Thalut dan Jalut Di Kisah Israeliyat

 OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Dari catatan Israeliyat, Thalut adalah keturunan Bunyamin. Ketika beliau ditinjukkan oleh Nabi Samuel untuk menjadi pemerintah Bangsa Israel maka mereka membantahnya. Antara alasan yang Ibn Katsir nyatakan penolakan kaum Israel adalah dia bukannya datang dari keturunan Yehudza (Judah) yang merupakan kaum pemerintah. Kononnya hal ini telah ditetapkan ketika dalam wasiat Nabi Ya'kub.

Lalu Nabi Samuel menjelaskan bahawa tanda yang akan Allah turunkan adalah pulangnya Tabut ke tangan orang Israel dan ia akan sampai ke tangan Thalut.

Thabut ini sebenarnya telah dirampas ketika orang Israel dijajah oleh bangsa lain. Huraian yang lebih panjang ada ditulis dalam Qisasul Anbiya oleh Ibn Katsir.

Maka setelah tanda itu benar-benar berlaku baharulah - ketika mereka melihat malaikat membawa Thabut itu datang dan diletakkan di hadapan Thalut - orang Israel menerima penabalan Thalut. Tidak lama kemudian mereka diperintahkan untuk memerangi pasukan Jalut yang kafir.

Jalut itu bukanlah dari bangsa Israel lantaran Allah mengkhabarkan bahawa para pemuka Banga Israel meminta kepada Nabi Samuel untuk mengangkat seorang raja. Ini bermakna bahawa bangsa Israel tidak punya raja.

Selepas peristiwa Exodus, bangsa Israel berada dalam Zaman Para Hakim, iaitu satu masa dimana mereka tidak memiliki raja dan segala urusan ditadbir oleh para pemuka bangsa. Tenggang waktu ini berjalan dalam ratusan tahun.

Dari catatan Israeliyat jelas menunjukkan  bahawa Jalut itu dari pasukan Bangsa Filistin yang merupakan seteru zaman-berzaman kepada orang Israel. Dan fizikal Jalut itu lebih besar sedikit dari fizikal manusia biasa sehingga sumber Israeliyah menggambarkannya sebagai 'gergasi'. Makanya Jalut itu bukanlah gergasi secara hakiki melainkan secara majazi sahaja.

Diandaikan kaum Filistin ini berasal dari wilayah Kepulauan Aegean dan lebih tepatnya dari Pulau Kaftor (Crete) yang membawa petunjuk bahawa mereka ini aslinya bukanlah dari keturunan Nabi Ismail atau Nabi Ishaq. Lama kelamaan kawasan tempat berdiam mereka di Tanah Arab ini pun dipanggil Palestin sempena nama mereka. 

Thalut bersama angkatan tenteranya sekitar 80,000 orang itu bergerak menuju tempat pertempuran lalu mereka sampai di sebatang sungai. 

Ada ulama berpendapat sungai tersebut berada diantara Jordan dan Palestin (yang sekarang menjadi Negara Haram Israel) seperti yang disebutkan oleh Ibnu Katsir dalam Tafsir Al Azim.

Jika begitu, kemungkinan sungai tersebut adalah Sungai Jordan dan pergerakan pasukan Thalut adalah dari barat ke timur. Makanya hanya ada tiga kerajaan di sebelah itu iaitu Kerajaan Aram-Damaskus, Kerajaan Ammon atau Kerajaan Moab.

Tetapi catatan Israeliyat menyatakan kawasan pertempuran adalah di Sha'arayim yang berada di Lembah Elah, barat daya Al Quds. Jadi pergerakan yang lakukan adalah dari atas ke bawah.

Maka kemungkinan sungai yang mereka diuji itu adalah Sungai Sorek (Soreq) dimana sungai ini adalah sempadan kuno wilayah kaum Filistin dan kaum Israel.

Di sungai yang tidak diketahui secara pasti itulah Allah menguji mereka dengan perintah hanya minum air dengan sekali cedukan tapak tangan. Lalu hanya sedikit sahaja yang menuruti perintah Allah; ada ulama mengatakan sekitar 4,000 orang dan ada yang menetapkan sekitar pasukan Badar.

Bagi orang yang meminum air sungai tersebut lebih dari satu cedukan maka dia akan merasa tetap dahaga lalu akan terus meminum dengan lahap. Sedangkan bagi sesiapa yang hanya meminum satu cedukan sahaja, dia akan kenyang dan hilanglah dahaganya.

Gambar hiasan lakaran orang kristian

Thalut diangkat menjadi raja kepada Bangsa Israel ketika mereka meminta kepada Nabi mereka (sebahagian ulama menetapkan Nabi Samuel) agar menunjukkan seorang pemimpin kepada mereka.
Lalu Bangsa Israel membantah lantaran Thalut bukanlah dari keturunan Yahudza (yang merupakan para raja bangsa Israel) serta miskin.

Kemudiannya Nabi tersebut menyatakan "Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi Raja kalian". 
Sesungguhnya antara ciri pemimpin yang layak memegang tampuk pemerintahan adalah yang mempunyai ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.
(Al Baqarah: 247)

___________________________
Abu Amru Radzi Othman
_____________________________

Comments