Ahsanu 'Amala : Amalan Yang Lebih Baik

 OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi


Firman Allah SWT:

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah Al-Mulk: 2)

Berhubung dengan ahsanu ‘amala yang disebut oleh Allah dalam ayat di atas yang bermaksud “amalan yang paling baik” iaitulah amalan yang dilakukan dengan ikhlas hanya kerana Allah dan mutaba‘ah (mengikuti) Sunnah Rasulullah ﷺ. 

Fudhail bin Iyadh r.h pernah ditanya apa maksud Ahsanu ‘Amala, maka beliau menjawab iaitu amalan yang ikhlas dan sowab (benar). Amalan yang dilakukan secara ikhlas tetapi tidak benar maka tidak diterima. Demikian pula amalan yang benar, namun tidak dilakukan dengan ikhlas juga tidak diterima. Beliau lalu menjelaskan yang dimaksudkan ikhlas adalah ikhlas kerana Allah. Dan yang dimaksudkan benar adalah menurut sunnah Rasulullah ﷺ (mutaba‘ah). 

Oleh sebab itu, para ulama menetapkan dua perkara ini iaitu ikhlas dan mutaba‘ah/ittiba’/sowab menjadi syarat diterimanya suatu amalan ibadah secara umumnya.

Ikhlas merupakan amalan hati, kerana tiada siapa mengetahuinya melainkan hanya Allah SWT sahaja dan ia merupakan manifestasi dari kalimah Laa ilaaha illallah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah). Manakala ittiba’ adalah amalan zahir yang dapat dilihat (dinilai) menurut neraca ilmu pengetahuan (bukti) yang benar menurut Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih di atas pemahaman ulama pada kurun terbaik (Salaful Ummah). Dan ia merupakan manifestasi dari kalimah Muhammadur Rasulullah (Nabi Muhammad itu utusan Allah).

Lawan kepada ikhlas adalah syirik, manakala lawan kepada ittiba' adalah ibtida’ (muhdath atau perbuatan baharu di dalam agama).

Wallahua'lam



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments