Bab Melukis Gambar dan Membuat Patung Orang-Orang Soleh

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Dalam Islam, melukis gambar dan membuat patung orang-orang soleh, serta menggantungnya di dinding, tidak dibenarkan. Rasulullah SAW menggelar orang-orang yang melakukannya dalam kalangan Nasrani sebagai “seburuk-buruk makhluk di sisi Allah.” Perbuatan ini memang sewajarnya dilarang, kerana sejarah menunjukkan ia membawa kepada pemujaan, sebagaimana yang berlaku dalam sejarah umat Nabi Nūḥ AS. 

Demikianlah, untuk menjaga tauhid kita perlu mengaplikasikan konsep sadd al-dharā’i’ dengan lebih tegas. Sikap “hukum asalnya adalah harus” dan “ia hanyalah semata-mata lakaran” perlu dinilai kembali, lebih-lebih lagi tabarruk dan seumpamanya terbukti berkesudahan dengan ghuluww. Para sahabat faham amat perkara ini dan antara amali mereka adalah seperti dalam tiga riwayat berikut:

Pertama, ‘Ā’ishah RA meriwayatkan hadis “Allah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menjadikan makam nabi-nabi mereka sebagai masjid” lalu mengatakan:

وَلَوْلاَ ذَلِكَ لأَبْرَزُوا قَبْرَهُ غَيْرَ أَنِّي أَخْشَى أَنْ يُتَّخَذَ مَسْجِدًا.

“Dan kalaulah bukan kerana itu, tentu mereka akan menyingkap kubur baginda, cuma aku takut ia dijadikan masjid.”

Hadis sahih muttafaq ‘alay-hi.

Kedua, al-Ma’rūr b. Suwayd, tabiin yang dikatakan meninggal pada 99 H pada usia 120 tahun menceritakan: kami keluar bersama ‘Umar b. Al-Khaṭṭab semasa haji. Beliau membacakan surah al-Fil dan Quraysh semasa solat subuh bersama kami. Setelah selesai, mereka melihat sebuah masjid, lantas bergegas (ke sana). Kata ‘Umar, apakah ini? Jawab mereka “ini masjid yang Nabi SAW pernah solat di dalamnya.” Kata ‘Umar:

هكذا هَلَك أهلُ الكتاب قبلَكم، اتَّخذوا آثارَ أنبيائهم بِيَعًا، مَن عَرَضتْ له فيه صلاةٌ، فليُصَلِّ، ومَن لم تَعرِضْ له صلاةٌ، فلْيَمضِ.

“Beginilah cara ahli kitab sebelum kamu binasa. Mereka menjadikan peninggalan nabi-nabi mereka sebagai tempat ibadat. Sesiapa perlu solat di dalamnya, solatlah. Yang tidak perlu solat, teruskan perjalanan.”

Athar ini diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzāq al-Ṣan‘ānī, Ibnu Abī Shaybah, dan lain-lain daripada jalan Ma‘mar, Abū Mu‘āwiyah, Jarīr, dan Ḥafṣ b. Ghiyāth daripada al-A‘mash daripada al-Ma‘rūr. Al-A‘mash mudallis dan hukum tadlīsnya dipertikaikan, tetapi riwayatnya di sini diterima berdasarkan kata Ibnu Ḥajar dalam Hady al-Sārī, “kerana ia (Ḥafṣ) dapat membezakan antara yang disarihkan oleh al-A‘mash dengan samā‘ dengan yang ditadlīskannya.” Sanadnya disahihkan oleh Ibnu Kathīr.

Ketiga, riwayat Ibnu Abī Shaybah daripada Anas RA, dengan sanad yang dikatakan sahih, apabila kaum Muslimin menawan Tustar, wilayah yang terletak di barat Iran sekarang, mereka menemui jasad yang tidak reput dan penduduk sekitar mengambil berkat dengannya untuk meminta hujan. Apabila perkara ini sampai kepada ‘Umar, beliau memerintahkan supaya:

انْظُرْ أَنْتَ وَأَصْحَابُكَ  ـ يَعْنِي أَصْحَابَ أَبِي مُوسَى - فَادْفِنُوهُ فِي مَكَانٍ لَا يَعْلَمُهُ أَحَدٌ غَيْرُكُمَا.

“Engkau dan rakan-rakan engkau - iaitu rakan-rakan Abū Mūsā - perhatikan dan kebumikan ia di tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa selain kamu berdua.”

Jasad itu dipercayai oleh ‘Umar dan penduduk tempatan sebagai Nabi Dānyāl, cuma hal ini diragui kerana dalam satu riwayat penduduknya mengatakan usia jasad itu 300 tahun, yang bermakna ia datang selepas Nabi ‘Īsā AS sedangkan tidak ada nabi antara Nabi ‘Īsā dengan Nabi Muḥammad SAW, dan Ibnu Kathīr menguatkan kemungkinan beliau adalah Dānyāl dan mengandaikan riwayat yang menyebut 300 tahun itu silap. Mengikut riwayat, istisqa mereka menggunakan jasad tersebut mujarab. 

Inilah manhaj sahabat. Mereka, tidak seperti kita, bersungguh benar mencari lokasi dan artifak bersejarah peninggalan Rasulullah SAW ataupun nabi-nabi terdahulu untuk mengambil berkat dan bertawassul, bahkan ‘Umar menegur perbuatan tersebut dengan katanya, “beginilah cara ahli kitab sebelum kamu binasa.” 

Sungguhpun permintaan hujan menggunakan jasad seorang nabi atau wali benar-benar berhasil, namun ‘Umar dan para sahabat tetap tidak meredainya. Mereka lebih rela "memusnahkan peninggalan sejarah" daripada membiarkan manusia terdedah kepada kesesatan.

Inilah manhaj sahabat, dan inilah manhaj Ahli Sunah Waljamaah!

Wallahualam.

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments