Konsep Ketuhanan Dalam Agama Judaism (Yahudi)

 OLEH: Mukhtaruddin Sahid

Bagi kebanyakan kita yang tidak menekuni bidang perbandingan agama mungkin tidak begitu mengetahui tentang perbezaan teologi antara agama Kristian dan agama Yahudi (Judaism). Ini kerana agama Yahudi bukanlah suatu agama yang tersebar di serata pelusuk dunia seperti mana agama Kristian. Ia hanya dianut oleh bangsa Yahudi di mana populasi taburan bangsa Yahudi di serata dunia amatlah kecil. Ini menyebabkan tidak ramai yang mengetahui dengan jelas apakah doktrin agama Yahudi.


Apakah hubungan di antara kedua agama ini? 

Kekristianan pada dasarnya adalah berakar-umbi dari kepercayaan agama Yahudi. Mereka percaya kepada Tuhan yang sama, peranan para nabi dan rasul yang sama, kepercayaan kepada malaikat, dan sebagainya, namun disana mereka memiliki beberapa perbezaan antaranya ialah dari sudut kefahaman terhadap konsep ketuhanan dan juga kefahaman tentang keselamatan manusia disisi Tuhan (salvation).

Sejarah agama Judaism bermula kira-kia 4000 tahun lalu. Berdasarkan tradisi yahudi, ia bermula ketika Allah menzahirkan diriNya kepada Abraham (Ibrahim a.s), yang kemudiannya menjadi pengasas kepada Judaism. Kaum Yahudi percaya bahawa Allah telah melakukan perjanjian dengan Nabi Ibrahim Alaihissalam dimana dia dan keturunannya telah dipilih untuk menjadi bangsa yang hebat.

Anak Abraham, Isaac (Ishak a.s) dan Jacob (Yaakub a.s) juga merupakan antara figur penting dalam sejarah Yahudi. Yaakub telah mengambil nama Israel dan keturunannya dikenali dengan nama Israel. Torah atau juga dikenali sebagai Pentateuch - merupakan diantara teks suci Judaism yang disampaikan kepada Nabi Musa a.s ketika digunung Sinai.

Betapa perkaitan erat antara tradisi Yahudi dalam Kristian, apabila Tanakh atau kitab suci Yahudi dimasukkan kedalam Alkitab (Bible) Kristian dan membentuk bahagian pertama dalam Alkitab Kristian, yang mereka namakannya sebagai Perjanjian Lama (Old Tastement).

Dari perspektif Islam, ketiga-tiga agama ini datang daripada seruan para Rasul yang menyeru kepada satu mesej, yakni menyembah Allah yang esa dan meninggalkan peribadatan selain dariNya.


Apa penganut agama Yahudi (Judaism) percaya tentang ketuhanan?

Penganut Judaism percaya bahawa ada satu Tuhan pencipta dan penguasa alam semesta. Konsep ketuhanan Judaisme adalah monotheisme. Hal ini tergambar pada perintah pertama dari 10 perintah Allah (The Ten Commandment) yang tercatat dalam Torah - "Jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku" (Exodus 20:3).

Tuhan bagi orang yahudi tidak mempunyai sekutu, penolong atau pembantu mahupun pesaing. Dalam kepercayaan Yahudi, Tuhan adalah kekuatan yang tidak dapat dilihat di sebalik semua yang berlaku dan mengetahui segalanya, masa lalu dan masa depan. Orang yahudi memahami Tuhan sebagai satu kekuatan ghaib yang bersifat non-material. 

Penegasan konsep keesaan Tuhan dalam Judaism dizahirkan dalam Shema Israel, yakni sejenis ibadah kaum Yahudi yang dibaca pada dua kali sehari, siang dan malam, dan juga ketika tidur. Shema Israel yang terdiri dari 3 rangkap, bersumber dari Torah yang menyatakan keesaan Allah dan ketunggalanNya. Shema merupakan perintah terpenting bagi orang yahudi.


Rabbi Moshe ben Maimon 



13 Prinsip Maimonides

Konsep teologi yahudi yang paling jelas boleh dilihat pada 13 prinsip iman yahudi yang disusun oleh Rabbi Maimon bin Moshe. Beliau telah menulis 13 prinsip iman yahudi yang meliputi perihal ketuhanan, hak penyembahan, kebenaran sabda para nabi, nubuatan Musa a.s, keabsahan Torah, balasan perbuatan baik dan buruk serta kebangkitan selepas mati.

Rabbi Moshe bin Maimon atau singkatannya RAMBAM, merupakan seorang doktor, pernah berkhidmat sebagai doktor keluarga bangsawan Mesir, dan akhirnya berkhidmat sebagai doktor peribadi Sultan Salahuddin yg menguasai Mesir dan Syria.

RAMBAM juga seorang cendekiawan Torah utama abad itu, dan dia pernah memberikan penjelasan (commentary) dari Misnah yang diredaksikan 1000 tahun sebelum kelahirannya, oleh Rabbi Yehuda Ha Nasi.

Diantara prinsip Maimoneds berkenaan ketuhanan ialah :

1. "Saya percaya dengan iman yang sempurna, bahwa Tuhan adalah pencipta dan penguasa alam semesta. Dia sendirilah yang telah mencipta, mencipta dan terus mencipta”.


2. “Saya percaya dengan iman yang sempurna bahwa Tuhan itu Esa. Tidak ada kesatuan apapun yang sepertiNya. Dia sendirilah Tuhan kita, Dia yang telah ada, yang ada, dan yang akan datang”.


3. Saya percaya dengan iman yang sempurna bahwa TUHAN tidak memiliki tubuh. Konsep tubuh fizik manusia tidak berlaku terhadap NYA. Tidak ada satupun yang menyerupai DIA.


4. Saya percaya dengan iman yang sempurna bahwa TUHAN adalah yang awal dan yang akhir.


5. Saya percaya dengan iman yang sempurna bahwa doa hanya boleh dipanjatkan kepada TUHAN, tidak kepada manusia lain ataupun kepada benda.


6. (Prinsip ke-10) Saya percaya dengan iman yang sempurna bahwa TUHAN mengetahui semua perbuatan dan fikiran manusia. Sehingga dituliskan dalam Mazmur 33:15 “Dia yang membentuk setiap hati, Dia mengerti apa yang dilakukan setiap orang”.

Konsep yang digariskan oleh Rabbi Moshe bin Maimon ini banyak diguna pakai dan diterima secara meluas oleh orthodoks Yahudi pada masa sekarang. 



Apa pula kepercayaan kristian terhadap konsep ketuhanan?

Jika anda membandingkan konsep ketuhanan kristian dengan konsep yang digariskan oleh Rabbi Moshe Ben Maimon, maka anda dapati beberapa perbezaan yang sangat mendasar : 

1) Penciptaan Alam : 

Judaism : . “Saya percaya dengan iman yang sempurna, bahwa Tuhan adalah pencipta dan penguasa alam semesta. Dia sendirilah yang telah mencipta, mencipta dan terus mencipta”. 

Kristian : Allah Bapa bukan pencipta mutlak alam semesta. Yesus adalah sekutu dalam penciptaan. Segala ciptaan alam semesta dizahirkan melalui Yesus. 


2) Keesaan Allah : 

Judaism : “Saya percaya dengan iman yang sempurna bahwa Tuhan itu Esa. Tidak ada kesatuan apapun yang sepertiNya. Dia sendirilah Tuhan kita, Dia yang telah ada, yang ada, dan yang akan datang”.

Kristian : Allah terdiri dari tiga peribadi. Allah Bapa, Anak (Putera) dan Roh Kudus. Ketiganya mempunyai hakikat, intipati dan kudrat yang sama. Ketiga-tiganya telah wujud sedia ada, dan kekal selamanya. 


3) Allah tidak memiliki tubuh fizik : 

Judaism : "Saya percaya dengan iman yang sempurna bahwa TUHAN tidak memiliki tubuh. Konsep tubuh fizik manusia tidak berlaku terhadap NYA. Tidak ada satupun yang menyerupai DIA."

Kristian : Tuhan boleh menjelma kedalam bentuk manusia. Tuhan Anak selaku 'Putera Allah' telah berinkarnasi dengan mengambil rupa manusia demi untuk menebus dosa manusia. 

4) Menujukan peribadatan dan doa : 

Judaism : "Saya percaya dengan iman yang sempurna bahwa doa hanya boleh dipanjatkan kepada TUHAN, tidak kepada manusia lain ataupun kepada benda."

Kristian : Penganut Kristian umumnya berdoa kepada Allah Bapa disamping Yesus. Bagi penganut katolik mereka juga berdoa pada Bunda Maria dan orang-orang suci (saints).


5) Kemampuan Tuhan : 

Judaism : "Saya percaya dengan iman yang sempurna bahwa TUHAN mengetahui semua perbuatan dan fikiran manusia."

Kristian : Penganut kristian percaya kepada kesatuan hipostatik, yakni Yesus memiliki dua kudrat, iaitu kudrat Tuhan dan manusia sekaligus. Oleh sebab itu mereka percaya kenapa Yesus tidak dapat menjelaskan bilakah hari kiamat kerana Yesus mempunyai pengetahuan yang terbatas atas sifat kemanusiaannya. (“Tetapi tentang hari atau saat itu tidak seorangpun yang tahu, malaikat-malaikat di sorga tidak, dan Anak pun tidak, hanya Bapa saja.” - Markus 13:32). 

Oleh sebab itu kita dapati jika tuhan mereka tidak mengetahui akan hari kiamat, maka apakah dia juga akan mengetahui semua perbuatan dan fikiran manusia?


Himbauan penulis

Kita dapat lihat perbezaan yang sangat mendasar antara kedua agama ini. Ada beberapa fakta yang penulis boleh lihat disini:

1) Dari sudut garisan sejarah atau 'timeline', ternyata agama yahudi terlebih dahulu wujud sebelum kemunculan kristian. Orang Yahudi mempunyai interpretasi dan tradisi tersendiri untuk menterjemahkan Tanakh. Kebanyakan manuskrip Tanakh pula adalah di dalam bahasa Ibrani selain bahasa Aramaik. Mereka lebih mengetahui bahasa mereka berbanding umat Kristian yang menggunakan manuskrip 'Septuagint' (sejenis manuskrip Perjanjian Lama yang diterjemah kedalam bahasa Yunani - yang dimana manuskrip ini dimasukkan kedalam Bible Kristian). 

2) Agama Kristian mempunyai jumlah penganut yang besar didunia kerana sifat dakwah mereka, berbanding agama yahudi yang bersifat ikatan bangsa. Dalam erti kata lain, mereka bukan agama dakwah. Atas sebab ini, penulis merasakan dunia seakan tidak diberitahu akan wujudnya perbezaan ini dan dunia tidak diberi peluang untuk menilai kedua ajaran agama ini dengan seimbang dan adil.

3) Hakikatnya, sebahagian besar penganut Kristian -sepanjang sejarah diseluruh dunia - hanya mendengar interpretasi Alkitab Perjanjian Lama (Tanakh) dari pendita dan paderi kristian. Penulis tidak dapat membayangkan bagaimana sekiranya agama Yahudi bertukar menjadi agama dakwah, tentu dunia akan menyaksikan satu konflik yang hebat berkenaan interpretasi terhadap Perjanjian Lama (Tanakh).

4) Apabila kita membincangkan tentang perbezaan agama dari sudut akademik, kita mesti menerima hakikat bahawa apabila berlaku kontradiksi, hanya ada SATU kebenaran untuk dipilih. Kita mesti bersedia untuk menerima bahawa - Kalau saya salah, maka anda berada di pihak yang benar atau, kalau saya benar maka anda berada di pihak yang SALAH! 

Renung-renungkanlah!  


Rujukan :

1 - Judaism : Founder, Belief & Facts - HISTORY

2 - Basic Jewish Beliefs - Chabad.org

3 - Passages on the Unity of God - OutreachJudaism.org

4 - Shema - Jewfaq.org

5 - 13 Prinsip Iman Yahudi – RAMBAM - TorahuntukIndonesia.wordpress

6 - Yesus Pencipta - SarapanPagi.org

7 - Trinitas - Satu Tuhan dalam tiga peribadi - Katolisitas.org

8 - The Incarnation of Jesus Christ - Biblehelpsinc.org

9 - Apa itu kesatuan hipostatik? Bagaimana mungkin Yesus adalah Allah dan manusia pada saat bersamaan? - Gotquestions.org



Comments