Wujudkah Solat Sunat Khusus Selepas Akad Nikah?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Ada sahabat yang bertanya tentang kaifiat solat sunat selepas akad nikah. Amalan solat sunat ini, saya rasa, sudah umum dan merata dalam kalangan masyarakat sama seperti amalan memegang ubun-ubun isteri sambil berdoa, yang dilakukan tanpa ilmu atau dengan kata lain, kejahilan. Sebab itulah, kita dapat lihat ramai yang sengaja mempertontonkannya kepada hadirin-hadirat dan jurugambar.

Berbalik kepada solat sunat selepas akad nikah, berdasarkan penjelasan ulama muta’akhkhirīn mazhab Shāfi‘ī yang ditemui, yang ada hanyalah solat sunat sebelum akad nikah, bukan selepas akad. Ini yang pertama. Kedua, ia tidak sunat dilakukan secara berjemaah. Kata Imam Shams al-Dīn al-Ramlī (1004 H):

وَمِمَّا لَا تُسَنُّ فِيهِ الْجَمَاعَةُ رَكْعَتَانِ عِنْدَ إرَادَةِ سَفَرِهِ ... وَقَبْلَ عَقْدِ النِّكَاحِ، وَعِنْدَ حِفْظِ الْقُرْآنِ...

“Dan termasuk dalam (solat sunat) yang tidak disunatkan berjemaah ialah dua rakaat ketika hendak bermusafir... sebelum akad nikah, dan ketika menghafal al-Quran...”

Jadi, solat sunat yang dilakukan secara berjemaah bersama isteri sejurus selepas akad nikah – lagi-lagi di hadapan orang ramai dengan pakaian pengantin yang ketat dan penuh tabarruj – adalah perbuatan yang tidak ada asalnya daripada sunnah mahupun kalam ulama. Dan agak mengejutkan, kerana yang sepatutnya menunaikan solat ini ialah pengantin lelaki dan wali, bukan pengantin perempuan! 

Kata Syeikh ‘Alī al-Shabrāmallisī (1087 H) menghuraikan kata-kata “dan sebelum akad nikah” tadi:

يَنْبَغِي أَنْ يَكُونَ ذَلِكَ لِلزَّوْجِ وَالْوَلِيِّ لِتَعَاطِيهِمَا الْعَقْدِ دُونَ الزَّوْجَةِ، وَيَنْبَغِي أَيْضًا أَنَّ فِعْلَهُمَا فِي مَجْلِسِ الْعَقْدِ قَبْلَ تَعَاطِيهِ.

“Hendaklah (solat sunat) itu (disunatkan) untuk suami dan wali kerana mereka yang melakukan akad, bukan isteri. Dan hendaklah mereka mengerjakan dalam majlis akad sebelum melakukannya (akad).”

Dan semua ini mengikut yang disebutkan oleh ulama-ulama tadi. Adapun dalil dan sandarannya daripada sunnah Rasulullah SAW atau athar salaf - baik sebelum atau selepas akad - maka saya tidak menemuinya kecuali solat sunat ketika hendak bersama isteri yang baru dikahwini. Demikian yang disahkan oleh ulama Syria yang berakidah Ashā‘irah dan bermazhab Shāfi‘ī, Syeikh ‘Abd al-Karīm Tattān ketika ditanya, “adakah diriwayatkan dalam hadis dan sunnah solat dua rakaat selepas akad nikah? Jika tidak diriwayatkan daripada hadis, apa hukumnya?:”

بالرجوع إلى أقوال الفقهاء لم أجد ما يشير إلى هذه الصلاة ، ولعلها من المتوارث بين الناس تبركا بالصلاة في هذه الليلة ، وحيث لم يرد لا أرى لها حكما سوى أنها مما تعود عليه الناس ، والعادة في مثل هذه الصلاة ليست تشريعا ! وما وجدته...

“Dengan merujuk kepada kalam fuqaha, saya tidak menjumpai apa-apa yang mengisyaratkan kepada solat ini. Mungkin ia daripada amalan yang diwarisi turun-temurun antara orang ramai sebagai mengambil berkat dengan solat pada malam (akad) ini. Bilamana tidak diriwayatkan (daripada sunnah), maka aku tidak nampak ia mempunyai hukum selain bahawa ia amalan yang selalu dikerjakan oleh orang ramai, dan adat dalam seumpama solat ini bukan pensyariatan! Dan apa yang saya temui ialah... (memegang ubun-ubun isteri sambil berdoa).”



Kesimpulannya:

1. Tiada solat sunat khusus untuk pengantin lelaki dan perempuan selepas akad nikah, yang ada hanyalah solat sebelum akad nikah.

2. Yang disunatkan melakukannya adalah pengantin lelaki dan wali. Pengantin perempuan tiada kaitan.

3. Walau bagaimanapun, galakan melakukannya setakat ini tidak ditemui dalam kalam ulama mutaqaddimīn mazhab, athar salaf, apatah lagi sunnah Nabi. Yang ditemui hanyalah kalam ulama muta’akhkhirīn mazhab.

Wallahualam.

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments