OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Saya tidak boleh komen di sana, tetapi saya rasa perlu membuat penjelasan di sini mengenai teguran yang dibuat oleh individu ini sebagaimana berikut:
1. Saya bersetuju bahawa kita perlu berhati-hati dalam menghukum palsu sesuatu hadis. Sikap berat sebelah - dengan memaparkan ulasan ulama yang memalsukan sahaja, dan menyembunyikan ulasan ulama yang sekadar melemahkan, bahkan menghasankan dan mensahihkan - bagi saya tidak amanah.
2. Walau bagaimanapun, penilaian hadis sama seperti fatwa para ulama. Dalam fiqh, kita dilarang melakukan tatabbu' rukhas atau mencari fatwa-fatwa yang mudah sahaja. Pada masa yang sama, kita tidak boleh mengambil jalan tengah seperti jika ada ulama yang mengharamkan dan ada ulama yang mengharuskan, maka kita ambil pendapat makruh semata-mata kerana ia pendapat pertengahan.
Demikian juga ilmu hadis. Kita tidak boleh menghukum hadis sebagai hasan semata-mata kerana sebahagian ulama mensahihkan dan sebahagian ulama lagi menghukumnya da'if. Itu bukan manhaj muhaddithin. Kalau dalam fiqh, pentarjihan dibuat berdasarkan kaedah usul fiqh, berdasarkan dalil dan hujah, bukan kerana sesuatu itu pendapat yang sederhana, lebih ihtiyat, atau lebih mudah; begitu juga dalam hadis, pentarjihan dibuat mengikut kaedah ilmu hadis, bukan kerana sesuatu penilaian itu bersifat pertengahan, lebih keras, atau lebih longgar.
Boleh jadi seseorang mentarjihkan penilaian palsu berbanding penilaian da'if kerana lebih menepati kaedah ilmu hadis, dan boleh jadi sebaliknya. Tiada aibnya seseorang mentarjihkan mana-mana pendapat selagi dilakukan mengikut disiplin, bukan kerana kecenderungan tertentu.
3. Ilmu hadis sudah berkembang dan canggih. Manhaj bertawassu' dalam menguatkan hadis dengan shawahid dan mutaba'at yang diamalkan secara meluas oleh muta'akhkhirin sehingga menyebabkan hadis-hadis munkar dan da'if jiddan dihasankan bi-majmu' al-turuq dalam kajian-kajian hadis yang terkini dikenal pasti bercanggah dengan manhaj nuqqad dan huffaz mutaqaddimin. Antara hadis yang sesuai dijadikan contoh ialah hadis ini, kerana ada ulama muta'akhkhirin semisal al-Mizzi menghasankan kerana banyak turuqnya.
4. Dalam pada kita menolak manhaj yang gopoh atau tidak adil dan berdisiplin dalam menghukum hadis sebagai palsu, kita juga wajar membanteras sikap bermudah-mudahan menyandarkan hadis yang tidak sahih kepada Nabi salla Allah 'alay-hi wa-sallam. Saya berikan satu contoh hadis yang tidak sahih tetapi dijazamkan sebagai kata-kata baginda, bukan dalam buku, bahkan dalam lirik nasyid yang dinyanyikan anak-anak sedari kecil, iaitu:
"Rasulullah bersabda
dengan sabda baginda
tuntutlah ilmu
walau ke negeri Cina."
Wallahualam.
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment