Anjuran Solat Mengadap Sutrah (Ringkas)

 OLEH: Abu Aqif


Ada yang kata wajib, ada yang kata tak wajib. Panjang kalau bahas. Yang berminat nak tahu bolehlah kaji. Tapi ringkasnya jumhur ulama kata sunnah.


Ibnu Qudamah dalam Al Mughni mengatakan:

وَلَا نَعْلَمُ فِي اسْتِحْبَابِ ذَلِكَ خِلَافًا

"kami tidak mengetahui adanya khilaf tentang hukum mustahab (sunnah) mengenai penggunaan sutrah dalam solat." [Al Mughni, 2/174].


Siapa Yang Boleh Mengamalkan Sunnah Meletakkan Sutrah?

Hanya dua kelompok sahaja iaitu imam dan munfarid (iaitu mereka yang bersolat bersendirian). [Syarhul Mumthi' 3/278].

Para fuqaha bersepakat bahawa sutrah imam itu sudah mencukupi untuk makmum, baik posisi makmum berada di sisi mahu pun di belakang imam. Dan mereka juga bersepakat bahawa makmum tidak disunnahkan membuat sutrah [Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 24/184].


Ukuran Sutrah

Boleh guna sebarang objek untuk dijadikan sutrah asalkan tingginya lebih kurang seperti pelana (tempat duduk yang diletakkan di haiwan tunggangan seperti kuda atau unta).

Lebar sutrah pula minimum seperti tombak. Guna tongkat pun boleh.

Tiada had ketinggian maksimum bagi sutrah. Boleh jadi dinding, boleh juga kerusi, boleh juga rehal. 

Boleh juga jadikan manusia sebagai sutrah. Contohnya jika ada orang yang sedang duduk menunggu waktu solat, kita boleh solat di belakangnya. Tapi pastikan orang tersebut tahu berkenaan hukum sutrah kerana takut dia beralih pula.

Orang yang dijadikan sutrah itu pula tidak perlu beralih ke tempat lain jika tidak ada keperluan.

Jika solat di luar masjid, pokok boleh dijadikan sutrah. Begitu juga basikal, motor, kereta atau apa sahaja.


Apa Kelebihan Meletakkan Sutrah Ketika Solat?

Hukum melintas di hadapan orang yang sedang bersolat adalah BERDOSA BESAR. (Al-Mausu'atul Fiqhiyah, 24/178, Al-Fiqhul Islami wa Adillatuh, 2/939, Taudhihul Ahkam, 2/58).

Jadi sutrah dapat memberi warning kepada orang ramai bahawa kita sedang bersolat agar mereka tidak melintas di hadapan kita.

Selain itu sutrah juga adalah pelindung iaitu dapat melindungi solat dari terbatal sekiranya 3 makhluk ini melintas sewaktu kita sedang bersolat iaitu keldai, anjing hitam dan perempuan.


Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي فَإِنَّهُ يَسْتُرُهُ إِذَا كَانَ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ فَإِنَّهُ يَقْطَعُ صَلَاتَهُ الْحِمَارُ وَالْمَرْأَةُ وَالْكَلْبُ الْأَسْوَدُ. قُلْتُ: يَا أَباَ ذَرٍّ، مَا بَالُ الْكَلْبِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْكَلْبِ الْأَحْمَرِ مِنَ الْكَلْبِ الْأَصْفَرِ؟ قَالَ: يَا ابْنَ أَخِي، سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ n كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: الْكَلْبُ الْأَسْوَدُ شَيْطَانٌ

"Apabila salah seorang dari kalian berdiri solat maka akan terlindungnya dia apabila di hadapannya ada sesuatu seperti mu'khiratur rahl. Namun apabila tidak ada di hadapannya sesuatu seperti mu'khiratur rahl solatnya akan putus (batal, -pent) apabila melintas di hadapannya keldai, wanita, dan anjing hitam."

Aku berkata (Abdullah ibnush Shamit, rawi yang meriwayatkan dari Abu Dzar);

"Wahai Abu Dzar, kenapa dengan anjing hitam jika dibandingkan dengan anjing merah atau anjing kuning?"

Abu Dzar menjawab, "Wahai anak saudaraku, aku pernah menanyakan tentang hal itu kepada Rasulullah ﷺ sebagaimana engkau menanyakannya kepadaku. Beliau berkata, 'Anjing hitam itu syaitan'." [HR. Muslim no. 1137].


Imam An Nawawi menjelaskan: "mu'khiratur rahl adalah sandaran pelana yang biasanya ada di belakang penunggang haiwan." [Syarh Shahih Muslim, 1/231].

Perempuan yang dimaksudkan adalah perempuan yang sudah akil baligh termasuklah ahli keluarga sendiri.

Bayangkan solat di rumah waktu PKP ni tak letak sutrah tiba-tiba bini lalu nak sidai kain, tengah tasyahud akhir pulak tu. Habis batal.. haru kan..?


Kesimpulan:

Jadi, lepas ni jangan pelik, jangan hairan bila tengok orang solat letak sesuatu kat depan.

Jika tidak pernah amalkan sunnah ini, bolehlah amalkan. Biar beranak pinak pahala dari solat tu.. kan?

بارك الله فيكم


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments