Cuba Mencari 'Shortcut' Menjadi Soleh?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Ramai orang ingin menjadi soleh dan dekat dengan Tuhan, tetapi kerana mahu cepat sampai ke atas, mereka mencari jalan pintas. Inilah punca ramai antara kita terjebak dalam ajaran-ajaran sesat, seperti yang tular hari ini, ajaran Bāṭiniyyah, serta falsafah dan tarekat yang menyeleweng.

Kepada mereka ingin dijelaskan bahawa tiada jalan pintas untuk menjadi soleh. Tiada zikir atau amalan khusus yang boleh merubah kita daripada orang yang jahat menjadi kekasih Allah dalam sekelip mata. Jika benar mahu berubah, ketahuilah bahawa hijrah itu payah. Tanpa lelahnya mujāhadah dan panjangnya istiqāmah, jangan berbicara tentang penghijrahan.

Dan untuk menjadi soleh, kita sebenarnya tidak memerlukan selain daripada amalan-amalan yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah, yang secara ilmu yakinnya dicintai oleh Allah dan dituntut oleh Rasulullah SAW, dan tidak dipertikaikan oleh sesiapa. Itulah makna kalam Imam al-Dhahabī dalam Siyar selepas mengkritik sebuah kitab sufi (yang sengaja saya tidak sebut namanya di sini) yang berbunyi:

“Oleh itu, saudara, engkau hendaklah mentadabbur kitab Allah, sering membaca dua kitab sahih, Sunan al-Nasā’ī, Riyāḍ (al-Ṣāliḥīn) dan al-Adhkār oleh al-Nawawī, pasti engkau berjaya. Jauhilah pendapat-pendapat penyembah ahli falsafah, amalan ahli riyāḍah, kelaparan pendeta... kerana segala kebaikan adalah pada mengikut al-ḥanīfiyyah al-samḥah (Islam). Mohon pertolongan Allah. Ya Allah, pimpinlah kami ke jalan-Mu yang lurus.”

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments