawapan yang bijaksana. Bayangkan jika ada yang menjawab selain dari jawapan ahli taurat tersebut, sudah tentu jawapan tersebut bukanlah jawapan yang bijaksana! 

Dalam ayat ini juga, Yesus mengakui bahawa dengan jawapan tersebut, seseorang sudah tidak jauh dari kerajaan Allah. Berdasarkan testimoni dari Yesus sendiri, logiknya, seorang yang menjawab dengan jawapan selain dari ahli taurat itu tentulah semakin jauh dari kerajaan Allah, bukan semakin dekat! hadamkanlah ini wahai trinitarian! 


Rujukan : 

1 - Triniti Suatu Ilusi - http://gerakanpenamalaysia.blogspot.com/2020/07/triniti-suatu-ilusi.html

2 - Sabdaweb - Alkitab Terjemahan Baru


___________________________
Mukhtaruddin Sahid
_____________________________

Comments