Cerita Konspirasi

 OLEH: Ustaz Abu Sufian bin Shafie

Dulu saya diam je bila orang mula bertelingkah pasal teori konspirasi ini, sebab ramai sahabat dan guru saya yang lebih alim sudah tampil membantah golongan ini yang ghuluw. 

Tetapi apabila ada jemaah kuliah saya dulu mula terpengaruh dengan teori mengarut ini dan lantang membantah saya yang pernah mengajar mereka, jadi nampak gaya saya pun kena bersuara juga. 

Dalam kuliah saya yang lalu, saya sudah mengajarkan mereka prinsip Ahli Sunnah dalam memahami dan beriman kepada hadis fitnah akhir zaman. 

Iaitu menyerahkan segala tanda dan peristiwa yang telah di nyatakan dalam hadis yang sohih kepada Allah Yang Maha Mengetahui perkara ghaib, tanpa banyak takwilan dan tanpa  dikaitkan dengan peristiwa semasa. 

Saya selalu membacakan hadis ini kepada jemaah.. 

Seorang Arab Badwi bertanya Nabi صلى الله عليه وسلم : 

"Bilakah Kiamat?". Baginda menjawab, "Apa yang telah kau siapkan?" Dia menjawab; "Cinta Allah عزا وجل  dan Rasul-Nya." Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Kau bersama dengan orang yang kau cintai."

(Sahih Muslim, 4775)

Ya, Rasullullah صلى الله عليه وسلم telah menjawab dengan tepat dan jelas.. Persiapan kita menghadapi Kiamat, iaitu mencintai Allah dan RasulNya.. Itu yang sepatutnya kita siapkan.. Bukannya sibuk dengan pelbagai takwilan, rumors dan tanggapan-tanggapan batil. 

Saya akan ceritakan betapa dahsyatnya syubhat yang dibawa oleh golongan ghuluw ini.. 

Semasa tahun 1980 an dulu, saya dibesarkan di Pekan Ajil. Rumah saya sebelah masjid.. Dan saya masa itu (berumur 7 tahun)  selalu solat dan hadiri majlis ilmu di masjid itu. 

Masa itu, dunia ini penuh dengan konflik.. Panca Perang Iraq Iran, Panca Revolusi Iran (dan semangatnya telah banyak mempengaruhi ustaz yang mengajar di masjid)  dan juga krisis Perang Dingin diantara US dengan Uni Soviet. 

Ada ustaz yang mengajar di masjid.. Dengan suara lantang..(masa tu Facebook/ Youtube masih belum ada). 

"Amerika adalah Dajjal, Soviet ialah Yakjuj dan Makjuj dan Khomeini adalah Imam pertama yang akan membaiah Imam Mahdi.. Kita sudah diambang Kiamat! ".

" Dajjal dan Yakjuj wa Makjuj akan berperang guna senjata nuklear.. Ramai manusia akan mati dan ketika itu Al Imam akan datang selamatkan manusia"

Saya masa itu, umur 7 tahun.. Masih belum faham.. Sehingga lah ustaz itu melalut.. 

" Muawiyah bin Abu Sufian adalah pencetus Dajjal, keturunan Abu Sufian musuh Al Mahdi.. Keturunan mereka akan sentiasa memburu dan membunuh Ahlul Bait.. Supaya Al Mahdi tidak akan muncul"..

[Untuk isu keturunan Abu Sufian ini boleh baca di dalam buku ini: https://shopee.com.my/Menangkis-Fitnah-Yang-Terpalit-Pada-Bani-Umayyah-Ibnu-Tuzah-i.236881290.6566816481]

Masa itu saya mula tersinggung, sebab ustaz itu asyik mengutuk Abu Sufian... Saya fikir, takkan lah ayah saya bagi nama kepada saya dengan nama orang jahat. 

Saya mula meninggalkan ustaz itu tidak lagi mendengar kuliahnya.. Lalu saya merujuk kepada Ayah Hj Muhammad رحمه الله ,guru Al Quran saya (semoga Allah mengampuni dosanya, diluaskan kuburnya dan dimasukkannya di dalam syurga Firdaus). 

Guru saya terus beritahu " Khomeini itulah yang jahat dan wakil Dajjal dimuka bumi.. Di bumi mereka lah akan keluar Dajjal".

Saya terus pegang nasihat guru itu, yang saya anggap sebagai ayah saya sendiri.. Sejak dari itu, saya tahu.. Orang yang dalam gambar, berserban besar dan berjanggut putih itu ialah orang jahat (Khomeini). 

Yang sedihnya, ramai orang kampung terpengaruh juga dengan ustaz itu.. Malah ada makcik yang mengejek saya, sebab nama saya Abu Sufian.. 

Anaknya juga sama naik mengejek saya.. Saya geram, dan tumbuk mukanya.. Giginya berterabur, dan sebatang gigi dia tertelan.. Sehingga darah habis bersepah di tempat mengaji itu. 

Ibunya datang ke rumah saya.. Dan terus nak serang saya.. Ibu saya yang gagah terus mempertahankan anaknya.. 😅..saya masih ingat ibu saya halau makcik tu dan hempas pintu kayu cengal tu sampai makcik tu tersentak. 

Jadi bila dah besar ni saya terfikir.. Siapa agaknya pencetus idea teori konspirasi ni?. Betapa bahayanya pemikiran yang bercelaru ini kepada umat Islam yang masih jahil. 

Kita penat menerangkan kepada masyarakat, agar berpegang teguh dengan Al Quran dan Sunnah.. Beramal dengannya, jauhi syirik dan bidaah.. Beriman kepada perkara ghaib yang di sebut dalam nas yang sahih. 

Tiba-tiba datang pula syubhat konspirasi ni!!!. 

Sesungguhnya, orang jahil pasti mudah terkena dengan syubhat ini.. 

Bila orang tanya, adakah kamu percaya dengan tipu daya Yahudi, gerakan Freemason dan sekutunya untuk menguasai dunia?. 

Saya jawab, saya hanya percaya 0.001% sahaja perancangan mereka itu.. Berdasarkan ilmu yang saya belajar (saya akan beritahu detail dalam status berikutnya).. 

Namun saya berpegang bulat sepenuhnya kepada satu pesanan Nabi صلى الله عليه وسلم kepada Ibnu Abbas رضي الله عنه :

"Wahai anak, aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah, 

Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu. Jagalah Allah, nescaya kamu mendapatiNya dihadapan mu. 

Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah, dan bila kamu memohon pertolongan, mintalah kepada Allah. 

Ketahuilah, sesungguhnya jika satu umat berkumpul untuk memberi manafaat kepada kamu, maka ia tidak akan memberikan manfaat kepada kamu kecuali apa yang telah ditetapkan Allah kepadamu. 

Jika mereka berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka tidak akan berikan mudarat kepada mu kecuali apa yang telah ditetapkan Allah kepadamu. 

Pena telah diangkat dan lembaran (taqdir) telah kering"

(HR Tirmidzi, no. 2516 dan disahihkan oleh al Albani dalam Sahih Sunan Tirmidzi). 

Berdasarkan hadis ini, inilah prinsip hidup saya. 

Manusia tidak dapat memberi manfaat dan mudarat kepada saya, melainkan dengan izin Allah mengikut taqdir yang telah ditulis.. 

Jika saya mati akibat fitnah mereka, tetapi dalam keadaan berpegang teguh dengan nasihat Nabi صلى الله عليه وسلم , maka kematian sudah pasti menjadi sesuatu yang baik bagi saya.. Untuk rehatkan diri dari dunia yang penuh keliru ini... Dan kita semua pasti akan dikembalikan kepada Allah.. Dan Allah akan menerangkan kepada kita apa yang kita perselisihkan selama ini.. 

------------------------------------------------------------------

Semalam saya ada nyatakan, saya juga percaya sebanyak 0.001% terhadap teori konspirasi. 

Sebagai bekas pelajar sains dan teknologi, saya tahu tidak ada yang benar-benar 'genuine' atas dunia ini.. 

Secanggih apa pun mesin industri, kita tetap meletakkan hanya 99.9% keupayaan nya.. Selebihnya di kira sebagai ralat, samaada ralat mesin atau ralat manusia. 

Dan jumlah sekecil itulah yang kita panggil langkah berjaga-jaga. 

Jika ada orang dakwa ada agenda Yahudi atau kaum kuffar terhadap orang Islam dalam apa jua bidang,  samaada industri berkaitan makanan dan farmaseutikal..Ya, saya ada meletakkan keraguan sedikit. Kerana itulah diantara prinsip Al Wala wal Bara.., berhati-hati dengan tipu daya kuffar. 

Namun sebagai Muslim, tidaklah keraguan itu meletakkan kita dalam ketakutan kepada musuh secara melampau, sehingga mencipta pelbagai teori yang berdasarkan sangkaan semata-mata. 

Orang Muslim ada konsep tawakal yang tinggi kepada Allah..dan segala permasalahan dan kekeliruan, Allah سبحانه وتعالى telah menjelaskan dalam Al Quran. 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya"

(Surah an Nisa', ayat 59)

Jelas.. Taat kepada Allah dan taat kepada Rasul serta Ulil Amri.

Isu vaksin contohnya, saya juga membaca beberapa penulisan tentang keburukan vaksin. Malah sedikit sebanyak, ada menimbulkan sedikit keraguan terhadap vaksin ini.  

Tetapi saya sedar diri.. Saya belajar Biologi setakat SPM sahaja. Di UTM, bidang vaksin, mikrobiologi adalah BUKAN bidang saya.. Lebih ramai dikalangan Ahlu Zikr yang layak membicarakan soal ini.. 

Jadi keraguan saya tentang vaksin adalah tertolak dengan dua kaedah :

1. Bertawakkal kepada Allah, dengan keyakinan  bahawa semua makhluk tidak dapat memberikan manafaat dan mudarat kepada saya melainkan dengan izin Allah عزا وجل. 

2. Bersepakatan Ulil Amri dengan Ahli Zikr soal vaksin ini.. Maka dengan bertawakkal kepada Allah, saya memilih untuk mematuhi saranan mereka. 

Saya secara peribadi, tidak suka menggelarkan orang dengan geng konspirasi, geng anti Vaxx dan sebagainya..bagi saya ini gelaran yang menimbulkan perbalahan dan bukannya budaya ilmiah. 

Salah faham mesti diselesaikan secara hikmah.. Itu prinsip saya.. Jika tidak setuju, saya sedia menerima sebarang bantahan yang berhikmah dan ilmiah.. Bukannya secara emosi. 

Berbalik kepada teori konspirasi, saya bahagikan kepada 3 perkara konspirasi yang saya percaya wujud, berdasarkan pengalaman dan ilmu saya yang cetek ini.. 

1. Konspirasi Politik. 

Saya amat percaya bahawa terlalu banyak konspirasi dalam politik kepartian, berdasarkan pengalaman saya dalam politik dulu. Saya tak mahu ulas panjang, nanti meleret.. Saya kasihankan dengan beberapa sahabat saya yang cepat panas dan cepat naik darah tinggi jika sentuh bab ini. 

2. Konspirasi Perang 

Saya belajar pasal ini semasa berkhidmat sebagai pegawai Askar Wataniah dulu, terutama dalam subjek perisikan, peperangan elektronik (EW)  dan NBC Warfare.. 

Walaupun maklumat konspirasi tidaklah mencapai info kelas 1, tetapi ianya tetap diambil kira untuk meramalkan tindakan musuh atau menjangka konflik akan datang. 

Kerana mengabaikan info konspirasi ini, terbukti menjadi kesilapan besar dalam beberapa konflik dunia. (info ini panjang, ada masa saya detailkan) 

3. Konspirasi Industri 

Pengalaman saya bersama industri dan R&D..memang wujud beberapa konspirasi. Memang selalu berlaku konflik diantara R&D dan pemain industri (kapitalis) 

Namun saya ingin tegaskan, saya amat menentang keras bagi sesiapa yang terlibat dalam konspirasi mentakwil hadis fitnah dan hadis akhir zaman.. 

Saya tetap di belakang para Asatizah (semoga mereka semua dipelihara Allah) untuk menghadapi kelancangan mereka. 

ربنا أفرغ علينا صبراً وثبت أقدامنا وانصرنا على القوم الكافرين 

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments